Thursday, July 19, 2012

Bab 5, 6 & 7


5

Di Suatu tempat

            Jimmy melihat jam di tangan. Waktu yang diarahkan supaya dia menunggu telah pun sejam berlalu. Dia paling tidak berkenan dengan manusia yang tidak pandai menepati waktu. Pukul 10 bermakna pukul 10. Tidak lebih dan kurang dari itu. Atas dasar arahan, dia terpaksa berada di sini. Dia berkira-kira sama ada mahu terus menunggu ataupun pergi sahaja dari situ. Dia tidak kisah menunggu sebenarnya. Dia mempunyai kesabaran yang cukup tinggi. Malah dia mampu menunggu tanpa perlu bergerak seinci pun. Dia sudah terlatih dan diasuh untuk itu tetapi dia tidak suka apabila dirinya diambil kesempatan ke atas beberapa perkara. Seperti ketika ini contohnya.
Beberapa minit kemudian, sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam muncul. Diikuti dengan dua buah kenderaan pengiring. Jimmy yang berada di dalam kereta tenang memerhati dan bersedia. Apabila dia membaca nombot plat kenderaan yang bermula dengan huruf Z itu, dia menghela nafas lega. Insan yang ditunggu-tunggu tiba jua.
“ Komando! Selamat pagi tuan,” Jimmy pantas bangun memberi tabik hormat sebaik sahaja kelibat Panglima Tentera Darat berada di hadapannya. Lelaki yang berwajah serius itu hanya mengangguk membalas tabik hormatnya.
“ Lama awak tunggu?” Jimmy diam tidak bersuara. Soalan bodoh yang dirasakannya. Sudah lebih sejam dari masa yang dijanjikan. Dia datang 15 minit lebih awal dan masih mahu bertanya lagi sudah lamakah dia menunggu?
“ Saya minta maaf sebab awak kena tunggu lama.” Lelaki tersebut bersuara apabila melihat Mejar Najmi Hariri yang jauh lebih rendah pangkatnya itu diam tanpa suara. Hati yang terasa membara dengan sikap itu ditahan sahaja dalam hati. Dia sedar dia yang tersilap di dalam perkara ini. Walaupun dia berpangkat besar, tidak bermakna dia betul dalam semua perkara. Dia insaf sendiri. Lagipun dia telah lama mengenali Najmi Hariri ini. Jasanya terhadap negara sudah tidak terkira. Dan atas dasar itulah dia rela mengalah. Dia masih memerlukan khidmat anak muda ini.
“ Tak apa tuan,” balas Jimmy sedikit kaget. Jarang sekali pegawai atasan mahu meminta maaf apatahlagi jika pegawai itu berpangkat besar seperti lelaki di hadapannya ini.
“ Ikut saya, Jimmy,” arahnya sekaligus menyebabkan Jimmy semakin kelu. Yg. Bhg. Jeneral Tan Sri Hj Zulkarnain Ishak hanya ketawa sahaja.
            “ Kenapa? Ingat saya tak tahu apa nama panggilan awak kat luar?” Jimmy menggeleng sambil tersenyum. Tanpa menunggu arahan kali ke dua, dia terus mengekori langkah pegawai pemerintahnya. Pasukan yang mengiringi hanya menunggu di tepi kenderaan.
