Thursday, July 19, 2012

Prolog ~ Jimmy's story

PROLOG                                                                                       

Mereka berdiri bertentangan antara satu sama lain. Beberapa mata yang memerhati hanya melihat detik yang mencemaskan itu berlaku. Di kepala setiap mereka masing-masing cuba menelah apa yang akan terjadi selepas ini. Adakah apa yang mereka sedang fikirkan akan benar-benar berlaku? Mampukah dia melaksanakan apa yang diarahkan kepadanya?
Sanggupkah dia menarik picu itu? Dan apa natijah yang akan terjadi sekiranya dia enggan berbuat demikian? Bagaimana jika dia ingkar arahan? Suasana semakin sunyi sepi. Begitu hening sehingga dapat dirasakan setiap denyutan jantung mereka yang berada di situ. Sang ketua yang memerhati di dalam kereta hanya mendengus benci. Susah sangatkah arahan yang diberikan? Dia mengangguk kepada salah seorang pengikutnya. Lelaki itu menunduk hormat sebelum menghampiri manusia yang masih berpandangan antara satu sama lain itu.
“ Masa dah tiba. Selesaikan cepat,” katanya membawa arahan daripada si ketua. Diam. Kedua mereka masih tidak memberikan respon. Lelaki yang menunggu menjadi semakin tidak sabar.
“ Kalau kau tak sanggup, biar aku buat,” pelawa lelaki yang dipanggil Bronx itu lalu cuba mengambil pistol yang tergenggam kemas di tangannya. Sepantas kilat perhatiannya terarah kepada Bronx. Lelaki yang bertubuh besar itu tunduk serba salah apabila mata itu merenungnya tajam. Sinaran mata bersinar dan galak itu penuh dengan kemarahan dan dendam. Perlahan dia mengundur ke belakang sedikit. Antara menghormati keputusan insan itu dan mungkin juga dijentik dengan rasa gentar melihat wajah yang beku dingin itu.
Back off. Aku akan selesaikan sendiri,” jawabnya dan sekali lagi pandangannya dengan insan di hadapan bertaut rapat.
It’s ok. Just do it.” Insan di hadapannya mula bersuara.
“ Jangan ingat aku tak sanggup,” balasnya sambil membuka pin keselamatan. Muncung pistol dihalakan ke arah jantung lelaki itu.
“ Abang tahu.” Suara itu menjawab tenang. Si pemegang pistol kehairanan. Kenapa dia begini? Tidakkah dia berasa takut memikirkan nyawanya bakal diceraikan dari badan tidak lama lagi? Kenapa dia masih berdiri dengan keadaan tenang sedangkan ketika ini seharusnya dia merayu dan meminta supaya nyawanya tidak ditamatkan.
Dia sepatutnya sudah dibasahi peluh apabila wajah kematian semakin menghampiri dirinya tetapi tidak dengan apa yang disaksikan di hadapannya ini. Lelaki ini langsung tidak berasa takut dan gentar. Langsung tidak kelihatan marah apabila dia diperdaya sehingga dikepung begini.
“ Kalau boleh melegakan perasaan...kalau boleh meluputkan semua dendam..buatlah. Jangan ragu-ragu. Ingat apa yang abang pernah cakap...dalam situasi macam ni, kalau kita teragak-agak, kita yang akan jadi mangsanya.”
Shut up!”
I love you. Remember that, at least.” Suara yang kedengaran begitu memahami itu kedengaran lagi. Dia mahu menutup telinga. Dia tidak mahu mendengar apa-apa di saat ini. Segala apa yang dikatakan tidak meninggalkan kesan dihatinya. Segala-galanya sudah terlambat. Apa yang berlaku tidak mungkin boleh diundur kembali. Dia menghampiri lelaki itu sehingga jarak antara mereka hanya tinggal beberapa inci sahaja.
You shouldn’t have betrayed me.” Dan serentak dengan itu dia melepaskan tembakan. Dan buat pertama kali dia melihat mata lelaki itu berkelip sesaat sebelum tubuhnya melayang ke bawah. Dia memerhati seketika sebelum berpaling mengadap manusia-manusia yang memerhati semenjak tadi. Dia hanya tersenyum nipis ketika Bos mengangguk perlahan. Ya! Tugasnya sudah selesai. Dendamnya sudah berbalas. Dia sudah melaksanakan apa yang ingin dilakukan semenjak dia mengetahui perkara sebenarnya itu beberapa waktu lalu.

No comments:

Post a Comment