Thursday, July 19, 2012

Bab 4

4

Kem Sungai Udang  

“ Pukul berapa dia orang nak jumpa kau?” Jimmy menoleh melihat Rif yang sedang bersandar di pintu biliknya. Bilik yang dikhaskan oleh Afi dan Rif setiap kali dia datang ke rumah mereka. Sudah nasib badan orang bujang seperti dia. Terpaksa menginap di Wisma Perwira, iaitu kediaman yang disediakan untuk pegawai bujang sepertinya. Namun jika hendak dihitung, rasanya dia lebih kerap berada di sini dari berek sendiri.
“ Sepuluh,’ jawabnya pendek dan terus dengan tugas yang dilakukan ketika ini. Mengemas barang yang akan dibawa ke KL esok.
“ Kau tahu sebab apa?” Jimmy menggeleng. Pesanan yang diterima cukup ringkas. Hadir di lokasi yang diberikan dalam masa yang ditetapkan. Sulit dan persendirian. Rif sendiri tidak tahu dan diberitahu ke mana dia akan pergi keesokan harinya.
Another ‘job’?” Pergerakkan Jimmy terhenti apabila mendengar pertanyaan itu. Dia mengeluh dan melabuhkan tubuh di atas tilam. Pakaian yang sudah separuh diisi dibiarkan buat seketika. Fikirannya sedang runsing sebenarnya. Runsing memikirkan seseorang. Seseorang yang tidak pernah lekang dari dalam hatinya. Sudah tiga hari. Dia rindu sebenarnya.
“ Gaya-gaya macam ya. Entahlah malas aku nak fikir. Esok aku tahulah apa yang dia orang nak.” Dia menoleh memandang Rif yang turut sama melepak di atas katil.
Some unfinished bussines, maybe.” Rif meneka memikirkan operasi mereka dahulu.
Maybe,” sahut Jimmy dengan nada malas.
“ Afi tengah buat apa?” Akhirnya pertanyaan itu terluah juga. Setelah berkira-kira dia mengambil keputusan untuk bertanya. Tidak mengapa dia beralah sedikit walaupun pihak di sana masih tegar tidak mahu berganjak. Dengan Rif, dia tidak perlu malu. Dia menunjukkan penumbuk apabila Rif hanya ketawa mendengar soalannya.
“ Gelabah kau, bergaduh dengan Afi,” kutuk Rif tanpa simpati. Sememangnya semenjak Jimmy keluar hospital tiga hari yang lalu, kedua kembar itu tidak bercakap langsung. Dia sendiri berasa hairan bagaimana Afi boleh bertahan dengan mendiamkan diri sampai begitu sekali. Dan Jimmy pula, seakan tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan sikap Afi yang baharu.
Rif yang hanya memerhati tidak kering gusi melihat buat pertama kalinya kembar itu bergaduh. Memang kelakar untuk dilihat. Namun kasihan pula melihat mereka dengan ego masing-masing. Seorang ke hulu dan seorang ke hilir. Yang pasti keadaan akan menjadi janggal apabila mereka bertemu di ruang yang sama. Khadijah dengan Aisyah pun sudah pandai terkebil-kebil melihat telatah kedua mereka yang sendiri melebihi kanak-kanak.
“ Mana ada aku bergaduh. Afi tak nak cakap dengan aku je,” ujarnya pantas membela diri.
“ Apa bezanya, encik Jimmy oi...”
“ Kau dah cakap kat Afi apa yang aku suruh kau cakap?” Jimmy terus dengan soal selidiknya. Mujurlah Rif seorang teman dan adik ipar yang boleh diharap. Senanglah dia merisik apa yang berlaku dengan pihak yang satu lagi itu. Sama ada sudah mengangkat bendera putih ataupun masih bersiap sedia dengan bazooka di tangan? Dia tahu Afi sememangnya degil sedikit tetapi kali ini dia melihat sisi degil yang tidak pernah dia tahu ada di dalam diri adiknya.
“ Dah...aku dah pujuk. Dah nasihat. Dah ugut-ugut manja lagi. Siap aku keluarkan hadis lagi tentang tak bertegur sapa ni tapi Afi kau tahulah. Bila degil dia datang, masak kau. Dia buat bodoh je bila aku dah macam Ustaz Don keluarkan hadis,” Rif menjawab sambil memikirkan isterinya yang tiba-tiba menjadi insan yang paling diam di dunia. Tidak boleh jadi ni. Dia mesti cuba selesaikan masalah antara mereka. Kalau tidak, dia sendiri boleh jadi gila.
Mungkin dia perlu menemukan Afi dengan Ustaz Don baru dia berlembut agaknya. Bukankah Afi sekarang ini sudah ‘tangkap syiok’ dengan ustaz muda itu? Mungkin dia boleh kawtim dengan lelaki yang sering membuatkan dia jeles setiap malam dengan kuliah agamanya itu. Aduhai..sabarlah Haiyan Rifqi. Afi sukakan ilmunya sahaja dan bukan orang yang mengajarnya.    
“ Bro...adik aku tu. Selamba je kau kutuk ek?” Jimmy segera mempertahankan adiknya. Tidak rela Afi dikatakan yang bukan-bukan walaupun dia tahu Rif hanya bergurau.
“ Bro...isteri aku tu...selamba je kau sakitkan hati dia ek?” balas Rif lebih pantas. Mereka diam seketika sebelum masing-masing ketawa perlahan.
“ Jimmy, kau abang. Beralahlah sikit,” nasihat Rif yang sememangnya runsing melihat pertengkaran itu. Jimmy mengangkat kening. Macam pernah dengar je nasihat ni dulu-dulu.
“ Ala...aku tua lima minit je. Tak kira.” Jimmy enggan beralah menyebabkan Rif mencebik bibir sebelum dia kembali bertukar serius.
“ Jimmy...selama ni aku tak pernah nak pertikaikan apa pun tindakan kau. Lagipun, selalunya keadaan terbalik antara kita. Kau yang selalu nasihatkan aku. Bukan aku yang nasihatkan kau. Kau dah nak pergi esok...kau dengan aku pun tahu apa maknanya kalau kau dipanggil macam tu. Kau rasa wajar ke kalau kau pergi tanpa settlekan apa masalah kau dengan Afi? Kalau sesuatu terjadi pada kau... pada Afi...macam mana?” Rif menasihati. Mahu menyedarkan sahabat baiknya itu bahawa sikap yang ditunjukkan ini tidak akan membawa satu faedah pun.
Jimmy tergamam. Dia hanya merenung wajah Rif dan cuba memahami maksud sebenar kata-kata sahabatnya itu. Melihat wajah Jimmy yang sedikit panik itu, Rif pantas mengangkat kedua belah tangannya. Dia tahu Jimmy panik bukan memikirkan apa yang akan berlaku kepada dirinya tetapi lebih takut memikirkan sesuatu yang buruk berlaku kepada adik kesayangannya itu. Dalam hati Rif sudah mahu ketawa namun seperti tadi dia berterusan mengekalkan wajah seriusnya.
“ Aku tak mintak jadi apa-apa pada kau ok... tapi worst case senario...kau fikir apa yang Afi akan rasa? Dan apa yang kau rasa kalau keadaan bertukar?” Rif merenung sahabatnya. Dalam keadaan ini dia juga susah hati melihat dua insan kesayangannya bermasam muka. Dia sudah puas memujuk Afi namun isterinya hanya mendiamkan diri.
Jika Jimmy juga berdegil seperti adiknya, dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjernihkan keadaan antara mereka. Dia yakin mereka sebenarnya sudah sejuk dari amarah masing-masing namun mungkin kerana pertengkaran ini bukan sesuatu yang biasa mereka hadapi, jadi pasti mereka sendiri keliru bagaimana hendak menangani keadaan ini.
31 tahun. Inilah first time aku gaduh dengan Afi.” Jimmy menggeleng perlahan.
“ 30 tahun 11 bulan 12 hari.” Rif membetulkan kata-katanya. Jimmy tergamam sebelum dia tersenyum.
“ Huh! Siap kira hari tu.”
“ Mestilah. Aku planning baik punya untuk birthday Afi nanti,” ujar Rif mengangkat kening.
“ Untuk aku jugak. Jangan lupa.”
“ Kalau kau tak settlekan problem kau dengan Afi sebelum kau pergi esok, jangan harap aku nak buat apa-apa untuk kau.” Dalam bergurau Rif serius melontarkan amarannya.





Afi ketawa melihat Khadijah Nasuha merangkak terkedek-kedek mendapatkan kembarnya yang sedang berbaring di atas karpet lembut itu. Afi tersenyum dalam duka. Nampaknya kembarnya itu sama seperti dia dan Jimmy. Pastinya mampu berjalan lebih awal sedangkan dengan usia beberapa bulan ini kedua anaknya sudah mampu merangkak ke sana ke mari. Tanpa suara, tubuhnya yang mongel turut sama berbaring di sisi Aisyah Humaira yang sedang ralit dengan botol susunya. Matanya mula terasa panas apabila Aisyah tiba-tiba melepaskan botol susunya dan memeluk Khadijah. Dan kedua mereka berbual dalam bahasa yang hanya mereka berdua sahaja fahami. Serta-merta ingatannya jatuh pada abangnya yang seorang itu.
Masuk hari ini sudah lebih tiga hari mereka tidak bertegur antara satu sama lain. Dan ketika ini dia benar-benar merindui abangnya. Walaupun mulut Rif sudah berbuih-buih menasihati, namun entah mengapa dia berasa berat mahu berbuat demikian. Adakah dia sememangnya sengaja? Dia hanya mahu menyedarkan Jimmy bahawa risiko yang gemar diambilnya itu benar-benar akan mendatangkan bahaya. Afi menggeleng kesal. Kenapa abang masih tidak faham?
Bila menyedari air matanya mahu gugur, segera dia beredar ke balkoni. Dia tidak mahu menangis di depan anak-anaknya. Dia tidak mahu mereka-mereka mengesan mereka mempunyai ibu yang cengeng. Dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan anak-anaknya walaupun ketika ini hatinya terasa begitu pedih. Dia mendongak memandang langit malam.
“ Ibu, Afi bertengkar dengan abang. Afi dah tiga hari tak cakap dengan abang. Afi tahu Afi berdosa buat macam tu tapi Afi nak abang sedar yang Afi betul-betul risaukan abang. Ayah, kalau ayah masih ada, tentu ayah tahu macam mana nak buat abang dengar kata-kata ayah kan? Ayahlah hero abang. Apa pun yang ayah cakap, abang akan dengar. Kalaulah ayah dan ibu masih ada. Abang akan bercakap dengan Afi semula. Abang tak akan biarkan Afi marah abang lama-lama. Abang akan berusaha pujuk Afi. Tapi...malam ni dah tiga malam abang tak hiraukan Afi. Abang mesti betul-betul marahkan Afi nampaknya.”
Afi mengeluh perlahan. Selalunya komunikasi satu halanya mampu melegakan perasaan yang kusut namun malam itu, dadanya tetap berasa ketat. Memikirkan sudah agak lama dia membiarkan kedua kembarnya bermain sendirian, dia berpusing untuk kembali semula ke dalam. Langkahnya mati sebaik sahaja melihat Jimmy sedang memerhatikannya. Afi sedikit kaget. Sudah berapa lama agaknya abang memerhatikan dia di sini?
“ Afi mengadu kat ibu dengan ayah yang Afi bergaduh dengan abang?” Jimmy menyoal ketika merapati adiknya. Dia tahu Afi sememangnya suka bercakap sendiri sambil merenung langit malam. Kalau tidak pun, Afi suka sekali berbicara sambil merenung gambar. Dia sendiri maklum akan perangai adiknya itu. Afi mengangguk sambil menggigit bibir. Jimmy menggeleng perlahan. Memujuk. Dia tahu beberapa saat lagi Afi pasti mengalirkan air mata. Ternyata sangkaan tepat apabila Afi menekup muka dan bahunya bergetar tiba-tiba.
“ Afi,” keluhnya perlahan. Dia pantas menarik Afi ke dalam rangkulannya.
“ Abang minta maaf sebab buat Afi sedih,” pujuknya tanpa henti. Afi hanya menggeleng.
“ Afi yang patut minta maaf.” Dadanya terasa lembap dengan air mata Afi. Dia tidak kisahkan dengan semua itu. Yang pentingnya, Afi sudah mahu bercakap dengannya. Yang pasti, dia bersyukur kerana apa yang keruh sudah ada tanda untuk jernih kembali.
“ Afi tak salah apa-apa pun dengan abang. Abang faham Afi selalu bimbangkan abang. Memang dari dulu lagi abang selalu tak habis-habis susahkan hati Afi. Maafkan abang.” Memang benar kata-kata Rif. Afi satu-satunya adik yang dia miliki di dunia ini. Yang tiada galang gantinya. Lagipun esok dia terpaksa pergi dari sini dan entah bila pula dia akan kembali bertemu Afi semula.
“ Kita dah ok kan?” soal Afi selepas diam mendengar penjelasannya. Jimmy pantas mengangguk. Dia sebenarnya sedang berkira-kira bagaimana hendak menerangkan tentang pemergiannya esok pagi.
“ Afi....abang kena pergi esok,” tambahnya lagi. Mendengar kata-kata itu menyebabkan wajah Afi terangkat dari dadanya. Dahi Afi berkerut memandang ke arahnya.
“ Abang nak ke mana?” soalnya dengan suara yang sedikit serak.
“ Belum tahu lagi.” Memang itulah yang sebenarnya. Dia sendiri tidak pasti ke mana haluannya selepas ini.
“ Bila balik?” Jimmy hanya menggeleng. Tanda dia juga tidak mempunyai jawapan untuk diberikan.
“ Abang akan balik?” Nada suara Afi kembali sedih. Jimmy mengangguk perlahan.
“ InsyaALLAH.” Afi diam merenung wajah abangnya. Terasa lain sekali bicara abangnya ini. Kalau dahulu apabila ditanyakan soalan yang sama Jimmy pasti akan mengangguk mengiakan. Begitu pasti dan yakin sekali. Tetapi tidak untuk kali ini. Dia memegang kedua belah lengan Jimmy dengan erat.
“ Janji dengan Afi yang abang akan balik,” pintanya bersungguh-sungguh.
“ Afi...”
“ Janji?” desak Afi tidak mahu mengalah.
“ Afi nak dengar abang cakap janji.” Jimmy mengeluh perlahan namun diikutkan sahaja kehendak Afi itu.
“ Iyalah. Abang janji.”
“ Abang jaga diri baik-baik,” pesannya dengan sebak di dada. Sekali lagi Jimmy mengangguk. Jemarinya pantas menyapu air mata yang mengalir di pipi Afi.
“ Afi jaga diri jugak. Jaga Rif. Jaga anak-anak.”
“ Afi ada kat sini je. Abang tu. Jangan terjun kapal terbang. Jangan terjun bangunan. Jangan buat benda-benda bahaya lagi,” pesannya bertalu-talu sekaligus membuatkan Jimmy ketawa.
“ Janji!” Jimmy menggeleng. Tidak habis-habis Afi menyuruhnya berjanji.
“ Iyalah..lain kali bila ada bahaya di depan, abang lari kat belakang. Puas hati?” Afi hanya diam. Dia merenung wajah abangnya. Lama.
“ Just bring yourself home,” bisiknya perlahan. Sekali lagi dia menarik Afi ke dadanya. Rif yang baru tiba di ruang itu hanya memandang dengan senyuman. Lega kerana Jimmy mendengar kata-katanya. Lega juga kerana kedua mereka sudah berbaik semula. Dia segera merapati keduanya. Tangan didepa dengan begitu luas merangkul kedua adik-beradik itu.  
“ Macam ni kan bagus. Buat apa nak gaduh-gaduh lagi,” balasnya girang. Afi yang menjadi sandwich, terhimpit antara mereka berdua. Lemas dia kerana tersepit begitu. Dengan sekuat tenaga dia menolak kedua mereka. Jimmy dan Rif hanya ketawa apabila Afi kelihatan mengah.
“Penyek Afi. Mintak nyawa...mintak nyawa,” gurau Afi sambil meniru gaya Ahmad Nisfu sebagai Sadiq Segaraga di dalam filem Tiga Abdul.
“ Ala Fi, selalu tak komen pun.” Rif menjawab dengan senyuman yang meleret-leret. Zapp...muka Afi merah menyala sebaik sahaja membaca maksud di sebalik kata-kata suaminya. Lengan kekar Rif menjadi sasarannya. Dia tidak tahu bagaimana hendak disorokkan wajah apabila abangnya mendengar dengan jelas apa yang diperkatakan. Jimmy pula menggeleng perlahan. Dia memandang sahabatnya penuh makna. Sejak dulu lagi memang selamba badak sahaja. Rif sememangnya kurang malu semenjak akhir-akhir ini.
Dude...tapis sikit. Aku ada lagi ni,” perlinya dengan wajah tanpa riak. Tetapi Rif hanya tersengih sahaja memandangnya. Jimmy merenung Afi seketika sebelum memandang ke arah Rif semula. Dia sudah perkatakan apa yang perlu diperkatakan. Segala yang keruh sudah jernih kembali. Lega hatinya melihat Afi sudah mampu senyum semula. Tugas yang tertangguh di biliknya perlu diselesaikan segera.
“ Jaga Afi,” pesannya sebelum berlalu dari situ. Rif hanya mengangguk. Jimmy tidak perlu bimbang mengenai perkara itu. Dia akan sentiasa melindungi Afi.
“ Pandang apa?” soalnya apabila mata Afi masih tetap terarah di pintu walaupun Jimmy  sudah berlalu pergi. Afi menggeleng merenung wajah suaminya.
“ Afi tak tahu kenapa Afi rasa sedih tiba-tiba. Kenapa Afi rasa abang nampak lain sangat malam ni.”
“ Jimmy?” ulang Rif meminta kepastian. Kadang-kala memang menjadi kekeliruan antara dia dan Jimmy apabila Afi memanggil kedua mereka dengan panggilan yang sama. Afi mengangguk.
“ Afi...Jimmy mampu jaga diri dia sendiri. Afi jangan risau yang bukan-bukan,” pujuk Rif lagi. Afi diam. Dia benar-benar tidak sedap hati. Dia tahu dan yakin bahawa abang yang seorang itu mampu menjaga dirinya dengan baik. Tetapi ketika ini, dia tidak dapat menafikan apa yang sedang dirasai. Dia terasa sesuatu yang buruk bakal berlaku. Memikirkan itu, Afi cepat-cepat beristighfar. Tidak mahu tunduk dengan hasutan iblis yang sentiasa mahu menyesatkan umat manusia.

No comments:

Post a Comment