            “ Saya dengar apa yang berlaku minggu lepas. Awak masih tak berubah, Jimmy. Suka benar mengambil risiko.” Panglima tentera itu memulakan bicaranya. Jimmy cuba menilai intonasi yang digunakan. Adakah memang benar perbuatannya dahulu akan mendatangkan masalah kepada dirinya sendiri. Namun apabila melihat senyuman yang terukir di bibir pegawai atasannya itu, tanpa sedar dia melepaskan nafas lega.
Dia tidak bimbang sebenarnya dengan segala tindakan yang diambil. Setelah apa yang dilakukan dan dilalui dulu dia yakin dia mempunyai ‘imuniti’ atas segala perbuatannya. Bukan niatnya mahu mengambil kesempatan, namun prinsipnya masih sama dari dulu sehingga sekarang. Jangan gentar hadapi apa sahaja sekiranya dia percaya dia di pihak yang benar.
            “ Saya lakukan apa yang saya rasa betul tuan. Seperti yang saya tuliskan dalam laporan, jika saya yakin tindakan saya membahayakan nyawa anggota saya, saya sendiri tidak akan mengambil risiko macam itu, tuan,” jawabnya mempertahankan dirinya sendiri. Semenjak kes terjunan penuh drastik yang dilakukannya itu, dia terpaksa menghadap pihak atasan. Tidak cukup dengan laporan yang disediakan, dia terpaksa bersoal jawab dengan mereka pula.
“ Saya tahu!” balas pegawai pemerintahnya pendek. Jimmy diam. Kalau sudah tahu, kenapa bertanya pula? Namun semua itu hanya terluah di dalam hatinya sahaja. Dia merenung wajah lelaki yang tiga tahun lagi akan bersara itu. Ada sesuatu yang tidak kena pada raut wajah dan bahasa badannya itu. Jimmy semakin bersedia untuk menerima apa sahaja maklumat ataupun arahan terbaharu untuknya.
Dan di saat itu dia sedar, arahannya untuk ke sini ternyata bukan kerana tindakannya minggu lepas semata-mata. Ada sesuatu yang lebih penting daripada itu. Dia membetulkan kedudukan tubuhnya yang sememangnya tegak dan bersedia itu. Melihatnya begitu, Yg. Bhg. Jeneral Tan Sri Hj Zulkarnain Ishak ketawa kecil sahaja.
            “ Rileks Jimmy. Awak ni, tahu saja ya apa yang nak saya cakapkan sebenarnya?” Riak wajah Jimmy masih tidak berubah. Saat ini dia tidak terasa mahu bergurau. Entah mengapa naluri hatinya mengatakan ada sesuatu yang besar bakal berlaku.
            “ Mulanya saya ingat tuan mahu menyoal saya mengenai latihan terjun tu, tapi saya yakin kalau setakat perkara itu, saya tak rasa saya perlu ke mari kan?” duganya dan dia menarik nafas apabila ketuanya itu merenungnya tajam sebelum mengangguk perlahan.
            “ Ya...ada tujuan lain sebenarnya yang memerlukan awak ke sini, Jimmy. Dan saya harap awak bersedia,” ujarnya tegas. Dan Jimmy terus memasang telinga.



6

Cempaka Homestay, Langkawi

 Auni Sofina mengesat peluh di dahi. Topi besar yang sedang dipakai dikibas-kibas pada wajahnya. Angin yang hadir melalui kibasan itu membuatkan hati menjadi lega. Kenapalah panas sangat sehari dua ni? Dia mengeluh sambil melabuhkan tubuhnya di atas pangkin di bawah pokok mempelam itu. Hari ini tugasnya sudah berakhir. Kesemua tiga keluarga yang datang bercuti di Langkawi ini dan menginap di rumah inapannya iaitu Dahlia, Teratai dan Melati sudah pun selamat di kediaman masing-masing.
Oleh kerana hari sudahpun agak petang, dia mencadangkan kesemua mereka menjalankan aktiviti bebas dahulu sebelum bermula pada awal pagi esok. Lagipun kesemua mereka juga menyewa kenderaan sendiri, jadi tiada masalah sekiranya mereka mahu kemana-mana sendirian. Sedang dia berehat-rehat begitu, entah bagaimana dia boleh tertidur. Jadi alangkah terkejutnya dia apabila terasa seseorang menepuk pahanya dengan sedikit kuat.
“ Amboi anak dara tidoq ataih pangkin. Tak senonoh betui,” Shah menegur adik sepupunya itu. Auni yang terkejut bingkas bangun. Tudung yang sudah senget dibetulkan sehingga dia berasa puas hati. Sesudah itu bahu Shah ditampar kuat untuk membalas segala perlakuan lelaki itu. Shah yang tidak sempat mengelak hanya ketawa. Dia menolak sedikit tubuh Auni untuk memberinya ruang duduk di pangkin yang sederhana besar itu.
“ Abang, lain kali kalau nak kejut orang bangun tidur, pelan-pelan tau dak. Nasib baik roh orang tak melayang pi mana-mana,” tegur Auni dengan nada tidak puas hati. Dia meneguk rakus air yang dibawa oleh Shah. Cuaca yang sepanas ini memang pantang melihat air ais.  
“ Nasib baik abang. Kalau ayah atau mak yang tengok tak ke haru?” Auni hanya mencebir. Dia tidak berniat langsung mahu melelapkan mata sebenarnya namun bila masa dia terlelap, dia sendiri tidak tahu.
“ Auni....” Shah memanggil namanya perlahan. Panggilan yang semacam itu menyebabkan pandangan mata Auni terarah kepadanya. Auni tahu bila nada Shah berubah seperti itu pasti ada yang dimahukannya.
“ Tak de. Takde. Apa yang abang nak, orang tak nak. Jangan nak buat muka kesian tu. Orang tak mau. Jangan suruh orang buat apa-apa,” putus Auni tegas tanpa berminat untuk mengetahui apa yang dimahukan abang sepupunya itu.
“ Ala..abang bukan suruh buat apa. Tolong jemput guest kat airport je. Tolong ek?”
Guest? Rumah semua dah penuhkan? Nak letak kat mana lagi?” Auni menyoal kerana dia tahu dia baru sahaja memenuhkan 3 buah rumah inapan milik mereka dalam minggu ini. Shah mengeluh perlahan. Wajah yang kelihatan serba salah itu semakin membuatkan Auni curiga. Dia memandang wajah lelaki di hadapannya sehingga lelaki itu melarikan matanya. Auni menggigit bibir. Dia sudah tahu apa yang berlaku.
No...you didn’t?”
