Monday, July 23, 2012

Bab 15 dan 16

15

Cempaka Homestay

Auni meletakkan bungkusan barang-barang yang dibelinya di atas kaunter. Tangannya lincah sahaja mengasingkan mana barang yang perlu disimpan dan mana yang perlu digunakan untuk memasak untuk hari ini. Dia melihat jam di tangan. Sudah 3 jam berlalu semenjak dia kembali ke rumah ini. Dan selama itulah dia langsung tidak berjumpa dengan sesiapa pun terutamanya Jimmy itu. Keadaan itu tentunya lebih baik kerana dia amat memerlukan masa untuk bersendirian.
Banyak yang perlu difikirkan. Contohnya makhluk yang bernama Najmi Hariri itu. Mengapa Jimmy memintanya merahsiakan apa yang dia tahu? Apa yang akan terjadi sekiranya dia mencanangkan kepada setiap orang yang Jimmy itu seorang tentera komando? Auni mengetuk kepalanya bertalu-talu. Tidak fasal-fasal dia terpaksa memikirkan perkara itu pula.
Sebaik sahaja sampai ke rumah, dia mandi, menukar pakaian dan terus keluar untuk menenangkan jiwa yang terasa kacau. Bila diingatkan kembali apa yang berlaku, jiwanya kembali merusuh. Bagaimana boleh dia mengalirkan air mata di hadapan lelaki itu. Ya ALLAH...untuk 36 jam selepas bertemu Jimmy, dia menjadi Auni yang dungu. Auni yang lemah jiwanya Apa yang tidak kena dengan dirinya? Ke mana menghilangnya jiwa dan semangatnya yang jitu selama ini?
“ Awal masak Auni?” tegur Mak Long Zainab di muka pintu. Tudung di kepala segera ditanggalkan dan dilibas perlahan sebagai ganti kipas. Beberapa papan petai diletakkan di atas meja. Mata Auni berbeliak seketika. Huh! Petai? Sedapnya jika dibuat sambal tumis udang petai. Auni menelan air liur. Macam-macam tahu sahaja mak long tentang makanan kegemarannya yang satu itu. Teringatkan Jimmy, dia bertekad mahu lelaki itu merasa masakannya. Biar Jimmy sedar penangan seorang Auni Sofina.
“ Auni nak keluar kejap lepas maghrib nanti mak Long. Baik masak awal sikit. Nanti tak kelam kabut,” jawabnya sambil mencuci udang yang sudah dikupas siap-siap. Mak Long Zainab menarik kerusi dan duduk menghadap Auni yang masih khusyuk dengan kerjanya.
“ Kalau nak keluar, tak payah masak banyaklah Auni. Mak long pun satgi nak pi umah Tok Wa, dia buat kenduri arwah malam ni. Kalau nak masak, masak kat Auni ja.” Pergerakan Auni terhenti sesaat sebelum dia menoleh ke belakang.
“ Tak payah masak untuk tetamu?” soalnya perlahan tanpa menyebut nama Jimmy. Iyalah mana lagi tetamu yang ada di rumah ini kecuali Jimmy seorang.
“ Tak payah. Dia dah balik tadi.” Selagi lagi pergerakannya terhenti. Pisau di tangan mujur tidak terkena jari. Auni diam cuba menafsir kata-kata emak saudaranya itu. Jimmy dah balik? Balik ke mana? Balik ke tempat asalnya kah? Seribu satu persoalan yang hendak diluahkan, namun dia tahu dia tidak akan mampu untuk meluahkannya.
“ Baru sampai semalam dah balik? Penat pun tak hilang lagi?” soalnya cuba berlagak biasa. Cuba meyakinkan diri sendiri bahawa berita yang diterima itu tidak memberikan apa-apa kesan terhadap dirinya.
“ Entah...mak long pun tak tau. Tadi pun datang ambil barang kat bilik, lepas tu terus keluar. Kawan dia yang datang semalam pun ada jugak. Tak tau kenapa tapi muka masing-masing keruh ja. Macam ada masalah. Tu yang pak long pi hantaq kat airport tu.”
“ Dia nak mai balik dak?” Dan pertanyaan itu semakin perlahan keluar dari bibirnya.  Mak Long Zainab angkat bahu. Dia tidak tahu. Dan dia tidak pula bertanya. Yang pasti dia melihat wajah kedua-duanya merusuh sahaja. Seperti ada berita buruk yang mereka baru terima.
“ Tak tau. Bilik pun dah kosong. Kunci pun dia dah serahkan pada mak long.” Dan pernyataan itu menjadikan dunia Auni semakin kelam.





