Thursday, July 19, 2012

Bab 13 dan 14

13


Who the hell are you?” luah Jimmy dengan perasaan kagum sebaik sahaja mereka berjaya melarikan diri. Dia berpaling ke belakang dan melihat Hadi dan  dua temannya masih terkial-kial cuba memasuki semula ke dalam bot setelah mereka bertiga diterajang keluar oleh Auni dan dirinya sendiri.
Siapa sangka wajah selembut itu mampu membelasah lelaki yang tiga kali ganda saiz badannya. Siapa yang menyangka reaksi pucat wajahnya itu hanya pura-pura sahaja. Jimmy tidak dapat menahan senyum. Dia jarang berasa kagum namun ketika ini dia sungguh berasa kagum dengan tindakan Auni. Siapa Auni Sofina sebenarnya?
“ Kau kena nanti Auniiiiiii............” Jeritan dari Hadi masih kedengaran. Dia melihat Auni sedikit pun tidak berpaling mendengar ugutan itu. Dia dengan tenang memerhati Auni mencari sesuatu di dalam botnya itu. Ketika ini dia yang mengambil alih pemanduan bot tersebut.
“ Mana tong petrol spare saya letak kat sini tadi?” soal Auni masih tercari-cari.
“ Opppps...” Jimmy bersuara perlahan. Mendengar ayat oppps itu terus sahaja tubuh Auni tegak. Mereka berpandangan seketika sebelum Jimmy tersengih macam kerang busuk.
“ Tu petrol spare ek?” soalnya seperti orang bodoh sahaja. Auni memandangnya lama sebelum tersenyum manis.
“ Taklah..tu bekal air untuk awak kalau dahaga. Tentulah petrol spare. Awak ingat apa?” Jimmy berpaling ke belakang merenung jarak yang telah mereka tinggalkan. Tong itu rasanya sudah selamat bertapa di dasar laut agaknya. Dalam keadaan terdesak, dia menggunakan apa sahaja untuk mempertahankan diri dan dalam keadaan itu, dia sendiri tidak sedar bila masanya dia mencapai tong tersebut.  
“ Minyak dah tak banyak. Macam mana kalau kita tak sempat balik?” soal Auni dengan suara yang semakin tinggi. Dan seperti menjawab kebimbangan Auni itu tiba-tiba enjin bot mati tiba-tiba. Auni kaku dan Jimmy rasa sedikit bersalah kerana melihat Auni yang seakan mahu menangis kerana mereka terkandas di tengah laut begini. Dia mengeluarkan telefonnya. Susah apa...panggil Eddie sebagai pasukan penyelamat. Jangan bimbang Auni..abang Jimmy ada..Hati Jimmy sudah tersengih-sengih membayangkan apa agaknya tindakan Auni jika dia meluahkan kata-kata itu.
“ Oppppsss...” Sekali lagi dia mengeluarkan kata-kata itu. Handset ditayangkan ke arah Auni. Tak ada signal. Buat seketika kedua-duanya mendiamkan diri.






            “ Iyalah...saya minta maaf. Saya tak patut buang tong tu. Nak buat macam mana? Benda dah jadi kan,” ujar Jimmy separuh memujuk. Aduhai..susah juga ya kalau Auni marah. Sudah sejam mereka mendayung, namun sepatah kata pun tidak keluar dari mulut Auni. Dia mendongak ke langit. Matahari tegak terpacak di langit.
Teriknya mentari hanya ALLAH sahaja yang tahu. Kalau dia seorang, pasti baju yang sudah lecun ini ditanggalkan dari tubuh. Tetapi mengenangkan Auni yang rileks sahaja menutup aurat, ditahan juga rasa kurang selesanya ini.
“ Ok macam ni..nanti kalau kita balik, saya tulis 1000 patah perkataan...saya minta maaf. Saya janji tak buat lagi..ok...” pujuknya cuba melawak. Auni tetap diam. Jimmy mengeluh perlahan. Apa lagi yang boleh dibuatnya ketika ini. Tiba-tiba matanya bersinar apabila memikirkan mereka tiba di tempat pertarungan yang berlaku sebentar tadi. Ya...dia ada cara untuk membuatkan Auni bercakap dengannya. Tanpa berkata sepatah pun, dia berdiri dan terus terjun ke dalam laut.