“ Er..er..sorry. Abang dah terlanjur berjanji. Abang ingat nak beri rumah Dahlia, tapi tiba-tiba mak cakap hang dah book untuk orang lain. Nak tak nak abang terpaksa ajak dia ke sini.”
“ Tak boleh ke abang cakap tempat kita dah penuh? Tak pun tanya Ijam atau kak Rose, mana tahu tempat depa kosong lagi.” Auni memberi pendapat namun hatinya merusuh apabila melihat Shah hanya menggeleng.
“ Abang dah tanya. Semua tu memang dah penuh. Dengan Pak Mail kat Pantai Cenang tu pun abang dah tanya. Tak dak kosong jugak. Musim cuti sekolah kan,” ujarnya dengan suara yang perlahan. Mungkin sedar dengan kesilapan sendiri. Dahulu sebelum perniagaan mereka maju, rumah yang mereka tinggal ini turut dijadikan rumah inapan untuk tetamu. Dia tahu Auni tidak gemar berkongsi rumah dengan tetamu walaupun rumah yang mereka tinggal ini cukup besar dan tidak bersambung melainkan bersambung pada bahagian dapur sahaja.
 Dia sendiri tidak mengerti mengapa Auni berasa begitu. Mereka hanya membiarkan dan menurut sahaja kerana semenjak Auni mengambil alih bahagian promosi perniagaan keluarga mereka, rumah inapan mereka ini jarang sekali kosong dalam masa yang lama. Malah untuk beberapa bulan akan datang, kesemua habis ditempah pelancong yang lebih gemarkan suasana kampung dari memilih tinggal di hotel dan apartment.
“ Lelaki ke perempuan? Keluarga ke bujang?”
“ Lelaki. Bujang,” jawab Shah serba salah. Mata Auni semakin terbeliak mendengar jawapannya.
“ Boleh ya? Hang  tolong ambil dia dekat airport,” pintanya dengan nada mengharap.
“ Tak nak. Abang nak abang pergilah jemput dia,” bentak Auni sambil mencapai seliparnya. Dia mahu pergi dari situ. Malas mahu melayan permintaan Shah yang bukan-bukan.
  “ Ala...tolonglah abang. Kalau abang boleh jemput sendiri, abang takkan minta tolong hang. Bukan abang suruh buat apa pun...pergi jemput dia dekat airport tu aje dan bawa ke sini. Minyak pun abang dah isi penuh.” Shah memujuk separuh merayu. Susahlah dia kalau gadis yang seorang ini menolak. Seperti yang dikatakan kepada Auni, dia memang boleh pergi namun tiba-tiba sahaja ada hal yang menyebabkan dia tidak dapat menjemput tetamu yang akan datang itu.
“ Abang memang saja kan. Dah tahu orang tak suka, tapi abang tetap juga terima orang lain. Dah berminggu-minggu orang pesan dengan abang, jangan terima tetamu lain. Orang nak kita saja kat rumah tu, tapi abang degil jugak,” bentak Auni tidak puas hati. Wajahnya masam menahan rasa geram yang amat sangat kepada abang sepupunya itu. Rasa mahu sahaja dipulas-pulas batang leher abang Shah itu.
