Monday, July 23, 2012

Bab 17 dan 18

17

Kedawang, Langkawi

Brek kereta ditekan dalam keadaan mengejut. Auni menggosok kepalanya yang terhantuk ke stereng kereta. Dadanya meluap dengan perasaan marah apabila menyedari keretanya dihadang secara tiba-tiba. Mujur sahaja dia boleh dikategorikan sebagai pemandu yang cekap. Kalau tidak mahu terbabas dia di dalam longkang ini. Dengan rasa tak puas hati, dia melangkah keluar. Wajah Hadi ditenung dengan tajam.
“ Apa masalah kau ni?” Dia menyerang Hadi yang turut sama melangkah keluar dari keretanya. Hadi ketawa. Dia mengangkat kedua belah tangan tanda mahu meminta maaf. Matanya juga menjeling sekilas ke dalam kereta, takut-takut Auni tidak keseorangan. Apabila melihat tiada siapa di situ, dia tersenyum lebar.
Sorry...aku mintak cara baik, kau tak nak dengar. Lagipun boyfriend kau tak ada sekarang ni. Jadi, aku nasihatkan kau elok-elok. Ikut aku jumpa Paul. Sama ada kau nak atau tak, kau akan ikut aku hari ini jugak,” jawab Hadi sambil merapatkan jarak antara mereka.
“ Hadi...dekat setahun dah benda tu hilang. Kalau ada, dah lama aku bagi. Kau ingat aku suka sangat kena kacau dengan korang ni?” Auni cuba berdiplomasi. Dia sudah tidak tahu cara apa yang hendak digunakan untuk membuatkan kesemua mereka faham.
“ Macam mana Paul nak percaya, Jeff pun sama hilangkan diri...serentak dengan benda tu. Mustahil Jeff tak beritahu kau apa-apa?”
“ Berapa kali aku nak cakap yang aku tak simpan benda tu. Aku tak tahu kat mana. Yang kau tak faham-faham ni kenapa? Bahasa apa lagi yang aku nak cakap untuk kau faham? Bengap sampai mana kau ni?” Pang. Kepala Auni terteleng ke kiri apabila jemari kasar Hadi melekat di pipinya. Perit! Itu yang dirasakan. Buat seketika kepalanya nampak bintang sahaja. Auni mengesat bibir yang mula berdarah.
Dayus! Tunjukkan kekuatan dengan perempuan sahaja yang dia tahu. Jijik dia melihat wajah Hadi ketika itu. Wajah yang tersenyum kemenangan kerana berjaya menunjukkan kekuasaan terhadap wanita. Namun Hadi silap. Namanya bukannya Auni Sofina kalau dia hanya diam menerima tindakan itu. Auni tersenyum sedikit membetulkan kedudukannya sebelum membalas dengan gaya yang sama. Kali ini kepala Hadi pula yang terteleng ke kanan. Dia hanya tersenyum puas apabila mendengar Hadi menyumpah kuat. Dan dia semakin bersedia apabila Hadi mengarahkan orang suruhan untuk menangkapnya.
“ Tangkap dia. Jangan bagi dia lepas,” arah Hadi dengan suara seumpama petir. Dia benar-benar berang kini. Perempuan bernama Auni ini memang tidak boleh diharap. Guna cara baik pun susah. Kau belum kenal aku siapa lagi, Auni. Jangan ingat aku akan berlembut dengan kau hanya kerana aku sukakan kau. Hari ini kau akan menyesal kerana cuba melawan aku. Kau akan menyesal kerana menolak pinangan aku.
“ Kalau aku jadi korang, aku akan lepaskan dia.” Tegur satu suara sekali gus mematikan segala pergerakan mereka. Empat kepala termasuk Auni berpusing ke belakang.
Pergerakan Auni mati tiba-tiba. Tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya. Sukar mahu percaya kalau tidak melihat dengan mata kepala sendiri. Dia hampir melonjak kegembiraan tetapi dia menahan hatinya. Dalam pada itu dicubit pipi dan lengannya, supaya dikejutkan dari mimpi. Ternyata di hadapannya ini kenyataan. Matanya tidak berbohong. Dan lelaki itu memang berada di hadapannya.
“ Jimmy!”  Setelah hampir seminggu dia seperti orang tidak bernyawa, tiba-tiba lelaki ini muncul di depannya. Muncul seperti cerita dongeng di mana seorang putera datang menyelamatkan puteri yang di dalam kesusahan. Tetapi realitinya, dia bukannya puteri raja yang malang. Dan Jimmy bukanlah putera yang dinantikan. Benarkah dia tidak menanti Jimmy? Auni menggeleng kepala. Saat ini bukan masa yang sesuai untuk dia bersoal jawab begitu.
“ Are you okay?” soal Jimmy tanpa mengalihkan pandangan daripada wajah Hadi dan konco-konconya. Dari ekor mata dia melihat Auni mengangguk. Namun dia tidak sempat bertanya lebih lanjut apabila tiba-tiba pengikut Hadi menyerangnya serentak. Jimmy tersenyum panjang. Sesungguhnya mereka silap memilihnya sebagai lawan.
Get in the car,” arahnya kepada Auni semasa penumbuknya dihayunkan ke muka salah seorang yang lelaki bertubuh besar dan gemuk itu. Auni terperanjat apabila tiba-tiba disuruh begitu. Kakinya selamba membuat tendangan kepada Hadi ketika lelaki itu cuba menangkapnya dari belakang.
“ Awak tak nampak ke saya tengah buat apa ni?” Pergerakan Jimmy terhenti seketika sebelum pukulan KO dilepaskan kepada lawannya itu. Lelaki itu tumbang. Dan dia segera merapati Auni dan Hadi. Leher Hadi dicekaknya kuat.
“ Ok...masuk dalam kereta sekarang,” pintanya dengan lebih tegas.
“ Tak nak. Saya boleh lawan jugak.” Auni membantah. Mana adil jika hanya Jimmy yang berlawan sendirian. Hadi selalu sahaja mengganggu dan menyakiti hatinya. Peluang yang ada di depan mata masakan hendak dilepaskan begitu sahaja?
“ Auni...jangan degillah..masuk dalam kereta.”
“ Tak nak!”
“ Hoi!...Hadi menjerit mengganggu pertengkaran kecil mereka. Kedua mereka berpaling mengadap Hadi dan dalam keadaan serentak kedua penumbuk laju menuju wajah berjerawat batu itu dan sesaat kemudian, Hadi juga tumbang ke jalan. Jimy memandang semula ke arah Auni.
“ Boleh masuk sekarang?” perlinya. Auni hanya mencebik. Eleh. Tak takut pun.