            Auni turut sama bangun. Sesungguhnya dia terkejut. Benar-benar terperanjat dengan tindakan Jimmy secara tiba-tiba itu. Dia menjenguk ke dalam air mencari bayang Jimmy yang masih galak menyelam. Dia melaung kuat nama Jimmy. Namun Jimmy masih tidak kelihatan. Beberapa saat kemudian, Jimmy timbul dipermukaan.
            “ Awak dah gila ke? Awak buat apa ni?” Jimmy sudah tersengih. Akhirnya dia berjaya membuatkan Auni bersuara.
            “ Saya nak cari tong tadi. Untung-untung ada lagi kat bawah tu,” jawabnya selamba.
            “ Sudah..awak jangan nak buat gila tengah hari buta ni. Naiklah cepat,” arah Auni yang sudah seperti suara Pak Long Amin sahaja gayanya. Jimmy buat tidak tahu. Dengan selambanya dia berenang perlahan-lahan. Menikmati kedinginan air laut. Legaaaa..hilang sikit rasa panasnya. Auni yang melihat semakin tersembol biji mata. Huh! Nak berlagak dia boleh berenanglah tu. Kutuknya apabila Jimmy menukar gaya ke kuak lentang pula.             Tiba-tiba..
            “Oppps...” Jimmy berbunyi lagi. Auni menghela nafas panjang. Kesabarannya benar-benar tipis berhadapan dengan Jimmy kali ini. Dan dengan bangganya dia ingin mengumumkan bahawa perkataan ooopsss itu adalah perkataan yang paling dibencinya dalam dunia ketika ini.
            “ Jimmy kalau awak tak naik sekarang, saya tinggal awak,” ugutnya sambil mengangkat dayung dan membuat gaya untuk beredar dari situ.
            “ Tak boleh.” Jimmy mengadu perlahan.
            “ Fasal apa tak boleh. Terjun awak pandai..naik dah tak reti? Cepatlah...panas ni,” melengking lagi suara Auni. Jimmy masih tidak memberi respon Cuma wajahnya sedikit berkerut menahan sakit. Auni yang mahu menjerit menjadi bisu tiba-tiba. Apa yang berlaku sebenarnya? Dia memerhatikan wajah Jimmy lagi. Muka macam sedang menahan sakit saja.
            “ Kenapa ni?”
            “ Kaki cramp,” jawab Jimmy dengan susah payah. Memang silapnya. Entah mengapa bila berada di sini, dia seakan lupa dengan kecederaan lama pada kakinya itu.
            “ Awak berlakon ke apa ni?” soal Auni masih enggan percaya. Mungkin Jimmy sengaja mahu mengenakannya sahaja. Jimmy tidak menjawab, sebaliknya dia berusaha keras menampung tubuhnya yang semakin dirasakan semakin berat. Auni bergerak ke dalam bot dan beberapa saat kemudian, wajahnya menjenguk Jimmy semula.
            “ Pelampung spare mana?” Jimmy menggeleng tanda tidak tahu. Kenapa mahu bertanya pada dia pula? Bukan dia tuan punya bot ini.  
“ Itulah..kalau awak pakai life jacket tadi kan senang.” Auni masih tidak putus-putus berleter. Kalaulah Jimmy itu budak berumur lima tahun tahulah dia macam mana dia hendak buat. Pasti berbirat punggung lelaki itu disebatnya. Jimmy cuba bertenang sebaik mungkin walaupun sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu. Aduhai..Auni, tidak nampakkah dia separuh lemas ni?
“ Auni...” Dia memanggil.
“ Nak berleter pun...kejap-kejap lagilah. Saya bukan berlakon ni,” tambahnya lagi. Biarlah kedengaran desperate sekalipun. Sememangnya dia terdesak ketika ini. Dan dia tahu, dia tidak akan berjaya berenang ke bot tanpa bantuan Auni.
            “ Jimmy..saya tak bawak baju salin ni. Kalau saya terpaksa terjun selamatkan awak, dan kalau saya tahu awak tipu..siap awak...” ugut Auni. Jimmy tidak bersuara. Kalau Auni tidak mahu membantu, dia tidak boleh kata apa-apa. Dia tidak berlakon kalau itu yang Auni sangkakan. Lelaki mana yang mahu menunjukkan kelemahan mereka di hadapan perempuan? Kalau dia mampu, dia tidak akan selemah ini mahu meminta pertolongan.