Dia masih ingat lagi Shah hanya mengiakan kata-katanya apabila dia berpesan tidak mahu ada tetamu lain yang menginap di rumah yang sama. Sangkanya perjanjian mereka sudah termeterai, namun alangkah terkejutnya dia apabila lelaki bernama Shahrul Hafizi itu turut sama menerima tetamu yang lain. Lelaki pula tu. Kalau perempuan, dia tahanlah juga. Sekali lagi wajah muram seposen Shah dijelingnya.
“ Auni...rumah tu luas. Banyak bilik. Abang letak dia kat bilik hujung bahagian barat. Hang duduk bahagian timur. Lagipun korang tak akan bertembung punya kecuali masa makan. Mak ayah kan ada. Janganlah risau sangat,” pujuknya lagi. Tangannya merenung jam di pergelangan tangan. Masa untuk dia pergi sudah tidak lama lagi. Kalau Auni menolak, siapa yang boleh diharapkan untuk menjemput lelaki itu di lapangan terbang.
“ Laki mana yang nak datang ni? Abang kenal ke?” Suara Auni sudah mula kendur. Berlawan dengan Shah memang payah dia hendak menang. Shah menggeleng laju.
“ Dia kawan kepada kawan abang. Abang nak tolak pun tak sampai hati. Dengar kata dia datang nak berehat kat sini. Dengar kata cedera teruk dalam eksiden ke apa ke, abang pun tak pasti. Tolong ya Auni. Flight dia pukul 6 nanti. Kalau abang boleh pergi..abang tak akan minta tolong hang...”
“ Iyalah..iyalah...dengar kata...dengar kata..” Auni bangkit dengan rasa malas sambil mengajuk suara Shah. Keinginannya untuk menolak permintaan Shah itu semakin surut apabila mengenangkan lelaki yang cedera itu. Aduhai...kasihannya. Kenapa perlu sampai ke Langkawi ini untuk menenangkan diri dan berehat? Dia hanya mengangkat bahu. Malas untuk ambil peduli. Rasa marahnya masih bersisa kerana memikirkan privasinya bakal diganggu tidak lama lagi. Walaupun, dia tahu bukan salah lelaki itu, namun dia perlukan seseorang untuk dipersalahkan dan lelaki itu yang menjadi mangsanya.
“ Terima kasih ek Auni. Hanglah penyelamat abang. Hang cakap ja nak makan apa. Nanti abang belanja.” Shah menghela nafas lega. Nasib baik Auni setuju menolongnya.
“ Orang nak makan spagetti bolognaise yang didatangkan khas dari Italy,” jawab Auni dengan wajah tanpa riak. Belanja makan konon. Ingat senang hendak beli jiwanya dengan makanan sahaja? Dia mencemuh Shah di dalam hati. Shah yang mendengar terkedu. Italy? Aduhai..silap strategi nampaknya dia. Apa fasal dia gatal-gatal mulut mahu belanja Auni makan tadi? Itu baru spagetti. Buatnya Auni mahu makan kepala gajah mahu saja dia kena jadi pemburu haram pula.
“ Er..er.. jauh sangat tu. Kalau spagetti buatan kak Ita bini abang Li restoren depan simpang tu bolehlah ya?” Shah cuba berkompromi. Auni hanya mencebik. Huh! Cakap tidak serupa bikin. Tadi dia yang beria-ia cakap mahu belanja apa sahaja yang dia mahu makan.  
“ Tak payah. Orang tak makan suap.” Shah menggaru kepala yang tidak gatal. Huish...berdebar juga dengan permintaan Auni yang bukan-bukan. Mengalahkan orang mengidam sahaja. Spagetti bolognaise Italy konon.