“ Degil. Kepala batu,” kutuk Jimmy dengan mata tegak ke hadapan. Auni mencebik untuk kesekian kalinya. Dia menjeling ke belakang dan melihat Hadi dan konco-konconya duduk terikat bersama. Kalau diikutkan hati, dia mahu meninggalkan mereka semua di situ sahaja namun Jimmy enggan. Dan walaupun keberatan, dia terpaksa mengikut saranan Jimmy supaya menghantar mereka semua ke balai polis. Walaupun memang benar Hadi sentiasa mengganggu ketenteraman hatinya, namun dia tidak pernah peduli dengan perangai Hadi itu. Lelaki itu memang terkenal dengan suka cakap besarnya namun tidak pernah berani memulakan langkah.
“ Masa kat balai nanti awak je cakap. Saya tak ada kaitan dengan semua ni,” pesannya berulang kali pada Jimmy.
“ Auni...minggu lepas dia orang hampir nak cederakan Auni. Kalau saya tak datang tadi, entah apa jadi. Itu pun Auni masih nak bela mereka? Apa sebenarnya hubungan Auni dengan mereka ni? Apa yang mereka nak sebenarnya?” soal Jimmy dengan nada tidak puas hati.
Sudah dua kali dia melihat lelaki bernama Hadi ini cuba membuat onar, tetapi Auni langsung tidak mengambil tindakan terhadap mereka. Bukan sikit-sikit perbuatan yang mereka lakukan, itupun Auni tetap juga mendiamkan diri. Sesungguhnya dia tidak faham mengapa Auni enggan melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa. Bukankah lebih senang jika ada pihak yang menjaga keselamatannya?
“ Pasal brek dulupun mereka punya angkara jugakan?” soalnya sambil memandang ke sisi. Auni hanya diam mengunci mulut. Jimmy mendengus tidak puas hati. Asal dia tanya, Auni akan diam. Susah betul hendak dengar perkara yang sebenarnya dari mulut Auni sendiri.
“ Makkkkkkkkk...” Auni menjerit tiba-tiba. Jimmy yang tidak ketahuan punca segera menekan brek. Terkejut mendengar jeritan yang sungguh nyaring itu. Belum sempat dia bertanya, Auni sudah berlari laju meninggalkan dia. Ternyata Auni tidak menunggu lama. Belum sempat kereta berhenti dengan betul, dia sudah membuka pintu dan menjauhkan diri sejauh-jauhnya dari kereta. Kenapa dengan Auni sebenarnya ni? Jimmy benar-benar bungkam.




