Thursday, July 19, 2012

Bab 8, 9 & 10


8

“ Belok kanan!” arah Jimmy sebaik sahaja lorong kecil itu terlihat pada pandangan mata. Auni mengangguk pantas. Stereng dikawal sebaik mungkin. Sedaya upaya dia mencuba untuk mengelakkan jip ini dari terbabas. Dan selebihnya dia tidak mahu bertanggungjawab andai sesuatu berlaku kepada lelaki di sampingnya ini.
Bunyi hon panjang menyambut mereka sebaik sahaja dia membelok tanpa berhenti di simpang jalan. Auni tawakal sahaja. Perhatian ditumpukan sepenuhnya kepada pemanduan. Sebaik sahaja jip memasuki lorong itu, dia menghela nafas lega. Walaupun masih belum lepas dari bahaya, sekurang-kurangnya mereka tidak akan melibatkan orang ramai.
Jimmy hanya tersenyum. Dia mahu memuji kecekapan gadis itu, namun saat ini dirasakan kurang sesuai pula untuk dia berbuat demikian. Jadi dia hanya mendiamkan diri. Beberapa meter di hadapan pantai mula kelihatan. Jimmy pula menarik nafas lega, apabila melihat kawasan pantai itu kelihatan kosong dan lengang.
“ Ok..nak buat apa sekarang ni?” Auni bersuara sebaik sahaja dia memandang objek yang sama.
“ Pandu ke dalam air...itu saja peluang kita nak hentikan jip ni,” arahnya selamba seperti meminta Auni memandu ke Taman Tema Air gayanya.
“ Awak serius nak saya masuk dalam laut tu? Macam mana kalau lepas tu kita terperangkap dalam jip ni? Macam mana kalau kita lemas?” soalnya ragu-ragu.
“ Habis nak langgar pokok? Nak langgar dinding?” Jimmy menyoal kembali sedangkan dia tahu ada masanya impak air laut itu juga sekuat batu konkrit.
“ Saya sepatutnya tak dengar cakap abang Shah!” rungutnya perlahan namun Jimmy mendengarnya. Buat kesekian kalinya dia merenung wajah manis di sisinya.
“ Apa nama awak?” Tidak semena-mena itu yang disoal Jimmy. Dahi Auni semakin berkerut. Sesungguhnya dia memang tidak faham langsung dengan lelaki yang baru dikenalinya ini.
“ Dalam beberapa minit lagi kita akan bertembung dengan air laut dan awak nak tahu nama saya? Awak gila ke apa?” Suaranya sudah semakin nyaring.
“ Sebab kita nak masuk lautlah saya kena tahu nama awak. Hari ni pertama kali kita berjumpa..dah jadi macam ni...awak tak rasa...hubungan kita akan lebih menarik selepas ni?” Jimmy menyoal sambil tersengih dan senyumannya semakin melebar apabila melihat gadis itu menjelingnya tajam...seperti dia sudah kehilangan akalnya..Aduhai Jimmy...salah pilih tempat kalau nak mengorat sekalipun.
“ Auni...Auni Sofina.” Jimmy memasang telinga. Dalam pada marah, gadis ini menjawab juga pertanyaannya. Dia menyebut nama itu di bibirnya berkali-kali. Jarak pertembungan mereka semakin dekat. Dia memaksa Auni memandang ke arahnya. Untuk seketika pandangan mereka bertaut rapat sebelum keduanya kembali memandang ke depan.
Alright Auni...this is it...jangan takut..kita tak apa-apa,” ucapnya tenang.
Auni mengucap dan berzikir di dalam hati. Bersedia dengan hentaman yang akan berlaku beberapa saat sahaja lagi. Dia tidak berkongsi keyakinan yang sama. Jimmy boleh saja berlagak rileks dan tenang, tetapi tidak dia. Dia masih mahu hidup lagi. Jip masih meluncur laju di atas pasir pantai dan langsung tidak menunjukkan tanda mahu perlahan.