7

Lapangan Terbang Langkawi

Jimmy mengurut tengkuk menahan rasa kurang sabar yang terbit dalam hati. Sudah hampir sejam dia menunggu, namun bayangan Shah tetap tidak ada. Kalau dia tahu lelaki itu akan lewat begini, lebih baik dia pergi dengan menaiki kereta sewa sahaja. Bukannya dia tidak tahu alamat di mana rumah inapan itu berada. Tetapi lelaki yang menguruskan Cempaka Homestay itu begitu beria-ia mahu menjemputnya di lapangan terbang. Dia bangun berjalan mahu menghilangkan rasa lenguh. Semasa menunggu sudah tiga cawan kopi dihabiskan. Adakah dia perlu membeli untuk kali keempat pula sementara menunggu empunya diri tiba? Sedang menunggu, kiriman mesej masuk.

“ Abang dah sampai ke?” Mesej daripada Afi. Jimmy segera membalas.
“ Ya.”
Ok..Take care ya. Enjoy your stay there.”

Jimmy hanya tersengih membaca mesej tersebut. Dia tahu Afi berat melepaskan dia pergi ke mana-mana semenjak kehilangannya dahulu. Kalau boleh Afi mahu dia sentiasa berada di hadapan mata. Afi...Afi..tak habis-habis dengan rasa bimbang dia. Dia memasukkan semula telefon ke dalam poket jeansnya. Sedang dia menunggu itu dia merasakan seseorang berdiri di hadapannya. Jimmy pantas mengangkat muka memandang insan yang sudah tentu sekali bukan bernama Shahrul Hafizi itu.
“ Najmi Hariri?” Insan itu bersuara menyebut namanya. Dia terus mengangguk sambil mengangkat beg. Tidak mempedulikan wajah gadis yang nampaknya masam dan kelat itu.
“ Panggil Jimmy je. Mana kenal saya?” soalnya sambil tersenyum. Tidak mahu membiarkan wajah masam gadis itu merosakkan moodnya untuk menenangkan diri. Auni tidak bersuara. Malah dia berpura-pura tidak mendengar pertanyaan lelaki itu. Wajahnya dibiarkan tanpa reaksi, sedangkan dalam hati dia hampir hendak termuntah mendengar apa yang dicakapkan oleh lelaki yang tinggi menggalah ini.
Jimmy konon. Perasan. Nama yang diberikan cukup elok dan sedap tapi tetap juga mahu menggunakan nama orang putih. Tak habis-habis hendak mengagungkan orang barat. Kutuknya dalam hati.
“ Dah bisu ya?” sindir Jimmy sambil ketawa kecil. Pertanyaannya itu sekali gus menyebabkan langkah Auni terhenti dan dia berpusing ke belakang. Renungan matanya semakin tajam apabila mula melihat apa yang tidak dilihatnya sebentar tadi.
“ Hey..rileks ok. Yang nak marah-marah ni kenapa? Saya tak makan orang,” Jimmy mengangkat tangannya seperti orang bersalah sahaja. Auni masih diam tidak beraksi. Matanya tajam mengawasi setiap pergerakan lelaki di hadapannya. Dia masih tidak mampu memberikan reaksi sebaik sahaja dia melihat penampilan lelaki ini.
Apabila dia diminta untuk menjemput lelaki ini di lapangan terbang, patutlah dia beria-ia menolak. Rupa-rupanya rasa enggannya itu berasas. Dan sebaik sahaja melihat lelaki ini di hadapannya, dia mengharapkan biarlah bumi terbelah dua ataupun ada kuasa sakti yang boleh melenyapkan dia dari situ.
“ Kita kena gerak sekarang kalau tak nak lambat,” balasnya mendatar tanpa menunggu sama ada lelaki itu mengekorinya ataupun tidak. Dahi Jimmy berkerut. Apa masalah perempuan ni sebenarnya? Sudahlah datang lambat. Minta maaf pun tidak. Apabila menyedari Auni sudah semakin jauh meninggalkannya, dia cuba mempercepatkan langkah namun akal menyuruh dia memperlahankan pergerakannya. Akhirnya dia mengalah. Biarlah perempuan bernama Auni itu menunggu.
Semakin dekat dia dengan jip itu, dia dapat melihat kerutan Auni semakin mendalam. Nampak sangat Auni tidak mahu berada di situ. Atau mungkin dia telah melakukan sesuatu yang menyebabkan kemarahan perempuan yang baru sahaja ditemuinya ini. Jimmy sudah tidak kuasa melayan perangai yang bukan-bukan. Dia menunggu sehingga Auni memandang ke arahnya.
Look! Saya tak paksa pun awak datang sini. Infact saya tak tahu pun awak ada kat sini. Mana Shah? Dia yang patutnya datangkan? Tapi....”
“ Awak tentera?” soal Auni tiba-tiba mencelah membuatkan dia semakin keliru. Dia melihat mata Auni merenung penampilan dari atas ke bawah. Jimmy turut berbuat demikian. Dengan cargo pants dan t shirt berwarna hijau gelap yang dikenakannya ketika itu langsung tidak menunjukkan imejnya yang sebenar. Lebih-lebih rambut yang mulai mencecah tengkuknya. Kenapa bertanya dan apa kaitan dengan kerjanya sebagai tentera?
“ Tak payah jawab. Jawapannya dah ada.” Auni segera masuk ke dalam kereta. Menghidupkan enjin dan menunggu lelaki itu berbuat perkara yang sama. Jimmy menyumpah kuat. Satu perkara yang amat jarang dilakukannya. Menyumpah orang lebih-lebih lagi terhadap perempuan.
“ Apa masalah kau ni?” Sudah. Bila dia sudah beraku engkau dengan perempuan, maknanya dia sudah tidak dapat menahan sabar lagi. Auni dilihatnya begitu kecil pada pandangannya.
“ Awak tentera!” Satu pernyataan dan bukannya soalan.
“ So..what?”
“ Saya benci tentera.”