“ Dah tak ada dah.” Untuk kesekian kalinya Jimmy memujuk supaya Auni kembali ke kereta namun Auni hanya menggeleng keengganan. Jimmy melabuhkan duduk di atas hud kereta melihat Auni yang duduk mencangkung sambil menutup matanya. Ya Allah...apa yang aku buat ni? Jimmy mendongak ke langit. Apa yang perlu dia lakukan lagi untuk memujuk Auni? Sesungguhnya dia sudah tenggelam punca. Semuanya gara-gara lipas yang entah datang dari mana menjengukkan diri dalam kereta. Macam mana Auni yang tidak takutkan apa-apa itu boleh takut dengan lipas pula? Kepala otaknya memang tidak boleh terima kenyataan itu. Ya ALLAH, tolong bangunkan aku dari mimpi ngeri ini.
“ Dia dah lari dah. Saya dah check dah tadi.”
“ Awak tipu.” Auni melaung dari tempatnya. Jimmy hanya ketawa. Dan tawanya semakin kuat apabila melihat pandangan mata Auni tajam memandang ke arahnya. Mungkin tidak senang diketawakan sebegitu sekali.
“ Betul. Kalau ada pun, dia dah mati dengar jeritan Auni tadi. Kuat gila. Telinga saya pun dok rasa bergegar lagi ni. Jomlah balik,” pujuknya tanpa putus asa. Auni geleng lagi. Jimmy mengeluh panjang. Ya ALLAH...kau sabarkan aku dengan dugaan ini, Ya ALLAH. Dia bangun dan mencari-cari lagi lipas malang itu. Sudah menjadi satu kerja pula dia terpaksa memburu lipas itu. Tengah mencari, lipas yang telah menakutkan Auni itu melintas depannya. Dengan pantas dia menangkap. Nasib kaulah lipas, jadi mangsa hari ini.  
“ Ok...dah mati dah,” laungnya dengan penuh lega. Syukur kerana semuanya sudah berakhir. Kalau tidak, mungkin ada yang terpaksa menempah lipas dari kedai semata-mata hendak membuktikan kepada Auni bahawa lipas itu sudah ditangkap dan dibunuh.
“ Saya nak tengok dulu.” Auni bangun dari duduknya. Jimmy ni bukan boleh percaya. Mana tahu dia menipu. Jimmy membawa bukti tersebut mengadap Auni.
“ Puas hati?” soalnya sambil mengangkat kening. Auni mengangguk puas hati. Dengan muka selamba dia terus masuk ke dalam kereta. Jimmy sudah bercekak pingang. Auni ni la...
“ Awak ni pengotor tau tak. Lipas pun boleh hidup dalam kereta awak ni,” perlinya sambil memerhati rapat di dalam kereta itu. Mana tahu ada lipas yang lain pula. Mendengar kata-kata itu menyebabkan Jimmy memandang penuh makna ke arahnya.
“ Bila masa kereta ni saya punya?” Auni menggigit bibir. Ya tak ya juga. Kereta ini memang sudah pasti bukannya milik Jimmy. Kalau hendak disalahkan, sudah tentu tuan punya kereta sewa ini yang perlu dipersalahkan. Kalau begini, bukankah lebih senang dia menaiki keretanya sendiri. Ini tidak, Jimmy beria-ia meminta mereka menaiki kereta yang sama. Keretanya akan diambil kemudian. Jimmy masih memandang ke arahnya. Mungkin menunggu dia mengakui kesilapan namun Auni tidak mahu beralah. Selamba sahaja dia memandang ke depan, seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“ Jangan lupa basuh tangan awak dulu,” pesannya sebaik sahaja melihat Jimmy mahu membuka pintu. Sekali lagi Jimmy mengeluh. Semanis-manis Auni Sofina tetap juga terasa kelatnya bila buat perangai begitu.