Apabila sampai di gigi air, dia menutup mata. Bunyi pertembungan cukup kuat sebaik sahaja mereka berada di dalam air. Tetapi ternyata Jimmy berkata benar. Jip mereka berhenti tiba-tiba. Auni membuka matanya kembali. Terkejut apabila melihat tangan Jimmy berada di sterengnya. Entah bila masanya disaat cemas itu Jimmy mengambil alih tugas yang satu itu. Tubuhnya pantas diinjakkan ke kanan. Dia tidak selesa menyedari bahawa tubuh Jimmy begitu hampir dengannya.
Jimmy melepaskan stereng. Dia menolak pintu untuk keluar apabila menyedari air semakin memenuhi jip. Pintu jip tersekat. Dia membuka t’shirt yang dipakai dan membalut tangannya. Dengan menggunakan siku, dia memecahkan cermin tingkap. Tubuh yang tinggi itu dibawa keluar. Beberapa saat kemudian, dia menjengukkan wajah sambil menghulurkan tangan.
“ Nak keluar kena cepat. Air dah makin penuh ni...kata tak nak mati lemas?” soalnya selamba. Auni bergerak ke bahagian penumpang. Tangan Jimmy yang masih terhulur dibiarkan sahaja. Huh! Ingat dia anak kucing senang dipegang begitu saja?
“ Tepilah tangan tu. Saya nak keluar macam mana, dah tangan awak terjulur macam tu?” Auni menyergah perlahan.
“ Sombong! Orang nak tolong pun banyak cakap pulak!” tempelak Jimmy pula. Kata-katanya itu menyebabkan pergerakan Auni terhenti. Sombongkah dia? Tidak! Sungguh dia bukan sombong tetapi lelaki bernama Jimmy ini tidak tahukah haram hukumnya memegang perempuan yang bukan muhrim?
Nak dicakapkan nanti dikatakan mahu berlagak pula. Kalau mendiamkan diri, beginilah jadinya. Dia dituduh sombong pula. Lagipun dia bukan di dalam keadaan darurat...dia masih mampu bergerak tanpa pertolongan lelaki ini.
“ Awak bukan muhrim saya.” Hanya itu jawapannya dan dia melihat Jimmy menarik tangannya kembali. Hah! Faham pun lelaki ni. Jimmy mengundur ke belakang..membiarkan Auni keluar dari jip itu tanpa bantuan daripadanya. Dia memikirkan semula kata-kata Auni. Pada masa yang sama dia berasa sedikit tenang dan lega memikirkan Auni tidak membiarkan dirinya disentuh lelaki bukan muhrim sewenang-wenangnya. Perempuan begini sudah tentu layak dibuat isteri. Langkahnya mati tiba-tiba. Auni yang meranduk air di sisinya juga terhenti langkahnya. Dia hanya menunggu dengan rasa hairan apabila Jimmy memandangnya dengan pandangan yang cukup berlainan sekali. Auni tiba-tiba terasa gugup dan berdebar-debar. Apa kenanya dengan lelaki ini?
“ Maknanya kalau nak pegang tangan awak kena jadi muhrim dulu ya?” Auni terpaku seketika sebelum dia mengambil keputusan untuk membiarkan soalan itu tidak berjawab. Soalan bodoh. Kutuknya sambil terus meninggalkan Jimmy yang masih berdiri seperti berfikir sesuatu. Sesaat kemudian, dia mendengar Jimmy ketawa pula. Dan langkahnya mati apabila mendengar pertanyaan yang tidak disangka-sangka.
“ Kalau nak jadi muhrim...maknanya kita kena kahwinlah ya? Jadi Auni Sofina, bila kita boleh kahwin?” Terbelalak mata Auni mendengar soalannya itu dan Jimmy berterusan ketawa. Hantu punya Najmi Hariri. Kutukan itu berulang-ulang di dalam hatinya.