Dingin dan beku. Itulah suasana yang boleh mengambarkan keadaan mereka di dalam jip itu. Jimmy menjeling ke kanan melalui ekor matanya. Gadis yang masih tidak diketahui namanya itu serius sahaja memandang ke hadapan. Kalau tidak kerana terpaksa memandu, dapat dirasakan gadis ini akan memalingkan wajah ke luar dek kerana tidak sudi menatap wajahnya. Pandangannya kini beralih pada tangan yang sedang mengenggam stereng itu. Genggaman yang begitu kuat dan kelihatan seperti ingin melepaskan geram sahaja gayanya. Mungkin gadis ini membayangkan dialah stereng malang itu agaknya.
“ Saya benci tentera!” Ayat itu kembali berlegar-legar dalam fikiran. Apa yang membuatkan insan di sebelahnya ini begitu membenci tentera? Adakah sesuatu telah berlaku kepadanya? Cintanya dipermainkan oleh seorang anggota tenterakah? Atau....ada sesuatu yang lebih besar dari itu? Dia mahu bertanya..ingin sekali mengetahui apa yang membuatkan gadis manis ini boleh menyimpan dendam sebegitu rupa.
Amboi Jimmy...baru berjumpa..sudah pandai menelek anak dara orang nampak... Baru bertemu, sudah tahu manis atau tidak gadis yang menjemputnya ini. Jimmy menggeleng kepala sambil menahan senyum. Fikiran yang menyimpang itu segera diluruskan. Kalaulah gadis ini tahu...entah apalah reaksinya nanti.
Muncung Auni semakin panjang. Dari ekor mata, dia melihat si Jimmy itu sedang berusaha keras menahan senyumnya. Apa yang lucunya? Sudah merengkah senyum sorang-sorang seperti itu? Itu tak lain tak bukan, mesti mentertawakan aku...desisnya tidak puas hati. Tanpa sedar kakinya semakin menekan minyak. Jip terus meluncur laju sekali gus menyebabkan pandangan Jimmy terarah semula kepadanya. Auni buat-buat selamba namun sedikit pun dia tidak memperlahankan kelajuannya.
“ Apasal perlahan sangat? Lajulah lagi!” Jimmy bersuara selamba. Dia cuba berbuat seperti tidak kisah walaupun dia tahu gadis ini memandu dengan cara yang agak berbahaya. Kalau diikutkan rasa hati, mahu saja dia memberhentikan jip ini, dan biar dia sahaja yang memandu. Auni tidak menjawab namun hatinya membara mendengar pertanyaan berbentuk sindiran itu.
“ Takut?” Auni ketawa mengejek. Jimmy yang baru hendak memejamkan mata, terbuka matanya kembali. Pandangan mereka bertaut sesaat sebelum dia kembali bersuara.
“ Kalau rasa amal ibadat tu dah cukup...kalau rasa nak ‘mati’ sekalipun, saya tak harap awak libatkan orang lain sama.” Sekelip mata senyuman Auni mati. Suasana kembali dingin dan beku.  
Auni mengetap bibir. Dia ingin membalas kata-kata itu tetapi dia tahu ada benarnya apa yang dikatakan oleh lelaki ini. Dia berpaling seketika memerhati Jimmy yang kembali memejamkan mata. Rileks sahaja gayanya macam tiada apa-apa yang berlaku. Huh! Dalam keadaan macam ni pun dia boleh tidur. Abang Shah ni menipu ke? Konon kata cedera parah.
 Ini selain dari kakinya tu, yang lain nampak sihat saja. Lebih-lebih lagi mulut dia. Lelaki ni menipu agaknya. Dia mengambil peluang untuk memandang lagi.Tapi...kalau diperhatikan betul-betul, wajahnya memang kelihatan pucat sedikit. Tengah sakitkah dia? Auni mula berasa bimbang. Dia ingin bertanya namun lidahnya kelu. Mulutnya terasa begitu berat. Semuanya gara-gara status Jimmy sebagai seorang tentera itu.
Tetapi memang benarkah lelaki ini seorang tentera? Sedari tadi lelaki ini tidak mengakuinya. Dengan rambutnya yang melebihi tengkuk itu tentu mustahil sekali dia berkhidmat dengan pasukan keselamatan negara itu. Orang lain yang melihat boleh jadi tersalah anggap dengan profesionnya. Auni memandang lagi. Entah mengapa dia yakin benar lelaki ini seorang tentera. Mungkin rambut itu hanya salah satu cara penyamarannya.
“ Awak ok tak ni?” Akhirnya dia mengalah pada diri sendiri. Rasa kemanusiaannya lebih tebal dari rasa bencinya kepada anggota beruniform itu.
“ Jimmy? Awak ok tak ni? ulangnya lagi. Jimmy tidak menjawab, cuma wajahnya sudah semakin pucat. Tidak boleh jadi ni. Auni mengambil keputusan untuk memberhentikan kereta. Brek ditekan namun...kereta masih tetap meluncur laju. Auni cuak. Sekali lagi brek ditekan namun keadaan masih tetap sama.
“ Brek tak makan?” Jimmy mula membuka mata apabila merasakan sesuatu yang tidak kena. Auni mengangguk. Wajahnya sedikit cemas namun dia cuba bertenang sedaya mungkin. Namun dia ketawa juga mendengar soalan Jimmy itu. Nada yang digunakan memang kedengaran selamba sahaja. Seperti orang bertanyakan cuaca sahaja gayanya. Dia cuba mengepam brek itu berkali-kali namun tidak berjaya. Dia memandang ke sisi.
“ Awak ni pakai tali pinggang boleh tak?” tingkahnya pada Jimmy yang mula bangun membetulkan duduknya. Auni terkesima seketika. Sungguh dia berasa hairan. Dalam tiba-tiba wajah yang tadi kelihatan pucat sudah bertukar warna. Jimmy kelihatan sihat dan mata yang sedikit lemah sebentar tadi mula kelihatan berwaspada dan bersedia. Wajah yang pucat dan sakit tadi hanya lakonan semata-matakah? Auni tiba-tiba berasa curiga. Siapa sebenarnya lelaki di sebelahnya ini?
“ Ada apa kat depan?” soal Jimmy mula mengawal situasi. Auni cuba bertenang dan berfikir. Tentang identiti sebenar lelaki ini akan difikirkan kemudian sahaja. Ada perkara yang lebih penting yang menuntut perhatiannya.
“ Tak ada apa-apa. Jalan lurus dalam 3 km. Lepas tu kawasan pantai. Jimmy...macam mana ni...orang ramai nanti...” Auni sudah memikirkan yang buruk-buruk. Jimmy diam sambil mengangguk. Ya...bagaimana kalau jip ini masuk ke laluan yang penuh dengan orang ramai? Dia mengeluarkan peta yang berada dalam poket seluarnya dan menelitinya seketika. Auni yang melihat semakin buntang biji mata. Biar betul lelaki ni!
“ Macam mana awak ada masa nak tengok peta masa-masa macam ni?” soalnya lantang. Jimmy langsung tidak mempedulikan soalannya. Dia begitu khusyuk meneliti peta di hadapannya. Beberapa saat kemudian, dia mengangkat wajah. Mukanya seperti biasa...tenang sahaja. Kalau tidak kerana keadaan mereka yang cemas itu, mahu sahaja Auni ketawa melihat riak wajahnya. Kenapa Jimmy kelihatan begitu rileks? Malah kelihatan begitu teruja walaupun mereka di dalam keadaan bahaya.
“ Dalam 200 meter, belok ke kanan. Ada jalan lama yang tak digunakan lagi. Masuk situ. Kita cuba hentikan jip masa tu.” Auni merenung wajah di sebelahnya. Langkawi ini kawasannya. Tempat kelahirannya. Sepatutnya dia lebih tahu apa yang harus dilakukan namun kenapa dengan mudah sahaja dia membiarkan lelaki yang tidak dikenali ini membuat keputusan tentang keselamatan dirinya?
“ Hentikan? Hentikan macam mana?” Pertanyaannya itu menyebabkan Jimmy memandang ke arahnya. Jimmy tersenyum nipis.
“ Kita masuk dalam air!” jawab Jimmy selamba sambil mula menarik tali pinggangnya.
“ Hah!”
“ Dan sambil tu fikir-fikirkan jugak siapa yang nak aniaya kau sebenarnya ni?” Auni kaku.

No comments:

Post a Comment