18

Balai Polis, Langkawi

            “ Tandatangan kat sini,” arah Sarjan Bakar. Hadi dan konco-konconya yang seramai dua  orang itu menurut tanpa suara. Setelah enam jam mereka dimasukkan ke dalam lokap, baru kini mereka dibebaskan itupun dengan syarat dan amaran.
            “ Hang dengaq sini, Hadi. Sekali lagi aku dengar hang buat hal dengan orang, aku tak cakap banyak dah. Aku bagi hang masuk dalam tak keluaq-keluaq dah. Ni pun nasib baik Auni tak mau dakwa hang. Cukup baik dia suruh kurung hang berapa jam ja. Ikut hati aku, memang naya hang ni. Dah selalu sangat aku dengaq hang suka dok kacau orang. Lepas ni memang tak ada ampun dah,” ugutnya serius.
            Bukan sekali dua dia mendengar penduduk mengadu dan merungut tentang Hadi. Dan bukan sekali dua dia secara personal berjumpa dengan Hadi sendiri melaporkan ketidakpuasan hati penduduk tetapi nampaknya Hadi seperti tidak mengambil endah sebarang rungutan dan aduan orang ramai. Malah, Hadi semakin galak pula membuat kacau. Dia tahu tentang obsesi Hadi terhadap Auni. Dia kenal kedua mereka semenjak mereka masih kecil lagi. Atas dasar itu, dia masih berlembut. Hadi tidaklah seganas mana cuma suka membuat kacau sahaja.
            Dia sendiri tidak menyangka, Auni akhirnya hilang kesabarannya. Atau adakah kerana kehadiran lelaki di sisi Auni itu yang menyebabkan Auni membawa Hadi ke mari. Melalui riak dan perbualan mereka berdua, dia tahu Auni masih tidak mahu membawa perkara itu ke tengah namun lelaki yang menemani itu begitu tegas dengan keputusannya. Dia menanti mereka mencapai kata sepakat dan akhirnya Auni meminta tolong kepada dia untuk menahan Hadi selama beberapa jam di dalam lokap.
Lalu laporan dibuat dan Hadi menerima habuan diatas tindakannya sendiri. Dia tahu Auni akan datang untuk membatalkan laporan keesokkan harinya namun entah mengapa berita penangkapan Hadi ini tersebar di seluruh kawasan. Tidak lama kemudian, seorang lelaki datang menjamin kesemua mereka. Mahu tidak mahu, dia terpaksa melepaskan setelah kesemua mereka berjanji untuk membantu penyiasatan.