16
Cempaka Homestay

“ Oit! Menyicah sorang-sorang,” tegur Shah sambil menghempaskan tubuhnya ke atas pangkin itu. Dia merenung wajah adik sepupunya yang selamba sahaja menyuap mempelam muda ke dalam mulut. Mempelam muda yang dirasanya sungguh nikmat kalau dilawan cicah dengan cili kicap.
“ Mak mana?” Kepala diangkat mencari bayang emaknya yang selalunya berada di sini setiap petang.
“ Pi pekan,” jawab Auni tanpa menghentikan kunyahannya. Shah mengangguk perlahan. Sekali lagi wajah muram di hadapannya ditatap lama. Memang betul kata emak. Auni semenjak beberapa hari ini memang lain sangat kelakuannya. Dia kenal adik sepupunya ini. Kenal sangat-sangat. Jadi kalau Auni yang suka menyendiri ini bertambah sepi, dia tahu pasti ada sesuatu yang tidak kena.
“ Hang ok ke?” Angguk lagi. Sah. Auni memang tidak ok sebenarnya. Dia bangun membetulkan duduk. Besen yang dipenuhi mempelam itu dibawa jauh dari capaian Auni. Tanpa suara dia mengambil pisau dan mengupas kulit mangga.
“ Mak bagitau abang, hang murung dua tiga hari ni. Pasai apa?” Soalan ditanya terus tanpa menyimpang ke mana-mana. Dia yang baru pulang dari Penang belum sempat melepaskan lelah apabila emak mula membuka ceritanya. Dan oleh sebab dia antara insan yang cukup akrab dengan Auni, jadi sudah menjadi tanggungjawabnya untuk bertanya kiranya ada betul sesuatu terjadi sehingga menyebabkan adik sepupunya jadi begini.
“ Huh! Mak long buat cerita. Bila masa orang murung?” Secara automatik Auni mempamerkan senyumannya. Namun Shah tidak tertipu. Lama dia merenung wajah Auni sehingga akhirnya gadis itu mengalah dan mengalihkan pandangan.
“ Nak tipu abang lagi?” Diam.
“ Hang tahukan, hang boleh cerita apa pun pada abang.” Auni mengangguk perlahan.
“ Jadi....?” Shah menunggu dengan sabar namun setelah sepuluh minit berlalu, Auni masih membisu.
“ Orang tak ada apa-apalah. Jadi tak ada benda nak cerita. Orang ok,” jawab Auni sambil mata merenung gunung Mat Chincang yang cukup indah dari kejauhan. Dia tahu sebenarnya kenapa abang Shah bertanyakan perkara itu. Dan dia sedar kebimbangan Mak Long akan kelakuannya yang tidak seperti biasa ini. Dia tahu kerana dia mendengar Mak Long bertanya kepada Pak long semalam. Dia tahu semua itu namun dia sendiri sukar hendak menjelaskan apa yang dirasai ketika ini.
“ Orang tak apa-apa. Betulllll...” balasnya lagi apabila melihat riak wajah Shah yang seakan tidak percaya akan kata-katanya. Shahrul Hafizi melepaskan keluhan. Wajah lembut Auni ditatap dengan penuh kasih. Auni walaupun pangkat adik sepupunya, namun sayangnya sudah melebih adik sendiri.
“ Abang minta maaf kalau abang singgung perasaan hang. Nanti abang cakap dengan Jimmy, suruh dia cari tempat tinggal lain.” putus Shah yang menyangka mungkin itu penyebabnya Auni murung sepanjang minggu. Dia tahu, Auni memang alergik dengan tentera. Tetapi dia tetap juga mempelawa Jimmy tinggal di sini apabila dia mendapat tahu lelaki itu mahu datang bercuti di sini.
Ya, sepatutnya dia bertanyakan dahulu kepada Auni. Tidaklah masalah seperti ini timbul. Tetapi setelah sekian lama, dia fikirkan rasa itu akan berubah namun masih belum berkurangan rupanya. Auni yang mendengar nama Jimmy disebut, menyirap darahnya. Dia bingkas bangun meninggalkan Shah yang sudah terlopong dengan tindakannya.
“ Nak suruh dia tinggal mana? He’s not even here,” gumam Auni sendiri. Namun alangkah terkejutnya dia apabila lengannya direntap tiba-tiba.
“ Dia tak ada kat sini? Jimmy? Dia pergi mana?” soal Shah sungguh-sungguh. Jadi...Jimmy tiada di sini sekarang? Bukankah Jimmy mengatakan dia mahu duduk lama di Langkawi ini? Masakan sudah pulang?  Dan mengapa Jimmy langsung tidak berkata apa-apa kepadanya? Wajah Auni pucat sesaat. Abang Shah dengar rupanya apa yang dikatakannya sebentar tadi.
“ Orang tak tahulah,” balas Auni dengan perasaan penuh berbuku. Dia tidak menunggu lama sebelum tawa tercetus dari mulut Shah. Dengan hati penuh sesal dan bebal, dia masuk ke dalam rumah. Mangga yang masih berbaki, disimpan di dalam peti ais.
Tawa Shah masih belum berakhir. Auni menimbang-nimbang pisau ditangannya. Alangkah bagusnya kalau dia mampu membenamkan pisau ini pada dada abang Shah buat seketika. Sekurang-kurangnya tindakannya itu akan berjaya menghentikan tawa yang kedengaran sungguh menyakitkan hati itu.
“ Oh...murung bersebab rupanya. Rindu pada yang tiada.” Shah mengusik sambil berdiri di pintu dapur. Suka dia melihat wajah Auni yang masam-masam kelat. Semasam mangga yang dijamahnya tadi.
“ Abang jangan mengarutlah. Tak ada siapa yang rindu siapa. Tak ada sebab orang nak murung sebab dia.” Auni beria-ia mempertahankan diri sendiri walaupun dia tahu pertahanannya itu gagal apabila melihat senyuman penuh makna masih terukir di bibir Shah.
“Cinta telah berputik ya...” usiknya lagi. Ayat popular dari filem Jimmy Asmara itu terbit dari bibirnya.
Zappp...Shah tergamam apabila pisau yang dilempar Auni melekat di dinding. Hanya beberapa inci sahaja dari wajahnya.
“ Kalau mulut abang berbunyi lagi, bukan papan tu yang kena lagi dah...” ugut Auni sebelum dia meninggalkan Shah yang hampir gugur jantungnya dek kerana terkejut. Kus semangat. Mujur balingan Auni tidak tepat. Kalaulah kena tadi. Shah menahan perasaan ngeri memikirkan andai itulah yang berlaku. Dia merenung Auni lama.
Auni kalau tengah mengamuk memang tidak kira apa. Yang penting rasa sakit hatinya padam. Shah hanya mampu melihat tubuh Auni hilang di balik pintu. Dia langsung tidak ambil hati dengan tindakan Auni itu. Malah dia tahu, walau apa pun yang dicakapnya, Auni tidak akan sampai hati untuk mencederakannya. Dia tahu fikiran dan perasaan Auni terganggu. Mungkin kehadiran Jimmy mengganggu ketenteraman hatinya. Mungkin juga hati yang sudah membeku seperti ais itu sudah mulai cair?
Dia tahu Auni tidak pernah menyukai seseorang lelaki lebih dari yang sepatutnya. Walaupun ramai yang mahu bertemankan dirinya, namun hati Auni tetap tegar. Tetap tidak terusik. Tetapi kini, kedatangan Jimmy mengubah segala-galanya. Walaupun Auni masih tidak mengaku, namun dalam masa yang begitu pantas itu, Auni sudah kehilangan hatinya. Dan Auni mungkin juga akan terus kehilangan Jimmy andai dia masih terus berpaut pada peristiwa silam.
Auni..keluhnya penuh kesal. Sampai bila mahu terus begini? Sampai bila mahu melupakan segala-galanya? Auni berhak bahagia. Walau apa yang pernah berlaku dulu, Auni tetap berhak untuk berasa bahagia.

No comments:

Post a Comment