9

Cempaka Homestay

“ Iyalah...iyalah. Aku tahulah. Aku mengusik je. Bukannya aku ajak dia kahwin betul.” Jimmy membela diri apabila menyedari pandangan mata Eddie Sufian masih terarah kepadanya. Baju yang masih basah dibuka dan dicampakkan ke dalam bakul yang terletak di sudut bilik. Dengan hanya bertuala sahaja dia terus berbaring di atas katil.
Eddie yang masih memandangnya tidak dipedulikan. Setelah apa yang berlaku sejam tadi, setelah kemalangan hampir mencederakan mereka, barulah kini tubuh berasa kesannya. Segala tulang-temulang seakan dicarik-carik dan direntap dengan kasar sekali. Sebaik sahaja tubuh dihenyakkan ke tilam, dia mengeluh kelegaan. Eddie yang tidak bersuara dari tadi dipandang dengan sebelah mata.
Sesungguhnya hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa terkejutnya dia apabila melihat Eddie berada di situ sebaik sahaja keluar dari air. Dan lebih terkejut lagi apabila mengenangkan Eddie mendengar kata-kata yang diucapkan kepada Auni. Sehingga sekarang, dia masih tidak dapat melupakan wajah Eddie ketika menyaksikan adegan yang tidak disangka-sangka itu.
“ Kau ni dah ok ke Jimmy? Kau tak sakit kat mana-mana kan?” soal Eddie masih tidak mahu percaya walaupun sudah beratus kali dia mengatakan bahawa dia tidak apa-apa. Melalui nada yang digunakan, Jimmy tahu Eddie mungkin menganggap kepalanya pasti terhantuk di mana-mana.
“ Kau ni kot nak mengusik sekalipun fikirlah, anak dara orang tu. Sesuka hati kau aje ek?” Eddie sudah mula bersila untuk menyampaikan khutbahnya. Jimmy menekup muka dengan bantal. Sesungguhnya dia sudah terlalu letih untuk melayani Eddie bercakap. Apatahlagi kalau butir-butir percakapan Eddie itu berbentuk teguran dan nasihat.
“ Eddie...apasal kau boleh ada kat sini?” Dia menyoal dan tiba-tiba mulut Eddie yang asyik membebel sebentar tadi menjadi diam.
            “ Siapa hantar kau ke sini? Rif? Afi?” Eddie terus membisu dan kepalanya juga sudah kembali tunduk.
            “ Tak sampai sehari pun aku kat sini..kau dah datang. Korang tak percaya kat aku kan?” Muka Eddie semakin merah. Dia hanya merenung lukisan pemandangan di dinding seolah-olah dia terpaku melihat keindahan lukisan yang dipotretkan. Jimmy yang melihat semakin hangat hati. Majalah gila-gila yang berada di sisinya dicapai dan terus dicampakkan ke muka Eddie.
            “ Mana ada Rif hantar aku. Aku memang cutilah. Kan aku dah cakap bulan lepas memang aku nak ke sini. Lagipun mak saudara aku kan ada kat sini.” Eddie membela diri.
            “ Huh! Tiba-tiba pulak ada saudara kau kat sini kan?” perli Jimmy sambil memandangnya penuh makna.
            “ Jimmy...kau jangan lari dari topik ok. Siapa perempuan yang kau ajak kahwin tu? Dan kenapa tak sampai sehari kau kat sini dah jadi benda macam-macam? Apa yang berlaku sebenarnya ni?” Mereka berpandangan seketika. Masing-masing tahu, kejadian yang berlaku pada petang tadi bukannya kemalangan biasa. Bukan kebetulan semata-mata. Lebih-lebih lagi, apabila disiasat, mereka mendapati bahawa brek jip tersebut sememangnya sengaja disabotaj. Oleh siapa? Mereka tidak tahu. Hendak ditujukan pada siapa? Mereka sendiri tidak pasti.
            “ Ada orang lain tahu kau ke mari?” Maklumat cuba dicungkil lagi namun empunya badan hanya menggeleng.
            “ Kau rasa mereka memang sengaja tuju pada kau?” Geleng lagi. Dia tidak tahu. Benar-benar tiada jawapannya. Sudah berbulan lamanya dia tidak terlibat dalam mana-mana operasi dan dia tidak pasti sama ada musuh lamanya kembali mencari dirinya.
            “ Jimmy, kau datang sini ada sebabkan?” Tiba-tiba dia bertanyakan soalan itu. Mereka hanya berpandangan seketika sebelum Jimmy hanya tersenyum sahaja tanpa menjawab pertanyaannya. Eddie cukup faham dengan makna senyuman itu dan dia tidak bertanya lebih lanjut. Need to know basis. Sesungguhnya dia mengerti. Ada perkara yang tidak perlu dia ketahui.
            “ Habis tu, budak perempuan tu kau rasa?” soal Eddie terus menukar tajuk dan kembali kepada topik perbualan mereka sebelum ini.
            “ Dia ada nama..Auni..Auni Sofina.” Jimmy tiba-tiba menegur apabila tidak senang mendengar Eddie memanggil Auni sebagai ‘budak perempuan tu’.
            “ Amboi membela bakal isteri nampak?” Eddie ketawa mengekek apabila Jimmy menyuakan penumbuknya. Tidak lama kemudian dia sendiri pun ketawa memikirkan apa yang berlaku antara mereka berdua petang tadi.
            “ Tak sabar aku nak cerita kat Afi yang dia bakal dapat kakak ipar...” Tiba-tiba ketawa Jimmy mati. Matanya mencerun memandang sahabat baiknya.
            “ Ed...jangan beritahu Afi. Dan jangan bagitau Rif sebab aku tahu Rif tak akan bohong pada Afi. Please,” ujarnya separuh merayu. Eddie hanya mengangguk. Kasihan pula melihat Jimmy yang beria-ia mahu merahsiakan perkara ini. Dan dia yakin, kalau mereka tahu apa yang berlaku kepada Jimmy petang tadi, dalam sekelip mata kesemua mereka pasti berkampung di Langkawi ini.
            “ Jimmy...kalaulah bukan kau...kau agak kenapa Auni yang jadi sasaran?” Jimmy terdiam. Apa yang berlaku sebenarnya manisku Auni Sofina?





Beberapa jam kemudian

            Auni berdiri di depan pintu. Dia tidak tahu kenapa dia ke mari. Entah apa gilanya dia berdiri di hadapan bilik lelaki ini. Semenjak mereka tiba ke rumah ini 4 jam yang lalu, dia langsung tidak melihat kelibat Jimmy di mana-mana. Makanan malam yang disediakan oleh Mak Long Zainab juga tidak dijamahnya. Dia terkenangkan kembali wajah pucat Jimmy.
Atas dasar itulah yang menyebabkan dia berada di sini. Dia takut sesuatu berlaku kepada pemuda itu. Dia menekap telinga pada pintu. Senyap dan sunyi. Sudah tidur ataupun sudah tidak bernyawa lagi. Ya ALLAH! Jimmy sudah matikah? Auni menampar mulutnya sendiri. Walaupun dia sememangnya tidak menyukai lelaki itu, namun tidak pernah dia mengimpikan kematian lelaki yang entah gila apa dengan selamba mengajaknya berkahwin.
            Dia tidak tahu kenapa susah-susah dia mahu berasa bimbang. Mungkin dia berada bersama temannya yang baru tiba itu. Teman yang menyaksikan adegan yang cukup memalukan itu. Kalau tidak mengenangkan teman Jimmy itu, sudah lama agaknya kakinya melayang ke muka Jimmy. Aduh Auni. Sanggupkah kau melakukan semua itu kepada Jimmy? Dia menggeleng perlahan. Resah dan keliru dengan perasaan sendiri.
            “ Ehem...” Mata Auni terbelalak. Terkejut dengan teguran tiba-tiba itu. Dengan perlahan dia mengundur ke belakang, dan dengan riak selamba dia berbalas pandangan dengan Jimmy yang tegak sahaja berdiri di belakangnya. Terus dia menghulur sepinggan mihun goreng Singapore kepada Jimmy. Motif utama yang menyebabkan mengapa dia ke mari. Dan tentunya bukan mahu mengendap lelaki Jimmy itu.
            “ Mak Long suruh bagi. Dia kata awak tak makan lagi,” balasnya tanpa rasa bersalah menggunakan nama Mak Long Zainab. Ampun Mak Long. Auni tak sengaja. Dah satu hal pula kalau Jimmy ni menuduh kalau dia sengaja mahu mengintip.
            “ Ok..terima kasih.” Jimmy bergerak mahu membuka pintunya. Auni semakin mengundur ke belakang. Tiba-tiba dia kaget dengan sikap Jimmy yang serius. Kalau sepanjang petang tadi dia asyik melihat lelaki ini tersenyum...dan lelaki ini masih mampu bergurau walaupun mereka di dalam situasi yang berbahaya tetapi kini...resahnya semakin menjadi-jadi. Senyumlah. Janganlah serius begini. Rayunya di dalam hati. Oleh kerana tidak tahu berbuat apa lagi..dia melangkah dengan niat mahu pergi dari situ. Namun panggilan Jimmy menghentikan langkahnya. Dia berpaling dan tiba-tiba darahnya menjadi gemuruh apabila menyedari Jimmy merenung wajahnya. Tajam.
            “ Auni...” Jimmy menyebut lembut namanya.
            “ Adakah ni bermakna awak tak bencikan tentera lagi? Atau awak tak bencikan saya lagi?” Auni bingung. Namun sekali lagi dia terkedu apabila Jimmy tersenyum sambil mengenyit mata kepadanya sebelum menutup rapat pintu biliknya. Auni menyentuh pipinya yang diyakini sedang merah itu sebelum dengan segera berlalu dari situ. Mati dia jika Jimmy menyedari dia masih berdiri lagi di luar biliknya. Di pertengahan jalan ke bahagian biliknya sendiri, dia terserempak dengan Mak Long Zainab.
            “ Eh Mak Long. Pergi mana tadi?”
            “ Mak long kat belakang. Teman Pak Long bersembang dengan Jimmy. Dah alang-alang, kami makan kat situ sekali,” jelas Mak Long panjang lebar tanpa menyedari perubahan pada wajah Auni. Makan sekali? Dan dia teringat pada alasan yang diberikan kepada Jimmy itu. Patutlah...Auni sudah terasa mahu pengsan. Ya ALLAH...malunya aku...
           


10

            Auni mengetuk pintu bilik Shah. Tanpa menunggu arahan masuk, dia terus membuka pintu bilik tersebut. Dia melabuhkan tubuh di atas kerusi sementara menunggu Shah menghabiskan solat subuhnya. Peristiwa petang semalam kembali terlayar dalam fikiran. Benarkah kata-kata Jimmy bahawa ada orang yang mahu membunuhnya? Dia mahu meraguinya tetapi memikirkan jip itu dalam kondisi yang baik dan sentiasa diservis, mahu tidak mahu dia terpaksa mempercayainya.
Bagaimana kalau Jimmy tiada tadi? Bagaimana jika dia sendirian? Akan selamatkah dia dalam bencana tersebut? Auni memicit kepalanya yang pening tiba-tiba. Semasa dia memarkir kereta di airport semalam, elok sahaja brek jipnya itu. Adakah mereka merosakkan brek jip itu semasa dia pergi mendapatkan Jimmy? Adakah segala pergerakannya diekori mereka? Tetapi yang menjadi persoalannya, siapakah mereka itu? Dan siapa sebenarnya sasana mereka? Jimmy ataupun dia?
            “ Eh! Bila masuk?” Shah kelihatan tergamam sebaik sahaja melihat Ani tercongok kerisauan di kerusinya.
            “ Abang, ada sesuatu berlaku petang semalam,” balasnya dan terus menceritakan apa yang berlaku. Shah tenang mendengar sehingga Auni menamatkan kisahnya.
            “ Hang tak apa-apa? Jimmy?” Shah pantas menyoal. Kalau melihat secara fizikal ini, memanglah Auni kelihatan tidak apa-apa. Dia baru pulang jam 4 pagi tadi. Cadangnya mahu terus sambung tidur selepas solat subuh namun kini rasa mengantuknya terus hilang sama sekali.
            “ Orang ok. Budak tu pun ok,” jawab Auni dengan muncung yang panjang.
            “ Budak?” Shah ketawa. Jimmy yang besar panjang itu selamba sahaja dipanggil budak. Apa agaknya reaksi Jimmy seandainya tahu dia dipanggil begitu?
            “ Kenapa abang tak cakap yang dia tentera?” Serang Auni tiba-tiba. Shah yang mendengar semakin terpinga-pinga. Bukankah Jimmy yang menyuruhnya merahsiakan perkara itu?
“ Dia mengaku dia tentera?” Auni menggeleng. Memanglah ketika ini masih belum ada pengakuan ekslusif dari tuan empunya badan.
“ Ala...spesis dia orang ni, nak sembunyi macam mana pun tetap juga orang boleh tahu.  Dia tak mengaku sekalipun orang yakin tekaan orang memang betul,” balas Auni membela dirinya sendiri. Melihat bentuk fizikal Jimmy itu dia sudah dapat mengagaknya. Orang biasa tidak akan seperti itu. Tampak gagah dan berbahaya. Orang biasa tidak akan mampu bertenang dengan situasi cemas dan bahaya. Dan tentu sekali orang biasa tidak akan kelihatan seperti mana Jimmy. Pertama kali dia melihat Jimmy, hanya ada dua tafsiran sahaja di dalam fikirannya. Sama ada Jimmy itu seorang lelaki yang baik atau sebaliknya. Dan, mujurlah Jimmy bukan di pihak sebaliknya. Sungguhpun begitu, dia cukup tidak selesa dengan kenyataan yang ada di depan mata.
“ Kenapa tak beritahu orang?” ulangnya soalan yang sama. Shah mengeluh perlahan.
            “ Pentingkah lagi siapa dia, Auni? Abang rasa buat masa sekarang, lupakan siapa Jimmy yang sebenarnya dulu. Ada masalah yang lebih penting sekarang ni. Apa yang berlaku semalam bukannya kebetulan kan? Dah pasti bukan kemalangan biasa.” Auni diam. Walaupun masih mahu bersoal jawab tentang siapa Jimmy, namun dia terpaksa akur bahawa kata-kata Shah itu ada benarnya. Siapa yang mahu membuat onar ke atas dirinya?
            “ Hang fikir siapa? Hadi? Mungkin dia rasa sakit hati bila hang tolak pinangan dia dulu. Mana tahu dia berdendam.” Shah meneka. Lagipun memang semenjak dari dulu lagi Hadi memang suka sangat mengganggu Auni. Bukan menjadi rahsia di kalangan mereka kegilaan Hadi terhadap Auni itu.
            “ Abang ni pun. Takkan sebab tu dia nak membunuh kot,” Auni pantas menolak kemungkinan itu.
            “ Hadi tu macam abang tak kenal orang dia macam mana. Cakap dia memang gah. Dia saja yang hebat tapi iyalah..sekadar bercakap saja. Buatnya bukan berani. Orang  tak rasa Hadi yang buat,” sambungnya lagi.
            “ Manalah tau. Manusia ni dah macam-macam perangainya. Yang pasti, umat manusia sekarang ini lebih kejam. Bunuh orang sesuka hati saja. Lagipun abang dengar Hadi dah ikut geng Paul. Hang tahukan Paul tu macam mana? Tahukan apa yang dia pernah buat?” Wajah Auni berubah sebaik sahaja Shah menyebut perkara itu. Sampai mati pun dia tidak akan lupa.
            “ Atau mungkin Paul yang buat?” duganya lagi. Memang tidak mustahil untuk Paul melakukan semua ini.
            “ Dia masih kacau fasal Jeff?” Auni diam. Macam mana abang Shah boleh selamba sahaja menyebut nama itu? Sedangkan dia sendiri...Auni memejam mata perlahan. Cuba membuang segala kenangan silam yang tidak pernah luput dari ingatan.
            “ Orang tak peduli dia nak buat apa. Orang tak akan beri apa yang dia nak. Mati hidup balik pun orang tak akan mengalah pada dia,” tekadnya penuh dengan keazaman.
            “ Auni....abang rasa, hang patut lupakan apa yang berlaku...Auni...”
            “ Lupakan apa yang berlaku?” Auni bingkas bangun dari kerusinya. Tidak percaya itu yang keluar dari mulut Shah.
            “ Abang tahu tak apa yang abang cakapkan ni? Abang suruh orang lupakan? Berapa ribu kali orang nak cakap yang orang tak boleh lupa. Cakaplah macam mana pun, orang tak akan berhenti selagi orang tak tahu apa yang sebenarnya terjadi....”
            “ ...mungkin sebab itulah Paul tak berhenti mengacau. Mungkin sebab hang tak mau berhenti dia sampai rosakkan brek tu..” Shah pantas menyampuk kata-kata Auni. Dia turut sama bangun sehingga mereka saling berhadapan. Sedih dia melihat Auni begini. Sampai bila Auni akan terus dengan dendamnya. Sampai bila semua ini akan berakhir?
            “ Auni...jangan main-main dengan mereka tu. Berapa kali abang cakap jangan cuba provok mereka. Kali ni mereka rosakkan brek...esok lusa entah apa lagi yang mereka boleh buat,” nasihatnya yang tidak mahu sesuatu yang buruk terjadi kepada adik saudaranya itu.
            “ Selagi orang tak tahu apa yang sebenarnya berlaku, orang tak akan berhenti. Paul doesn’t scare me, abang.” Sebaik sahaja dia berkata begitu, dia terus keluar dari bilik Shah. Sepeninggalan Auni, Shah diam memikirkan kejadian yang berlaku dalam hidup mereka beberapa tahun yang lalu. Dia mengeluh kuat sebaik sahaja ingatannya terarah pada Jeffri.
            “ Jeff...lihatlah apa yang dah jadi pada Auni.”  

No comments:

Post a Comment