Cempaka Homestay
Pada masa yang sama

            “ Kenapa awak datang balik?” Auni menyoal setelah melihat hampir 10 minit Jimmy duduk di dapur ini tanpa berbuat apa-apa. Dia cuba untuk tidak mengendahkan. Cuba berpura-pura tidak nampak namun dia gagal. Dia sememangnya tidak mampu untuk tidak peduli. Kelapa yang sudah siap dikopek oleh Pak Long, ditolak ke tepi. Kejap lagi dia akan mesin kesemua kelapa itu untuk dijadikan santan.
Memang selalunya tugas itu dilakukan oleh bapa saudaranya, namun hari ini dia begitu rajin untuk membantu kerana bekerja akan mengalihkan tumpuannya. Bekerja mampu membuatkan fikirannya tidak terarah kepada sesorang insan yang cuba dielakkan. Namun yang kesalnya, insan itu pula sentiasa ada di mana-mana. Di mana sahaja dia pergi, ada sahaja wajahnya. Dia sudah tidak tahu mana hendak disembunyikan dirinya.
            “ Salah ke kalau saya datang balik?” Auni yang masih dalam proses menolak besen yang dipenuhi kelapa itu terhenti pergerakannya. Benci sungguh dia jika soalan dijawab dengan soalan. Susah sangatkah kalau hendak berterus terang?
            “ Sakit hatikan?” soal Jimmy yang masih berdiri di tempat yang sama. Bukan dia tidak melihat kesusahan Auni menolak besen yang berat itu. Dia nampak dan sedar kesukaran yang dihadapi. Dapat dilihat berkerut dahi Auni sewaktu menolak namun besen itu hanya bergerak seinci cuma. Tetapi sengaja dia buat-buat tidak tahu.
Seronok melihat Auni yang penuh dengan kedegilannya. Auni mengesat peluh dengan lengan baju. Ya ALLAH...berat pula besen ni. Masa-masa ini pulalah skillnya tidak menjadi. Sudahlah Jimmy dari tadi asyik tersengih seperti kerang busuk. Bukannya hendak menolong. Kutuknya tidak puas hati. Namun semua itu hanya diluahkan dalam jiwanya sahaja. Jimmy kembali mengulangi pertanyaannya apabila Auni seakan tidak mendengar apa yang disoalnya tadi.
            “ Kenapa saya nak sakit hati pula?”
            “ Iyalah. Macam itulah yang saya rasa bila soalan saya tak berjawab,” jawab Jimmy mula bergerak dari kedudukannya yang selesa sebentar tadi. Besen besar berwarna merah itu dijauhkan dari tangan Auni. Kasihan pula melihat Auni bersusah payah begini sekali. Mati hidup balik pun dia yakin, Auni tidak akan meminta pertolongannya. Walaupun berasa sukar, Auni tetap dengan degilnya juga. Dengan tanpa bersusah payah dia terus mengangkat besen tersebut.
            “ Nak letak mana?” soalnya memandang Auni penuh makna. Auni menunjukkan tempatnya. Muncungnya sudah panjang sedepa. Dia tahu apa makna pandangan Jimmy itu.
            “ Nak mesinkan sekali ke?” soalnya seketika kemudian. Auni hanya menggeleng. Dia bukannya hendak buat sekarang. Sekejap nanti pun tak apa, asalkan dia tidak diganggu oleh sesiapa. Tanpa mengucapkan terima kasih, dia mula meninggalkan tempat itu. Menjarakkan diri daripada Jimmy sejauh mungkin.
            “ Tak nak dengar jawapan saya?” soal Jimmy sambil mengesat tangannya dengan kain. Dahi Auni berkerut seketika. Jawapan? Jawapan apa?
            “ Kenapa saya balik ke sini? Auni tak nak tahu?” balas Jimmy seolah-olah dapat membaca fikirannya.
            “ Saya lebih suka nak dengar jawapan bila awak nak balik ke tempat awak semula,” jawab Auni selamba. Jimmy ketawa kecil.
            “ Kenapa suka cakap bohong, Auni?” Sekali lagi Auni keras. Mat Romeo mana yang sesat di Langkawi ni? Dia menjeling Jimmy yang sedang berdiri memeluk tubuh. Begitu santai dan selamba sekali gayanya.
            “ Betul tak nak tahu?”
            “ Awak ni tak ada kerja lain ke nak buat? Tak senang ke hidup awak kalau tak ganggu saya ni?” akhirnya segala rasa yang ditahan terluah juga.
            “ Saya balik sebab Auni.”
            “ Lelaki. Senang je hidup ya. Dekat sana cakap macam ni...dekat sini...” Auni diam tidak menyambung kata-katanya. Faham-faham sendirilah.
            “ Dekat sana? Siapa?” Jimmy bingung. Adakah Auni tahu sesuatu yang dia sendiri tidak ketahui? Auni hanya mencebik. Jimmy yang melihat menahan rasa geram. Suka sangat mencebik bibir Auni ini. Gigit bibir tu karang nanti ada insan yang  kena sumpah jadi patung cendana pula.
            “ Awak datang balik ni, Afi tak marah ke?” soal Auni selamba. Sinis bunyinya. Padang hijau di hadapan mata direnung jauh. Namun sebaik sahaja dia mengutarakan soalan itu, rasa hendak dicarik-carik lidah yang suka memalukan tuan ini. Dia tidak berani untuk memandang ke sisi apatahlagi melalui ekor mata, dia merasakan Jimmy sedang tersenyum penuh lebar. Matilah dia. Mesti lelaki ini menyangka dia cemburukan wanita yang bernama Afi itu. Dan mengenali Jimmy yang tidak berapa hari itu, dia yakin Jimmy tidak akan melupakan perkara ini dengan mudah.
            “ Afi? Mana tahu fasal Afi?” soal Jimmy yang tiba-tiba sahaja suaranya sudah berubah nada. Bertambah perlahan dan romantis. Auni sudah semakin kejang di tempatnya. Apa yang berlaku ni? Jimmy tolonglah buang mode Matt Romeo awak tu. Seram tahu tak?  
            “ Auni...Auni cemburu fasal Afi ke?” Jimmy sudah mula ketawa. Ya ALLAH...tiba-tiba dia berasa bahagia. Auni cemburukan Afi rupanya. Dan mungkin juga ketika dia pulang tergesa-gesa minggu lalu, Auni menyangka dia pulang untuk bertemu Afi. Ya..itu sudah tentu. Dia memang sentiasa akan bertemu Afi. Auni kena faham itu. Afi sentiasa akan ada di dalam hidupnya.
            “ Sudahlah..malas saya nak layan awak,” bentak Auni sambil meninggalkan kerjanya. Dengan perasaan marah bercampur malu dia berjalan pantas meninggalkan tempat itu.
            “ Afi tu adik saya.” Suara Jimmy sempat singgah di telinga sebelum dia menghilang di balik pintu.
“ Dan InsyaALLAH bakal jadi adik ipar Auni,” tambahnya nakal dengan niat mahu mengusik Auni yang jelas nampak tidak tentu arah dengan kata-katanya. Langkah Auni sedikit pun tidak terhenti namun entah mengapa bibirnya tiba-tiba mengukirkan senyuman. Senyuman yang dia sendiri sukar untuk ditafsirkan.

No comments:

Post a Comment