Dia menyelam ke dalam air untuk melegakan kesakitan yang dirasai oleh kaki kirinya namun entah macam mana sepasang tangan menarik tubuhnya. Jimmy mengangkat pandangan dan mata mereka bertemu di dalam air. Lama. Kakinya yang kejang seakan tidak terasa sakitnya. Yang pasti hatinya semakin tenggelam dek renungan mata bundar Auni itu. Masa seakan terhenti seketika. Yang ada ketika dan detik itu hanya mereka berdua.
Makhluk lain seakan tidak wujud ketika ini. Mereka berterusan menatapi wajah antara satu sama lain sebelum tiba-tiba Auni seakan tersedar. Dia melihat Auni seakan mahu menangis. Mungkin tidak menyangka dia sendiri akan memberikan reaksi sedemikian rupa. Jimmy mengeluh hampa. Momen-momen yang penuh menggetarkan jiwa itu dirasai hanya sedetik cuma bila mana Auni segera menarik tubuhnya ke atas. Dalam sekelip mata, saat itu berakhir jua.


14

“ Terima kasih,” ucapnya sebaik sahaja lelah dilepaskan. Auni hanya mengangguk tidak bersuara. Saat-saat yang berlaku di dalam air sebentar tadi telah terhenti sebaik sahaja mereka berjaya keluar dari dalam air. Yang pastinya Auni menjauhkan dirinya sejauh mungkin. Atau lebih tepat lagi Auni seperti menyorok di bahagian pemanduan bot itu. Ya...dia tahu Auni tidak selesa dengan keadaan dirinya. Dan dia pula bukanlah lelaki mata keranjang yang suka mengambil kesempatan.
            “ Kaki awak dah ok?” Perlahan sahaja suara Auni bertanya.
            “ Kalau saya minta awak tolong urutkan, boleh tak?” Jimmy sengaja menjual minyak. Perasaannya yang terganggu itu tidak boleh dilayan. Dia cuba menukar suasana yang janggal itu kepada biasa. Ternyata dia berjaya apabila dia melihat kepala Auni menjenguk dari celahan itu seketika. Dan hilang seketika kemudian. Jimmy menahan senyum. Auni sudah seperti kura-kura pun ada juga gayanya itu.
            “ Boleh....” Auni menjawab dengan suara yang sengaja dimaniskan.
            “ Boleh blah,” sambungnya lagi. Suasana kembali sepi. Diam lagi. Jimmy mengurut sendiri betisnya yang terasa begitu tegang dan sakit. Bukannya teruk sangat rasa kejang yang dirasakan, namun apabila kaki yang sepatutnya direhatkan, digunakan sepenuhnya hari ini tentulah bahana itu dia yang terima akhirnya. Apatahlagi dengan selambanya dia menggunakan kaki ini untuk membuat flying kick sehingga mencampakkan kedua rakan Hadi ke dalam laut.
            Apa yang berlaku? Kenapa dengan kaki awak?” Jimmy pangku wajah. Auni sudah menjengukkan wajahnya kembali dan matanya terarah pada kaki yang masih terdedah itu. Perlahan Jimmy menurunkan kaki seluarnya. Melindungi kesan kecederaan yang masih boleh dilihat. Jimmy hanya diam sebelum menggeleng perlahan. Tanda tidak mahu bercakap mengenai perkara itu. Auni faham.
Sesungguhnya dia faham. Dia bukannya sesiapa di dalam hidup lelaki itu untuk menceritakan segala-galanya yang dia ingin tahu. Dia membetulkan duduk. Rasa lenguh pula duduk berlipat kaki begitu. Mujurlah cuaca yang panas membantu mempercepatkan pakaiannya kering. Kalau tidak sampai ke malamlah dia berkeadaan begini.
            Wajah Jimmy sebentar tadi menghantui dirinya. Mungkin Jimmy tidak sedar bahawa sepanjang masa dia mengurut kaki, dia melihat segala perlakuan lelaki itu. Dan kesimpulan yang boleh dibuat setelah melihat wajah itu, Auni tahu Jimmy sebenarnya masih berasa sakit. Sakit yang bukan dikategorikan sebagai sakit fizikal. Sakit yang boleh dirumuskan kepada emosi yang dilihat sewaktu Jimmy mengenggam penumbuknya.
            So..come clean with me!” pinta Jimmy sekali gus mematikan segala pertanyaan yang tidak berjawab dalam kepalanya.
            “ Siapa Hadi? Dan siapa Paul? Apa yang dia hendak dengan Auni?” Erk...Auni hampir tercekik mendengar pertanyaan itu. Bukan kerana Jimmy bertanyakan tentang Hadi dan Paul tetapi lebih terkejut apabila tiba-tiba menggunakan ganti namanya sendiri dan bukannya awak seperti selalu.
            “ Kenapa dengan kaki awak?” Auni mengulangi semula soalannya. Soalan yang dibalas dengan soalan. Dan Jimmy tahu, usaha dia untuk mendapatkan jawapan daripada Auni tidak akan berjaya. Sebagaimana dia enggan menceritakan perihal apa yang berlaku, begitu juga pendirian Auni nampaknya. Dia tidak mahu memaksa. Banyak cara lain yang dia boleh gunakan untuk mencari jawapan. Mungkin selepas ini dia perlu mendapatkan jawapan daripada mulut Hadi sendiri. Rasanya itu lebih mudah dan cepat.
            “ Mana tahu saya tentera?” Auni memangku wajah. Pelik kerana tiba-tiba mereka bercakap mengenai perkara ini. Soalan yang sama juga pernah diajukan oleh abang Shah semalam. Mana dia tahu yang Jimmy ini seorang tentera.
            “ Kenapa? Tak betul ke?” Jawapan sebenar masih tidak diberikan. Auni masih mahu bermain tarik tali dengannya. Buat sesaat dia melihat wajah Jimmy berubah. Hanya sesaat sahaja sebelum lelaki itu kembali tersenyum mendengar soalannya yang penuh dengan provokasi itu. Auni diam memikirkan reaksi apa yang dilihatnya sebentar tadi sehingga dia tidak mendengar kata-kata Jimmy yang seterusnya. Apabila Jimmy memanggilnya dengan nada yang lebih kuat, barulah dia dapat menumpukan perhatian.
            “ Awak cakap apa tadi?”
            “ Kalau saya mengaku, boleh Auni tolong saya?”
            “ Tolong apa?” Jimmy bangun mengubah kedudukannya. Kali ini dia berpaling mengadap Auni. Wajahnya kembali bertukar semakin serius. Auni menjadi cuak. Tanpa sedar dia berasa berdebar-debar dengan riak yang begitu serius itu.
            “ Tolong rahsiakan apa yang Auni tahu tentang saya. Selain daripada Auni, tak ada orang lain yang boleh tahu siapa saya. Ini penting Auni. Bolehkan?” Jimmy meluahkan permintaannya. Selain daripada Auni, Shah juga tahu identiti sebenarnya namun dia tidak risaukan Shah. Dia yakin Shah pandai mengunci mulutnya.
            “ Kenapa pula? Apa yang awak nak rahsiakan?” Auni pelik. Rasa curiganya bertambah segunung lagi. Jimmy tidak terus menjawab cuba dia merenung Auni sehingga akhirnya Auni terpaksa mengalah.
            “ Kalau saya bukan tentera..Auni akan beritahu saya?” soalnya yang masih belum mahu berputus asa. Persoalan tentang rahsia itu terus dilupakan. Dia kembali kepada topik utama yang ditinggalkan sebentar tadi. Kenapa Auni membenci tentera?
            “ Kalau saya bukannya tentera..kalau saya peguam, doktor, petani atau tukang bawak bot ni  sekalipun dan bukannya tentera..Auni masih membenci saya? Masih melihat saya berdasarkan profesion yang saya sandang dan bukannya melihat saya sebagai ‘saya’...seorang manusia biasa?”
            “ Apakah?” Auni buat muka kelam dan buat-buat tidak faham. Ya ALLAH...kenapa tidak ada sebuah bot pun yang lalu ketika ini? Kenapa tiada orang yang datang membantu mereka dari terperangkap di tengah-tengah laut ini? Apa yang ditakutinya berlaku juga. Apabila bersendirian begini...dengan tiada apa aktiviti yang boleh dilakukan dan hanya ditemani dengan masa yang cukup panjang, dia tahu lama-kelamaan Jimmy pasti menyentuh tentang perkara yang satu itu juga.
Ketika ini dia mengharapkan biarlah di hadapannya ini Najmi Hariri yang suka tersenyum dan mengada-ngada. Dia mampu menghadapinya. Dia mampu menangani Jimmy yang gemar mengusik dan ketawa namun apabila Jimmy begini..dia jadi kehilangan perbendaharaan kata. Terus-terang dia sememangnya kaget mengenali sikap yang baharu ini.
            “ Saya tak kisah kalau Auni benci saya. Kalau marah dengan saya sekalipun, saya boleh terima..tapi biar benci dan marah tu bersebab. Benci saya atas perkara yang saya lakukan pada Auni. Marah saya kalau benar saya bersalah. Tapi...jangan buat saya macam ni bila saya sendiri tak tahu apa yang telah saya lakukan.
Hanya kerana saya tentera...Auni mudah buat kesimpulan yang saya lelaki yang jahat. Apa yang berlaku antara Auni dengan ‘dia’...tak adil kalau semua tentera menanggung akibatnya. Tak adil Auni buat saya macam ni bukan?” Dia menyoal lagi. Lega kerana akhirnya berjaya meluahkan apa yang ingin dikatakan. Sesungguhnya ayat “ SAYA BENCI TENTERA” itu benar-benar mengganggu ketenteraman hatinya.
            “ Awak tentera...takkan awak sendiri tak tahu apa yang tentera dah buat?” soal Auni sinis. Dia cuba untuk tidak mempedulikan soalan itu namun kata-kata Jimmy sebentar tadi benar-benar menyirap darahnya. Apa yang berlaku antara Auni dengan ‘dia’...tak adil kalau semua tentera menanggung akibatnya.” Huh! Apa yang lelaki ini tahu apa yang berlaku dalam hidupnya. Dan tuduhan yang dibuat, dia yakin semua tuduhan itu berasas sama sekali.
            “ Saya memang tak tahu kalau Auni tak beritahu saya. Tentera ni banyak cabangnya Auni..mana boleh tangkap muat macam tu sekali...” nasihatnya perlahan cuba menjernihkan keadaan yang semakin panas. Ya...perkenalan yang bermula dengan agak panas..berubah menjadi manis buat seketika dan kini kembali menjadi dingin pula. Dingin sedingin dinginnya.
            “ Awak komando kan...?” sampuk Auni masih tidak mahu kalah.
            “ Kalau saya komando sekalipun, apa kaitan saya dengan semua ni?”
            “ Kalau awak komando...percayalah..benci saya pada awak buat setakat tangkap muat saja. Kalau awak komando memang berkait rapat dalam segala-galanya.” Jimmy terdiam. Wajah putih Auni sudah berubah merah menyala. Entah rasa membara di dalam hatinya atau mungkin juga sinaran mentari yang menjadikan dia begitu. Dia tahu dia seharusnya beralah dan membiarkan sahaja perkara itu. Mungkin ini bukan tempat yang sesuai untuk bertanya, namun entah mengapa dia masih belum puas untuk berbicara lagi.
            “ Auni benci saya? Betul Auni benci saya?” Auni pula diam tidak menjawab. Dia tidak mahu menjawab soalan bodoh itu. Dia bangun mencapai dayung. Dia sudah tidak mahu menunggu di sini walau sesaat pun. Lebih cepat mereka kembali ke darat adalah lebih baik untuk kesejahteraan dirinya dan Jimmy sekali.
Dan selepas ini, dia bertekad...inilah kali terakhir mereka bertemu. Dia akan pastikan perjalanan hidupnya tidak akan selari dengan manusia bernama Najmi Hariri ini. Dia berpaling mahu membelakangi Jimmy namun pertanyaan lelaki itu mematikan langkahnya.
            “ Kalau benci saya..kenapa selamatkan saya tadi? Kenapa tak biarkan saya terus lemas? Kenapa masih ambil berat tanya fasal kaki saya? Betul Auni bencikan saya?” Mereka berpandangan. Lama. Masing-masing tidak mahu mengalah dan cuba membaca fikiran masing-masing. Jimmy tersentak tiba-tiba apabila dia melihat mata Auni bergenang dengan air mata. Jimmy kaget. Dia benar-benar tidak menyangka yang...
“ Auni...” Dia menyeru perlahan namun Auni cepat-cepat mengesat matanya. Dan apa yang ingin dikatakan mati apabila kedengaran bunyi bot menghampiri mereka.
“ Jimmy...kau ok ke?” soal Eddie sebaik sahaja dia mematikan enjin. Jimmy hanya mengangguk. Serta-merta perasaan membaranya terarah kepada Eddie Sufian. Kenapa datang tidak kena masa, Ed? Eddie yang tidak tahu hujung pangkal terus menerus bercakap tanpa menyedari suasana yang sudah berubah antara mereka.
“ Kau buat apa kat sini? Aku dah tak larat nak jawab soalan Afi. Dia kata kalau kau tak call dia setengah jam lagi, dia nak datang sini,” terang Eddie sambil menjeling pada Auni sekilas. Dan sesaat itu juga matanya beralih pada teman akrabnya. Lain macam saja mereka berdua ni. Kenapa Auni menangis? Matanya cekap menangkap wajah mendung Auni. Sudah! Apa yang Jimmy buat pada anak dara orang ni? Matanya mencari wajah Jimmy semula. Tersentak dia seketika melihat emosi yang jelas terpancar pada wajah itu. Dia datang silap masakah? Adakah dia sedang mengganggu sesuatu?
“ Kau...ok?” soalnya lebih perlahan dan berhati-hati dari tadi. Dan Jimmy masih mengangguk.
“ Ada petrol spare?” Eddie mengangguk dan terus menyerahkan petrol yang dibawa bersama.
“ Kau bawa Auni balik...” pintanya sambil melirik pada Auni sesaat.
“ Tak apa...bagi saya petrol tu. Awak balik dengan kawan awak,” sampuk Auni tiba-tiba.
“ Tapi...”
“ Jimmy...please...” Jimmy merenung Auni yang menunduk buat seketika sebelum dia mengangguk bersama keluhan yang panjang. Eddie yang tidak tahu cerita hanya memerhatikan sahaja gelagat kedua manusia di hadapannya ini.
Beberapa minit kemudian, Jimmy melihat sahaja Auni laju meninggalkan mereka berdua. Begitu laju seolah-olah tidak sabar mahu pergi dari situ..atau mungkin lebih tepat lagi..tidak sabar-sabar mahu meninggalkan dirinya. Eddie bersiul panjang sambil menggeleng.
“ Haru kau, bro.” Eddie ketawa mengenangkan temannya. Kepala Jimmy pantas berpusing ke kanan. Serta-merta dia teringatkan ugutan Afi sebentar tadi. Mati dia kalau Afi datang ke sini. Dan akan berganda-ganda dia mati kalau Afi bertembung dengan Auni nanti. Enjin dihidupkan...dia melihat jam...tinggal 15 minit untuk dia memandu ke darat.
“ Ed...aku nak buat gila ni. Pegang kuat-kuat.” Dan Eddie hanya ketawa.
Sebaik sahaja dia menyerahkan kunci bot kepada salah seorang pekerja Shah yang sememangnya menunggu di situ, telefonnya berbunyi. Dia melihat skrin dan mengeluh nafas lega.
“ Afi,” ujarnya sambil melihat Eddie yang pada masa yang sama juga menerima panggilan telefon. Dan pandangannya tidak beralih apabila melihat wajah Eddie berubah serius. Di seberang sana, Afi masih rancak bercerita dan Jimmy sendiri sukar untuk menumpukan perhatian apabila melihat Eddie mengurut tengkuknya. Sah! Memang ada masalah. Dia yakin sekali.
“ Afi...abang call semula nanti. Ada hal sikit ok,” balasnya terus mematikan talian tanpa menunggu respon daripada adiknya.  
“ Ed? Apa hal?” soalnya tanpa berdolak dalik. Eddie mengeluh sambil merenung laut yang membiru.
“ Kief!”
“ Kief?” ulangnya menyebut nama Khilfi Arami, abang sulung Eddie itu. Eddie hanya mengangguk. Namun dia tidak berminat untuk bercerita lebih lanjut.

No comments:

Post a Comment