Thursday, July 19, 2012

Bab 1

BAHAGIAN I
“ Cinta adalah permulaan, pertengahan dan pengakhiran kepada segala-galanya”

 
1


Kem Sungai Udang, Melaka

            “ Komando, selamat petang tuan.” Staf Sarjan Mohamad memberi tabik hormat. Mejar Najmi Hariri yang sedang mencatat sesuatu dalam buku log mengangguk sedikit.
            “ Seramai 78 anggota sudah siap untuk latihan, Tuan,” lapor anggota tersebut lagi. Mejar Najmi Hariri yang lebih dikenali dengan nama Jimmy itu bangun membetulkan gear kelengkapannya. Malam ini, dia akan mengetuai latihan terjunan bebas (HALO/HAHO) yang melibatkan seramai 78 anggota pelbagai pangkat unit grup 21 Gerak Khas dari Kem Sungai Udang. Enam bulan lagi mereka akan menghadapi eksasais besar-besaran yang akan melibatkan kesemua pasukan khas yang terdapat di dalam angkatan tentera dan juga pasukan khas dari negara Australia. Bagi memastikan kesemua anggota terlibat mampu memberikan komitmen yang tinggi, latihan seperti ini harus dilakukan bagi menentukan kesemua anggota dalam keadaan bersiap siaga dengan fizikal yang mantap.
            Dia melihat anggota-anggota dari pelbagai unit itu sudah pun berhimpun di mana letaknya pesawat pengangkut udara C-130 Hercules. Dia merenung wajah-wajah semangat di hadapannya. Dia tahu kesemua mereka yang berada di hadapannya ini mempunyai kepakaran yang sukar digugat. Dia tidak mahu bercakap banyak. Hanya sedikit taklimat perintah ringkas diberikan. Taklimat mengenai SOP sudah diberikan kepada kesemua mereka sebelum ini. Setiap daripada mereka tahu apa yang harus dilakukan tidak kira apa juga situasi.
            “ Komando, sedia?”
            “ Komando, sedia, tuan.” Bergema suara apabila kesemua mereka menyahut. Padu dan lantang. Jimmy mengangguk senang. Dia menoleh kepada Staf Sarjan Mohammad.
            “ Kita bertolak sekarang.”




Apabila Despatcher pesawat memberi arahan untuk bersedia, mereka beratur mengambil kedudukan masing-masing. Staf Sarjan Mohamad yang akan menjadi penerjun pertama bersedia di depan pintu pesawat yang sudah siap terbuka. Penerjun pertama membawa tugas yang amat penting. Tidak boleh berasa takut dan gentar. Tidak boleh teragak-agak untuk terjun.
Kerana keadaan seperti itu berlaku, kemungkinan besar akan mendatangkan bahaya kepada penerjun akhir kerana kebarangkalian untuk penerjun berkenaan mendarat di luar zon pendaratan adalah tinggi. Bukan sekadar bahaya sahaja malah ada juga kes yang melibatkan kehilangan nyawa. Sebab itu apabila dia menjadi penerjun utama, seboleh-bolehnya dia tidak akan cuba berlengah. Sebaik sahaja despatcher mengatakan ‘go go go’, dia akan terus terjun, tanpa membuang masa.  
            Stand by....stand by...” Despatcher memberi arahan kepada kesemua mereka. Mata masing-masing terpaku kepada lampu berwarna merah itu. Di dalam hati masing-masing mengira dalam kiraan ribu untuk mendapatkan penerjunan yang lebih tepat. Sebaik sahaja lampu bertukar hijau, despatcher menjerit ‘ Go...go...go.” Staf Sarjan Muhamad terus terjun dan diikuti kesemua mereka. Jimmy memerhatikan kesemua anak buahnya terjun, sebelum dia juga mengambil tempat untuk melakukan aksi yang sama.
Dia mengangkat ibu jari kepada despatcher sebelum menjunam keluar. Night Google Vision membantunya melihat kesemua anak buah yang berada di bawahnya. Jimmy terapung seketika. Membiarkan diri menikmati keindahan malam yang hitam pekat. Dengan penerjunan secara bebas ini, mereka tidak perlu terus membuka payung terjun seperti penerjunan statik. Di dalam terjunan ini, mereka mempunyai masa untuk terapung selama beberapa minit. Sedang dia terapung itu, dia terkejut apabila melihat dua orang anggota yang terjun sebelumnya itu berlanggar sesama sendiri.
Jantung Jimmy berdetak kencang apabila melihat salah seorang daripada mereka sudah tidak bergerak lagi. Mungkin tidak sedarkan diri akibat perlanggaran yang cukup kuat itu. Semasa latihan, kesemua mereka sudah ditekankan dan arif dengan tindakan yang perlu dilakukan sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Sama seperti apa yang berlaku ketika ini.
Namun, apabila anggota itu sendiri sudah tidak sedarkan diri, dia tahu sebarang latihan keselamatan sudah tidak berguna lagi. Ketika ini dia benar-benar bersyukur kerana hanya seorang sahaja yang tidak sedarkan diri. Kalaulah keduanya mengalami nasib yang sama, dia tidak pasti bagaimana harus dia melakukan sebarang operasi penyelamatan.
Dia melihat Prebet Razak terkial-kial kerana payung terjunnya berbelit dengan anggota yang tidak sedarkan diri itu. Jimmy menajamkan mata untuk melihat siapa gerangan anggota yang turut sama terbelit payung terjunnya. Sah! Tali payang terjun Prebet Razak berbelit dengan Korporal Watson, lelaki yang tidak sedarkan diri itu.
Jimmy melihat lelaki itu bergelut seketika kerana belitan itu menyebabkan dia gagal untuk membuka payung simpanan. Lebih-lebih lagi dengan keadaan Korporal Watson itu lebih menyukarkan keadaan. Jimmy tahu, jika mereka tidak berjaya membuka payung simpanan itu, padah akan menimpa. Walaupun di dalam latihan ini mereka akan mendarat di dalam air, namun jika tidak kena gaya, mendarat di dalam air juga akan terasa seperti terhempas di atas batu konkrit.
Mengenangkan itu, Jimmy bertindak. Dia tidak mahu latihan ini berakhir dengan tragedi berdarah. Sudah terlalu ramai anggota komando yang kehilangan nyawa kerana latihan payung terjun ini dan dia tidak akan membenarkan perkara ini berlaku di bawah penyeliaannya. Tidak! Walau apa pun yang berlaku dia harus cuba menyelamatkan mereka.
Jimmy membetulkan kedudukannya. Bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan. Bukan sikit-sikit risiko yang perlu ditempuhinya untuk menjayakan rancangan ini. Dengan alunan zikir di dalam hati dan memenuhi setiap jiwa raga, dia bertindak. Dia meluruskan kedua belah tangan ke sisi dan dengan bantuan angin, dia terus meluncur laju mendapatkan kedua mereka yang berada beberapa puluh kaki daripadanya. Beberapa saat kemudian, dia tiba di tempat mereka. Dia memberi arahan pantas kepada Prebet Razak melalui isyarat sebelum dia merangkul erat tubuh Korporal Watson. Dengan pantas dia memotong tali yang membelit kedua anak buahnya itu.
Prebet Razak yang sudah terlepas dari bahaya bertindak segera membuka payung terjun simpanannya. Bahaya pertama sudah berakhir. Namun mereka masih belum boleh menarik nafas lega lagi. Bahaya kedua pula sedang menanti. Berjayakah kesemua mereka mendarat dengan baik? Mampukah pembukaan payung di saat-saat akhir ini menyelamatkan nyawa mereka? Prebet Razak memandang wajah pegawai atasannya dengan penuh rasa terharu.
Sesungguhnya dia tidak sesekali menyangka, Mejar Najmi Hariri itu sanggup memperjudikan nyawa sendiri untuk membantu mereka. Jika mereka selamat di dalam kejadian ini, dia terhutang nyawa dengan lelaki itu. Dia kembali menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas yang masih perlu dilakukan. Beberapa saat kemudian, Jimmy memberi isyarat supaya bersedia. Junaman mereka semakin laju. Segala tindakan perlu dilakukan dengan penuh cekap dan tepat. Kesemua mereka perlu tepat untuk mengembangkan payung simpanan masing-masing jika ingin melakukan pendaratan yang sempurna dan tidak membahayakan nyawa.
Dalam pada masa yang sama Jimmy mengira jarak di mana ‘landing point’ atau titik mendarat mereka. Dia harus berenang sepantas mungkin jika tidak mahu Korporal Watson berhadapan dengan risiko mati lemas pula. Di dalam hati, Jimmy berdoa agar kejadian ini mendapat perhatian daripada anggota mereka yang berada di dalam kapal dan seterusnya menyampaikan laporan kepada pihak yang menanti di bawah. Jika ini berlaku, ada harapan pihak di bawah sudah bersiap sedia untuk melakukan tindakan penyelamatan.
Beberapa saat kemudian, mereka terjunam di dalam air. Jimmy pantas memotong tali parachutenya dan berenang mendapatkan Prebet Razak yang kelihatan tercungap-cungap kelemasan. Dalam keadaan lain, dia sedar dengan kemampuan Prebet Razak berenang dengan baik namun apa yang berlaku di angkasa tadi mungkin menyebabkan rasa paniknya tidak berkurangan.
“ Maafkan saya tuan,” dengan susah payah Prebet Razak meluahkan kekesalan. Jimmy hanya menggeleng kepala. Dia tidak mahu bercakap mengenai perkara itu kerana latihan mereka belum selesai lagi. Dia segera berenang mendapatkan Korporal Watson pada masa yang sama dia mendengar enjin bot merapati mereka. Tepat seperti yang disangka, bantuan sudah sedia menunggu.
Apabila tiba giliran mereka, Jimmy terus menghulurkan lengan mencangkuk getah bulat yang dihulurkan. Kemudian Korporal Watson dan Prebet Razak dinaikkan ke atas bot. Sebaik sahaja dibawa naik, Korporal Watson mula sedarkan diri. Dia meronta sedikit kerana panik. Jimmy melihat ada darah mengalir di bahagian kepalanya dan mengarahkan supaya dia dihantar ke hospital dengan kadar segera.
“ Komando. Tuan, kesemua 167 anggota berjaya melakukan pendaratan.” Sebaik sahaja kedua mereka selamat di atas bot, seorang anggota melaporkan kepada Jimmy. Jimmy mengangguk kelegaan. Syukurlah tiada kemalangan jiwa yang berlaku. Syukurlah kesemua mereka masih mempunyai peluang untuk bernafas di muka bumi ini walaupun dia tahu tindakan peluncuran yang dilakukan sebentar tadi adalah tindakan yang amat merbahaya. Dia bukan sahaja mempertaruhkan nyawa kedua anggotanya, namun dia turut mengambil risiko terhadap nyawanya sendiri. Tetapi sungguhpun bahaya, dia terpaksa mencuba juga. Jimmy meraup wajahnya. Syukur Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment