Monday, July 23, 2012

Bab 19 dan 20

19

Pantai Cenang, Langkawi

            Hadi mencampakkan putung rokok ke lantai. Pembantu kedai yang sedang menghidangkan air merenungnya tajam. Mungkin tidak senang dengan tindakannya sedangkan astray disediakan di setiap meja. Susah sangatkah mahu membuang sampah di tempat yang sepatutnya?
            “ Apa pandang-pandang? Hang ada hutang?” Hadi yang menyedari pandangan itu menjadi berang. Pembantu kedai yang bernama Ismail itu hanya mencebik dan berlalu dari situ. Bukan dia tidak kenal siapa Hadi. Suka benar membuat kacau dan onar di tempat orang.
            “ Kau ni rilekslah sikit. Hangin satu badan fasal apa?” Hakeem menepuk bahu temannya perlahan. Cuba menyabarkan Hadi yang memang terkenal dengan sikap barannya itu.
            “ Aku sakit hati betul dengan Auni tu. Boleh dia buat laporan polis fasal aku. Nasib baik Paul suruh orangnya ikat jamin aku. Kalau tak, sampai sekarang aku merengkok kat dalam lagi,” bentaknya sambil menghentak meja. Botol kicap dan garam bertaburan dek penangan tangannya yang besar hitam itu.
            “ Dah kau selalu kacau dia. Kan dia dah cakap beratus-ratus kali yang dia tak tahu mana Jeff simpan benda tu. Mungkin dia cakap betul,” Hakeem cuba berdiplomasi. Kadang-kadang naik kasihan pula dia pada Auni yang memang begitu kerap diganggu oleh Hadi dan konco-konco Paul.
            “ Kau percaya cakap perempuan tu. Kau tak ingat lagi apa yang Jeff buat? Kau nak ambil risiko biarkan dia macam itu aje? Dengan bodyguard baharu yang dia ada..kau ingat Auni memang betul tak bersalah macam yang dia dok kata? Auni tu sama keparatnya dengan Si Jeffri tu. Dua-dua tak boleh pakai.” Sekali lagi meja berlapik kain berwarna merah putih itu dihentak kuat. Kali ini, Pak Mat, ayah kepada Ismail pula yang keluar.
            “ Hadi, kalau hang mai sini takat nak hentak meja aku, baik hang pi balik. Tu hang nampak tu?” Pak Mat menunjukkan ke arah dua buah meja yang terletak di hujung kedai. Hadi memandang tanpa perasaan. Dia tahu punca kemarahan orang tua itu. Dua buah meja yang dipatahkannya bulan lalu masih belum diganti lagi.
            “ Alah pak Mat...meja murah ni pon nak berkira.”    
            “ Murah kepala hotak hang. Murah murah pun awat yang dulu tu hang tak bayaq lagi? Hang ingat gheja aku tukang siap meja untuk hang pakat hentak ka?” Pak Mat sudah mula naik darah. Mujur dia mengenali siapa ibu bapa Hadi ini. Atas dasar persahabatan lama itulah dia hanya membiarkan. Kalau hendak diikutkan hati, mahu sahaja dia mencekik batang leher Hadi sejak dulu lagi. Hidup selalu menyusahkan orang pun tidak guna juga.
            “ Ala saya bayaqlah.” Hadi sudah malu alah apabila melihat beberapa pengunjung sudah mula memandang ke arahnya. Dia mengeluarkan beberapa not biru dah dicampakkan ke atas meja. Beberapa minit kemudian, mereka berdua meninggalkan tempat itu.
            “ Kau marahkan Auni sangat-sangat ni sebab dia tolak pinangan kau ke?” Hakeem yang tahu tentang kisah itu, perlahan menyoal. Jika hendak diikutkan, Auni itu langsung tidak melakukan apa-apa kesalahan namun Hadi kelihatan berdendam benar. Hadi mendengus kasar mendengar pertanyaan itu. Dia enggan mengakui bahawa telahan Hakeem itu benar belaka. Semenjak Auni menolak pinangannya tiga bulan lalu, dia seakan berdendam dengan gadis itu.
Entah mengapa dia sering mencari kesilapan Auni hanya semata mahu membalas dendamnya. Dia tahu Auni memiliki sesuatu barang milik Paul. Barang yang hilang sebaik sahaja Jeffri menghilangkan diri. Oleh sebab Auni insan yang paling rapat dengan Jeffri itu, Aunilah yang selalu menjadi sasaran Paul untuk mendapatkan barangnya semula. Sehingga kini, Paul masih gagal mendapatkannya. Sebab itulah dia dengan rela hati menyertai kumpulan lelaki yang lebih dikenali ramai sebagai along di kawasan ini.
            “ Hakeem, aku nak kau cari maklumat tentang lelaki yang baru sampai tu. Siasat siapa dia sebenarnya. Apa hubungan dia dengan Auni. Dan siasat sama ada dia kenal Jeff sebelum ni. Dan jangan lupa perhatikan Auni jugak. Apa-apa kau inform aku.” Hakeem hanya mengangguk. Dia sudah tahu itu yang akan diarahkan kepadanya. Sememangnya semenjak dari dulu lagi dia ditugaskan untuk mengumpul maklumat Auni dan orang-orang yang rapat dengannya.
            “ Habis tu, kau nak ke mana pulak lepas ni?”
            “ Aku ada kat Bukit Kayu Hitam sepanjang minggu ni. Barang nak masuk. Paul suruh aku iring Ron kat sana.” Mata Hakeem bersinar-sinar mendengar ayat ‘barang nak masuk’, kerana dia tahu kemasukkan barang itu bererti juga kemasukkan wang ke dalam poketnya.



20

Pantai Cenang, Langkawi

            “ Datang jugak kau kat sini?” Shah menegur ketika melihat Jimmy sedang duduk bersantai di tepi pantai. Sudah beberapa hari dia melihat kelibat Jimmy di sini tetapi hanya hari ini dia berkesempatan untuk berbicara dengan lelaki itu. Jimmy yang sememangnya tengah termenung itu sedikit tersentak apabila ditegur secara tiba-tiba. Begitu pantas dia berdiri sehingga Shah turut sama kaget melihat aksinya itu.
            “ Whoa...rileks...rileks..” Shah ketawa sambil mengangkat kedua belah tangan. Jimmy yang sudah berada dalam keadaan untuk menyerang, menghela nafas perlahan. Mujur dia sempat berhenti. Kalau tidak percuma sahaja Shah makan pasir hari ini.
            “ Jangan buat macam tu lagi. Jangan tegur aku dari belakang macam tu,” pesan Jimmy menghulurkan tangan untuk berjabat. Wajah Shah dipandang dengan senyuman nipis, tanda meminta maaf. Dan dia tidak akan menyalahkan Shah sekiranya lelaki itu berasa curiga dan was-was dengannya. Shah hanya menggeleng tanda tidak mengapa. Salahnya juga menegur dalam keadaan mengejut itu.
            “ Jadi...memang betullah apa yang aku dengar ya?” kata Shah apabila kedua mereka melabuhkan tubuh di atas pasir pantai. Jimmy tidak bersuara sebaliknya dia menunggu Shah menghabiskan kata-katanya.
            “ Sesetengah komando yang aku kenal memang pantang kalau ditegur atau disentuh dari belakang. Automatik korang akan bersedia dalam defend mode kan?” tegur Shah apabila melihat reaksi Jimmy begitu.
            “ Cewah macam banyak betul kau kenal komando selama ni kan?” perli Jimmy sambil memandang Shah penuh makna.
“Kau ingat aku nak serang kau dari belakang ke?” soal Shah lagi. Masih tidak berpuas hati selagi tidak mendapat jawapannyan.
            “ Mana ada...kau tegur macam tu...sapa-sapa pun boleh terkejut macam aku. Lagipun mana kau dengar benda mengarut ni?” Jimmy ketawa, cuba menyembunyikan perkara yang sebenarnya. Kata-kata yang didengari oleh Shah itu ada juga benarnya. Tetapi bukan semua tentera yang mengalami reaksi sebegitu.
Dan sebenarnya bukan tertakluk kepada tentera sahaja. Mereka yang menggalas tanggungjawab dan tugas sepertinya sedikit sebanyak mempunyai kelakuan yang serupa.  Untuk mempertahankan keselamatan diri sendiri ketika berada di tempat asing, jangan sesekali membelakangkan orang lain. Jangan biarkan ruang kita berada dalam keadaan terdedah kepada ancaman bahaya. Pastikan belakang tubuh kita dilindungi sesuatu seperti dinding, pokok atau pun apa saja.  
            “ Berapa lama kau cuti sebenarnya ni?” Shah menukar soalan kerana dia tahu, Jimmy tidak akan menjawab soalannya itu.
            “ Tengoklah berapa lama aku nak...sampai aku bosan dengan Langkawi mungkin,” jawabnya selamba.
            “ Amboi mandat besar kau. Sesuka hati je boleh nak kerja atau tak nak. Rambut panjang lak tu. Kau ni dalam service lagi ke tidak ni?” Jimmy diam. Dia menjeling Shah sekilas.
Wajarkah dia bertanyakan kepada lelaki ini tentang Auni? Dan apakah tanggapan Shah jika dia beria-ia ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku? Tetapi kalau dia bertanya sekalipun, masakan Shah akan marah kepadanya. Sebagai saudara yang paling rapat, Shah sepatutnya tahu dan melindungi Auni dari sebarang bahaya. Jadi, tidak salahkan kalau dia bertanya? Malas berperang dengan perasaan sendiri, lebih baik dia bertanya sahaja.
            “ Taklah. Aku dalam peralihan sekarang.” Shah bungkam seketika. Peralihan. Jimmy hendak berhentikah? Sukar dia mahu percaya sungguh pun dia mendengar daripada mulut Jimmy sendiri. Setahunya Jimmy dan komando itu sukar dipisahkan. Tidak semudah itu Jimmy akan berhenti. Dia memandang Jimmy yang sedang menimbang botol kosong di tangannya.
            “ Kau nak berhenti? Betul ke ni?” Jimmy tersenyum nipis.
            “ Kalau betul pun kenapa? Jadi tentera ni bukan segala-galanya dalam hidup aku.” Dan Shah semakin kaget. Lain macam sahaja ayat lelaki itu. Dia ketawa. Tidak menganggap Jimmy serius dengan kata-katanya. Bukankah tentera itu segala-galanya bagi lelaki yang sedang duduk di sisinya ini? Jimmy hanya tenang memandang laut. Sedikit pun tidak tergugat apabila Shah langsung tidak menerima kata-katanya. Akhirnya Shah diam sendiri.
            “ Kau betul ke ni?” Soalan yang sama diajukan namun selama beberapa minit itu, dia masih tidak mendapat jawapannya.
            “ Apa kau cakap dengan keluarga kau tentang kedatangan aku ni?” Dia menekankan perkataan keluarga sedangkan apa yang ingin ditanya hanyalah pendapat Auni sahaja. Tetapi Shah tidak perlu tahu lagi.
            “ Macam yang kau suruh aku cakapkanlah. Dia tak tahu kita kenal. Aku cuma cakap kau kawan pada kawan aku. Lebih elok macam tu kan?” Jimmy mengangguk. Sebelum ke sini, sememangnya itulah yang dipesannya kepada Shah. Buat masa ini tiada siapa pun perlu tahu tujuan sebenar kedatangannya ke sini. Segala-galanya biarlah menjadi rahsia. Shah tahu akan hal itu, sebab itu dia tidak pernah bertanya.
            “ Kenapa dengan Auni?” Jimmy terus mengubah topik perbualan. Ceritanya tamat di situ sahaja. Shah seharusnya sedar bahawa dia tidak mahu bercakap mengenai perkara itu lagi. Nah! Begitu selamba dan jelas sekali pertanyaannya. Dan buat sesaat, dia melihat wajah Shah berubah sebelum lelaki itu dengan bijaknya menyembunyikan segala apa yang terpacar di riak wajahnya sebentar tadi.
            “ Kenapa dengan dia? Mana ada apa-apa dengan Auni.” Mendengar jawapan Shah, Jimmy ketawa besar. Masih ada hati mahu berselindung dengan dia rupanya. Dia bangun sambil mengibas jeans yang dipenuhi pasir. Prinsipnya satu sahaja. Dia tidak akan memaksa kalau orang tidak mahu bercerita. Kalau Shah mampu menyelesaikan walau apa pun masalah yang Auni hadapi, silakan. Dia sendiri tidak mahu masuk campur.
 Namun, prinsipnya juga, tidak sanggup membiarkan perkara yang berlaku di laut dan kejadian kelmarin berlaku di depan mata. Walaupun ternyata bukan masalahnya, dia memang suka masuk campur dalam hal-hal begitu. Keadilan harus ditegakkan walau apa pun yang terjadi. Sungguhpun mungkin ada salahnya di pihak Auni, namun lelaki yang sanggup menggunakan kekerasan terhadap wanita adalah lelaki dayus. Dan dia sememangnya tidak dapat menahan sabar andai itu terjadi di depan matanya.
            “ Bro...kau boleh berahsia dengan aku kalau kau nak. Terserah. Aku pun malas nak masuk campur. Tapi dah dua kali aku tengok ada lelaki yang cuba kacau Auni. Aku rasa kau pun tak bodoh dengan menganggap Auni tak apa-apa. Tapi...kalau itu yang kau kata...terserah.” Dia mengangkat tangan tanda mahu beredar dari situ. Dalam hati dia mengira perlahan-lahan. Sebaik sahaja namanya dipanggil, Jimmy tersenyum sebelum menutup riak wajahnya semula. Jeratnya mengena juga. Dia kembali mendapatkan Shah.
            “ Okay...beritahu aku..” arahnya sambil duduk kembali. Shah menggeleng perlahan.
            “ Aku boleh cerita tapi hanya sekadar saja sebab aku tak boleh cerita lebih dari tu. Yang lain, kalau kau nak tahu, kau kena tanya Auni sendiri. Ini kisah dia. Dia yang layak menceritakan kepada siapa yang dia mahu.” Jimmy mengangguk.
            “ Fair enough."

3 comments: