Thursday, July 19, 2012

Bab 11 dan 12

11

Imbas kembali 10 tahun yang lalu

            “ Auni....Auni...Auni...sini...” Auni yang sedang mengayuh basikal semakin mempercepatkan kayuhan sebaik sahaja mendengar suara memanggil namanya. Kain baju kurung sekolah yang dipakainya ketika ini hampir tersingkap sehingga ke paha dek kerana terlalu pantas mengayuh basikal untuk cepat tiba di tempat yang ditujunya ini. Sebaik sahaja dia tiba, dia segera menarik brek sehingga terseret bunyi tayar.
            “ Mana yang lain?” soal Auni sebaik sahaja melihat hanya mereka berdua sahaja di situ. Dia memanjangkan leher untuk mencari bayang abang sepupunya namun tiada. Dia kembali menoleh ke sisi. Memandang Jeffri yang berwajah selamba.
            “ Abang Shah mana?” soalnya sambil menyandarkan basikal ke tepi dangau yang dibina mereka itu.
            “ Budak baik macam dia, mana nak ikut kita,” jawab Jeffri yang lebih senang dipanggil Jeff itu.
            “ Babuk tak nampak kau lari?” tanya Jeff terus menuju ke sungai yang mengalir jernih di hadapan mereka. Auni hanya mencebik. Tengok kakilah. Bab-bab lari dari sekolah, dia memang nombor satu. Asal tiba sahaja matapelajaran yang tidak diminatinya, pasti destinasinya ke sini. Bertemu dengan Jeffri yang sememangnya juara ponteng sekolah kategori lelaki itu.
            “ Hari ni semua cikgu mesyuarat. Apa lagi cau cin cau le,” balas Auni sambil ketawa. Dia teringatkan cikgu Rahim yang digelar Babuk oleh semua orang di sekolah. Macam mana nama itu lekat pada dirinya tidaklah diketahui. Yang pasti cikgu bernama Babuk itu merupakan cikgu disiplin yang paling garang dan digeruni oleh semua pelajar.
Entah berapa kali dia dan Jeffri disebat di hadapan perhimpunan sekolah kerana masalah disiplin mereka. Sudah berapa kali mereka dipanggil berjumpa pengetua. Namun semua itu tidak pernah membuatkan mereka serik. Makin menjadi-jadi adalah. Mungkin juga mereka dibiarkan kerana otak mereka yang geliga. Senakal-nakal dan pelbagai masalah yang dibawa, mereka tetap pelajar harapan sekolah. Lama-kelamaan, pihak sekolah hanya membiarkan sahaja.  
            “ Banyak dapat ikan?” Auni melihat sahaja Jeffri mula membuat unggun api untuk membakar ikan yang mereka tahan mengunakan pukat, malam sebelumnya.
            “ Bolehlah. Untuk kau yang kuat makan, cukuplah,” jawab Jeff selamba. Mata Auni buntang sebaik sahaja melihat Jeff mengeluarkan sesuatu dari poket bajunya. Kotak rokok.
“ Jeff?” Jeffri hanya mengangkat kening namun tidak sedikit pun dia berniat mahu membatalkan hasratnya menyalakan seputung rokok itu.
“ Kau buat apa ni, Jeff?” Auni membentak separuh menjerit. Dia cuba mahu merampas rokok tersebut namun Jeff menahannya.
“ Rilekslah Auni. Kau ni kecohlah. Nak?” soal Jeff sambil menyuakan kotak itu kepada Auni.
“ Buang rokok tu!” arahnya dengan suara yang tak tertahan-tahan. Jeffri hanya ketawa. Dia terus membalik-balikkan ikan yang sedang dibakar tanpa mempedulikan amarah Auni. Ikan yang telah masak diletakkan ke dalam pinggan kosong dan diberikan kepada Auni. Auni memeluk tubuh. Ikan yang selalunya membangkitkan seleranya dahulu tidak mampu berbuat demikian kali ini.
Dia runsing memikirkan Jeffri yang sudah mula mendapat hobi baharu. Dari mana Jeffri belajar merokok? Siapa yang mempengaruhinya untuk merokok? Ya..dia tahu, Jeffri sememangnya tergolong dalam golongan remaja yang nakal dan bermasalah, namun dia tidak pernah melihat lelaki itu menyalakan sebatang rokok sehinggalah hari ini. Dia juga nakal dan sering menimbulkan masalah namun senakal-nakalnya, dia masih tahu had.
“ Makan Auni. Nanti kawan aku nak datang. Tak merasa kau ikan ni nanti,” pujuk Jeff sambil cuba meletakkan pinggan plastik berwarna merah itu di atas tangan Auni. Auni menepis kuat sehingga pinggan itu tercampak ke tanah. Dia melihat rahang Jeffri bergetap melihat kelakuannya itu. Ikan keli yang sudah bersalut dengan pasir itu hanya dibiarkan sahaja. Dia tahu, Jeffri sedang menahan marahnya. Auni mencebik sinis. Dia peduli apa dengan kemarahan Jeffri. Ingat Jeffri seorang sahaja yang boleh marah?
Perhatiannya terganggu apabila tiba-tiba bunyi motosikal menghampiri tempat mereka. Dahinya berkerut melihat tetamu yang baru sampai itu. Hadi! Dia menjeling wajah Jeffri sehingga lelaki itu sendiri mengalah dan melarikan matanya. Perasaan marahnya tidak tertahan-tahan lagi. Hari ini dia benar-benar menerima pelbagai kejutan. Apa yang membuatkan Jeffri berubah begini sekali? Auni mencapai beg dan basikalnya semula.
“ Aku blah dulu,” cakapnya tanpa memandang ke wajah Jeffri.
“ Auni..tunggu dulu. Makan dulu dengan aku,” ajak Jeff cuba menahan Auni dari pergi. Auni menggeleng. Entah mengapa tiba-tiba matanya terasa hangat. Tidak mahu menunjukkan kepada Jeff bahawa dia mahu menangis, dia pura-pura ketawa namun hambar bunyinya.
“ Aku ingat hanya kita saja, Jeff. Kenapa mesti campur dengan mereka?” soalnya hampa. Tanpa menunggu jawapan, dia terus berlalu dari situ. Suara Jeff yang masih memanggil namanya tidak dipedulikan.






“ Marah?” soal Jeffri ketika melabuhkan punggung di sebelahnya. Auni diam tanpa reaksi. Sudah geharu cendana pula...sudah tahu bertanya pula. Tidak nampakkah wajahnya yang masam ini? Kenapa masih mahu bertanya? Sudah tentulah dia masih marah. Hari ini Jeffri betul-betul mencabar kesabarannya. Sudahlah merokok. Kemudian bergaul pula dengan geng Hadi yang sememangnya terkenal sebagai kutu rayau itu. Jika dia dan Jeffri suka ponteng sekolah, Hadi pula sudah tidak bersekolah semenjak dibuang sekolah 3 tahun lepas akibat menyeludup ganja ke sekolah.
Buat apa Jeff bergaul dengan budak Hadi itu? Sudah terlalu banyak dia mendengar cerita yang tidak elok mengenai lelaki itu. Namun disebabkan bapanya orang berharta, orang hanya memandang sebelah mata sahaja segala kelakuannya selama ini. Macam mana Jeff boleh berminat berkawan dengan Hadi? Apa tarikannya sehingga membuatkan mereka bersama? Auni benar-benar hairan.
Dia buntu memikirkannya. Sesungguhnya dia risau memikirkan Jeff akan terlibat dengan perkara yang lebih buruk lagi. Kalau kini bermula dengan rokok, tidak mustahil selepas ini akan berjinak-jinak pula dengan ganja dan dadah. Seriau sungguh Auni apabila dia memikirkannya. Dia cuba berharap Jeff tahu membezakan mana yang baik dan tidak untuknya.
“ Nah!” Jeffri menyua sesuatu ke arahnya. Auni menjeling Talapia merah yang sudah dibakar itu. Kecur air liurnya melihat makanan itu namun oleh kerana mahu menunjukkan protes terhadap Jeff, dia hanya mencebir bibir. Jiwanya bukan mudah dibeli dengan hanya diberikan ikan bakar itu.
“ Janganlah marah Auni. Makanlah. Kau aje yang aku ada sekarang ni,” pujuknya lagi. Mendengar kata-kata itu jiwa Auni yang keras menjadi cair tiba-tiba. Hatinya sedikit terusik apabila mendengar Jeff berkata sedemikian. Memang selama ini mereka hanya ada antara satu sama lain.
“ Kau tak patut kawan dengan Hadi tu Jeff. Dia budak masalah. Kau bukan tak tahu dia macam mana. Kenapa nak libatkan diri dengan dia? Dan sejak bila kau merokok ni? Aku tak pernah tahu pun kau merokok? Sebab Hadi kan? Dia yang ajar kau?” tuduh Auni yang sememangnya tidak mengesyaki orang lain lagi selain daripada Hadi Sulaiman itu.
“ Jangan salahkan Hadi,” bentak Jeffri tiba-tiba. Auni tergamam. Sejak bila Jeff sudah pandai menengking dirinya? Hatinya semakin terusik. Ternyata jurang antara mereka semakin jauh.
“ Aku merokok dah lama dah. Bukan sebab dia. Sebab aku yang nak. Aku merokok belakang kau. Kau aje yang tak pernah perasan. Hadi tak ajar aku apa-apa Auni. Apa yang aku buat, keputusan aku sendiri.” Auni memandang wajah itu lama. Jeffri juga tidak mahu beralah dengan pandangannya. Akhirnya Auni mengalah. Dia bangun daripada situ. Seperti apa yang dilakukan tengahari tadi, ikan yang dibakar Jeff untuknya dibiarkan sepi.
“ Auni...kau nak ke mana?” Jeffri sedikit bimbang. Wajah Auni lain sekali. Benar-benarkah Auni marahkan dirinya?
“ Kau dah ada orang lain Jeff. Kau tak perlukan aku lagi. Lagipun aku macam dah tak kenal kau siapa lagi.” Jeffri tergamam. Begitu sekalikah?
“ Auni.” Dia memanggil berkali-kali namun Auni tetap melangkah pergi.


12


Cempaka Homestay
Masa kini

            Jimmy mengadap nasi lemak dengan khusyuk. Aduhai...sedapnya. Dengan wanginya. Serba serbi cukup rasa. Dengan tak berapa malunya dia menambah untuk kali ke tiga. Mujur hanya dia seorang sahaja yang berada di dapur itu. Kalaulah nampak dek mak long dan pak long harus dia ditolak dari senarai menantu pilihan.
            “ Makan Jimmy. Jangan malu-malu. Tambah lagi,” pelawa Mak Long Zainab sambil meletakkan bakul di atas meja sebelah sinki. Jimmy sedikit terpana. Baru sahaja sebut nama sudah muncul Mak Long Zainab di hadapannya. Magik ke apa ni? Mujurlah mak long tidak ada semasa dia sedang menghidu wanginya nasi lemak itu. Untuk menutup rasa gugup, dia hanya tersenyum.
            “ Dah berapa kali tambah dah mak long. Kejap lagi tak sampai pukul 10 mata dah mengantuk,” balas Jimmy berbahasa.
            “ Pak Long kata pagi ni nak guna bot ya?” Dia mengangguk pantas. Semalam sudah dinyatakan apa yang diperlukan. Mujurlah Pak Long Amin mempunyai bot yang cukup untuk disewa. Dia tidak mahu berkongsi dengan orang lain.
            “ Boleh bawak sendiri?” Mendengar pertanyaan itu, kepala Jimmy automatik mahu mengangguk namun dibatalkan hasratnya. Wajah keibuan Mak Long Zainab ditatap dengan perasaan tenang.
            “ Kalau tak boleh kenapa?”
            “ Kalau hang tak reti bawak sendiri, mak long nak suruh Auni je yang bawak.” Auni! Tubuh Jimmy menjadi semakin tegak. Segar jiwanya mendengar nama itu pagi-pagi ini.
            “ Auni? Shah tak bawak ke?” soalnya mahu menutup rasa terujanya sebentar tadi. Mujur juga Mak Long Zainab tidak perasan.
            “ Shah pagi-pagi dah keluar. Dia tu memang jarang lekat kat rumah,” terangnya lagi. Jimmy diam memikirkan perkara itu. Mahu meminta Auni membawanya seolah-olah mengaku kepada wanita ini bahawa dia tidak boleh memandu bot. Huh! Malu. Malu. Rosak imejnya kalau macam ini. Tetapi demi si manis Auni Sofina, dia sanggup mengaku buta huruf sekalipun.
            “ Auni tak kisah ke mak long?” Mak Long Zainab hanya ketawa.
            “ Kalau kamu suka Auni bawa, mengaku ajelah. Tak payah nak selindung.” Mak Long Zainah sudah mula senyum-senyum penuh makna. Manakala Jimmy pula sudah merah mukanya. Suapannya semakin laju tanda mahu meninggalkan tempat itu secepat mungkin. Huh! Mak Long Zainab memang ada kuasa magik ni.




            “ Apa yang dok tertonggeng-tonggeng tu Auni? Hang dok mengendap sapa tu?” Tegur satu suara yang cukup mengejutkannya. Auni yang langsung tidak menyangka disergah begitu terus tersembam ke depan. Buat seketika, wajahnya hilang di balik daun pandan yang tumbuh mengalahkan lalang di hujung padang. Dia menyapu muka yang sedikit kotor dan pergerakannya lambat-lambat saja mahu berhadapan dengan Pak Long Amin. Sudah! Apa dia nak jawab ni? Dan buat kali kedua dalam masa 8 jam setelah dia terkantoi, dia menggunakan lagi nama Mak Long Zainab. Ya..untuk menyelamatkan diri dan mengelak rasa malu, dia rela berterusan menggunakan nama emak saudaranya itu.
            “ Er..Auni nak ambil pandan, Pak Long. Mak Long suruh. Kata nak buat air sirap.”
            “ Ish hang ni? Ambil pandan ke buat pandan? Dah sepuluh minit pak long dok nampak hang tak bergerak-gerak dari tadi. Betoi ka ni? Kot hang nak ngendap anak bujang orang? Macam pak long tak tau bilik Jimmy kat mana,” soal Pak Long dengan suara yang agak kuat.
            Auni kaku macam disambar petir. Wajahnya terasa panas dan merah tiba-tiba. Agaknya jika hendak dibandingkan buah tomato masak dengan wajahnya ketika itu, rasanya menang lagi dia dari buah-buahan itu. Dan Pak Long pula...kenapa begitu selamba menuduhnya yang bukan-bukan? Sudahlah suara Pak Long seperti bercakap menggunakan hailer sahaja. Ya...walau dia hanya seorang sahaja di hadapan lelaki ini, tetapi pak long tetap bercakap seperti dia sedang berucap dalam perhimpunan sahaja gayanya. Ya Allah...Auni sudah terasa mahu menghentak kaki ke tanah. Walaupun tuduhan bapa saudaranya itu ada benarnya, namun takkan dia hendak mengaku pula?
            “ Pak Long ni..mana ada orang mengendap,” Auni membela diri namun dia merasakan misinya mahu membela diri tidak berjaya. Sebaliknya pandangan mata bapa saudaranya itu sudah beralih ke tempat lain. Di belakangnya lebih tepat lagi. Dan Auni semakin kaku seperti patung cendana apabila mendengar ucapan salam di belakangnya.
            “ Hah..dah sampai pun. Auni pergi start kereta,” arah pak long sebaik sahaja Jimmy berhenti di hadapannya. Auni yang baru sahaja berniat mahu melarikan diri dari situ terhenti langkahnya. Start kereta? Hendak ke mana? Dia menjeling sekilas pada Jimmy yang sedang tajam memerhatinya. Namun entah mengapa dia dapat merasakan Jimmy sedaya upaya sedang menahan senyumannya.
Arghhh sudah. Dia yakin Jimmy mendengar segala apa yang dikatakan oleh bapa saudaranya itu. Dia sudah tidak tentu arah. Malu yang semalam tak habis lagi, ditambah pula dengan malu yang satu ini. Aduhai..kenapalah kedatangan Jimmy ini menjadikan semuanya serba tidak kena? Lalu wajahnya dibiarkan tanpa riak. Konon-kononnya apa yang berlaku tidak menjadi bekas kepadanya. Kontrol Auni kontrol. Kau boleh lakukannya. Aja aja hwaiting.
            “ Nak pi mana? Auni nak pi jemput orang kat jeti ni. Tengah hari nanti depa sampai.” Terus dia menjawab tanpa mempedulikan Jimmy yang masih tidak berganjak pandangannya. Huh! Apa pandang-pandang? Cungkil bijik mata tu baru tahu. Dia menghantar mesej melalui pandangan mata. Tiba-tiba Jimmy ketawa sekali gus mengejutkan mereka yang ada di situ.
            “ Hang ni kenapa, Jimmy? Hujan tak. Ribut tak..tiba-tiba ketawa ni pasai apa?” Pak Long menyoal. Kali ini Auni pula yang bersorak kemenangan sambil berpeluk tubuh. Keningnya terangkat-angkat menunggu Jimmy memberikan jawapannya. Tak ke sewel tiba-tiba tanpa sebab ketawa macam itu?
            “ Eh..tak...tiba-tiba teringat komik gila-gila yang saya baca semalam.” Ambik kau..terkial-kial nak menjawab. Auni tiba-tiba terasa bahagia. Hoyey...100 markah penuh untuk pak long. Seronok dia dapat mengenakan Jimmy sampai macam ni sekali. Pak long hanya mengangguk tanda memahami.
            “ Oooo..ingatkan hang ketawa pasai Auni nak cungkil bijik mata hang.” Dan tiba-tiba keduanya bertukar senyap dan sepi.








Di Jeti

            “ Marah nampak?” tegur Jimmy apabila melihat perlakuan Auni yang sedikit kasar sewaktu mencampakkan jaket keselamatan kepadanya. Jimmy menyambut dan meletakkan sahaja jaket itu di atas pahanya. Langsung tidak berniat mahu memakai jaket berwarna oren itu.
            “ Pakailah jaket tu..nanti saya yang kena saman,” arahnya sambil menghidupkan enjin bot.
            “ Kalau nak saya pakai, awak kena beritahu dulu kenapa awak marah-marah ni.” Jimmy bersuara separuh memujuk...separuh memprovok. Suka benar dia melihat Auni yang begitu mudah naik angin dengannya. Auni mencebik. Pura-pura tak tahu konon. Dia tidak tahu mengapa tiba-tiba dia ditugaskan untuk membawa lelaki ini menjelajah pulau ke pulau. Sesungguhnya tugas melayan Jimmy ini tidak termasuk dalam senarai tugas hariannya.
Makin dia menolak semakin dekat dia dicampakkan kepada lelaki ini. Pak Long dan abang Shah memang melampau. Bukannya mereka tidak tahu apa yang dirasakannya, namun mereka seperti sengaja pula. Seolah-olah tidak pernah mengerti apa yang pernah berlaku dahulu. Mahu menolak, dia tidak sanggup..lebih-lebih lagi penolakannya akan lebih membuatkan lelaki bernama Jimmy ini ingin mengetahui sebab musababnya.
            “ Gasaklah awak...jatuh dalam air..pandai-pandailah awak berenang sendiri ya,” Bot sudah memulakan perjalanan. Semakin lama semakin laju. Angin juga bertiup semakin kencang. Jimmy dengan senyuman misterinya menadah wajah ke langit. Aduhai..indahnya ciptaan Tuhan. Untuk seketika mereka hanya mendiamkan diri. Auni di bahagian pemanduan dan dia duduk bertentangan.
            “ Awak nak pergi Tasik Dayang Bunting dulu ke?” soal Auni sebaik sahaja dia memberhentikan bot di tengah laut. Jimmy hanya mengangkat bahu. Dia bukan hendak menjelajah pulau ke pulau sebenarnya pun. Lebih kepada mahu bersendirian bersama Auni secara jujurnya. Dan atas sebab itulah dia sanggup menyewa sebuah bot untuk dia seorang padahal bot yang dinaiki ini boleh memuatkan 16 orang pelancong.
            “ Tak pergi pun tak apa. Saya bukannya nak mengandung.” Selamba saja dia menjawab, merujuk kepada mitos mengenai tasik yang tersohor di pulau Lagenda itu. Muka Auni semakin merah. Bengang mendengar jawapan itu. Kalau tidak mahu ke sini, kenapa diheretnya dia bersama? Dia merenung kasut yang dipakainya. Agak-agaknya apa reaksi Jimmy seandainya dia mencampakkan kasutnya ke muka lelaki itu? Jimmy yang menyedari keadaan itu terus berdiri dan mendekati Auni. Mungkin sudah sampai masanya dia menerangkan niat sebenarnya.
            “ Sebenarnya saya ada benda nak tanya. Khas untuk pendengaran telinga awak sahaja dan bukannya orang lain.” katanya dengan memulakan mukadimah dengan gaya yang cukup serius. Dan sungguh, perkara yang ingin ditanyakan ini bukannya perkara yang boleh diambil mudah.
            “ Hah..?”
“ Tinggal kita berdua saja sekarang. Awak nak beritahu saya apa yang terjadi semalam? Kenapa brek jip awak tu dirosakkan?” Auni terpempan. Dia memandang sekeliling. Ya..memang hanya mereka sahaja di situ. Jadi..sebab inikah Jimmy mahu mengajak dia ke mari? Hanya untuk mendapatkan jawapan yang sebenarnya?
“ Jangan nak kata awak tak tahu apa-apa ...” sampuk Jimmy lagi apabila dia mahu membuka mulutnya.
“ Saya tahu dan awak pun tahu yang brek jip tu memang segaja dirosakkan. Jadi..sebelum saya tanya pada pak long awak..lebih baik awak terangkan pada saya...apa sebenarnya yang berlaku. Siapa yang nak buat awak macam tu?” Auni tidak menjawab. Sesungguhnya dia tidak mampu menjawab. Dan melihat wajah yang cukup serius itu, dia pasti Jimmy tidak akan percaya kalau dia memberitahu bahawa dia juga tidak tahu apa-apa.
Are you in trouble, Auni?”
“ It’s none of your business,” sahut Auni pantas, apabila dia mendengar nada yang kedengaran agak bimbang daripada Jimmy. Bimbang dan ambil berat.
“ Memang bukan urusan saya tapi jangan lupa saya juga ada dalam jip tu semalam. Kalau awak dalam bahaya, saya juga kena tempiasnya. Benda ni dah jadi urusan saya lebih-lebih lagi saya tinggal dekat homestay keluarga awak. Awak tak rasa saya berhak untuk tahu, Auni? At least, saya boleh bersedia kalau benda macam ni berlaku lagi.” Jimmy masih belum berputus asa untuk memujuk. Keras sungguh hati Auni Sofina ini.
“ Jangan bimbang. Benda ni tak akan berlaku lagi,” putus Auni mudah sambil mula menghidupkan kembali enjin bot. Apa yang telah dan bakal berlaku, tidak perlu diberitahu kepada lelaki ini. Walaupun dia tahu apa yang dikatakan oleh Jimmy ada benarnya, namun dia akan pastikan, orang yang tiada kaitan dengannya tidak akan mendapat susah dan bahaya. Itu tekadnya. Namun belum sempat bot bergerak, laluan mereka dihalang oleh sebuah bot yang secara tiba-tiba menghampiri mereka.  
Jimmy yang merasakan sesuatu, perlahan bersedia. Mengira berapa orang yang berada di atas bot itu. Dia menjeling sekilas ke arah Auni yang tiba-tiba pucat sahaja mukanya. Hmmm...menarik! Siapa gerangan lelaki-lelaki yang menimbulkan perasaan takut di wajah itu? Salah seorang lelaki bertubuh besar berdiri dan melompat ke atas bot mereka. Jimmy masih tidak bergerak. Dia hanya membiarkan dan memerhati sahaja rentak lelaki ini. Dua rakannya yang sedang menunggu di bot mereka juga tidak lepas dari perhatiannya.
“ Auniiiii...” meleret sahaja bunyi nama Auni di bibir lelaki itu.
“ Kat sini kau lari rupanya. Kau tahukan Paul tengah cari kau sekarang ni?” soal lelaki tu lagi.
“ Blahlah Hadi. Aku tak kacau korang. Korang jangan kacau aku lagi,” jawab Auni dengan suara yang tertahan-tahan. Bukan kerana takut tetapi lebih kepada marah dan geram kerana semua ini berlaku di hadapan Jimmy. Dan selepas ini, pasti akan bertalu-talu soalan yang keluar dari mulutnya itu. Namun, kenapa sedari tadi Jimmy itu hanya tenang sahaja duduknya? Seolah-olah melihat perbualan antara dua rakan yang sudah lama terpisah sahaja gayanya. Duduknya seperti tidak peduli dengan apa yang sedang berlaku ketika ini.
“ Kau kena ikut aku balik. Paul nak jumpa kau,” tegas Hadi lagi. Auni hanya ketawa.
“ Sejak bila kau jadi anjing Paul ni?” Muka Hadi merah padam sebaik sahaja mendengar dirinya digelar anjing. Celopar sungguh mulut Auni. Tangannya gatal sahaja mahu menampar wajah Auni tapi sebaik sahaja matanya bertembung dengan mata Jimmy, pergerakkannya terus terhenti. Hadi segera melarikan wajah. Entah mengapa jantungnya berdegup kencang. Yang pasti dia tidak berasa selesa melihat wajah lelaki itu. Apatahlagi merenung ke dalam matanya.
Walaupun lelaki itu tenang sahaja duduknya namun Hadi tahu lelaki itu membawa aura yang sungguh bahaya. Tanpa sedar dia meraba senjata yang berada di dalam jaketnya. Sedikit sebanyak keberaniannya kembali. Ya...walaupun lelaki itu tampak bahaya, namun pasti tidak boleh melawan senjatanya bukan? Siapa dia lelaki ini? Adakah teman lelaki baharu Auni? Adakah lelaki ini yang menyebabkan Auni menolak pinangannya? Darah Hadi semakin meruap memikirkan perkara itu.
“ Cepat ikut aku. Jangan banyak soal,” tegasnya kemudian. Kedegilan Auni perlu dipaksa.
“ Aku tak nak.”
“ Kau tahu Paul tak suka dengar perkataan tak nak dari kaukan?” balas Hadi sambil menyeluk jaket kelabunya. Auni tahu apa yang ingin dikeluarkannya itu. Dia mula bertindak. Dan dalam keadaan yang begitu pantas itu juga, dia melihat Jimmy turut bangun. Segala-galanya berlaku begitu pantas dan sekelip mata.

No comments:

Post a Comment