Thursday, July 19, 2012

Bab 2 & 3

2

Kem Sungai Udang, Melaka

  Suara tangisan Khadijah Nasuha masih tidak berhenti. Sudah puas Afi memujuk namun tidak berjaya. Dia sudah kehabisan punca mengapa anaknya ini menangis tanpa henti. Kalau hendak dikatakan lapar, si kecil itu sudah menyusu lima belas minit yang lalu. Kalau mengantuk sekalipun, sudah puas dia cuba mendodoi namun tangisan Khadijah tetap berbunyi. Afi cemas. Dia yakin ada yang tidak kena dengan anaknya ini. 
Tidak pernah sekalipun Khadijah berkelakuan seperti ini. Dia merenung Aisyah Humaira yang khusyuk sahaja bermain dengan mainannya. Begitu seronok seakan-akan tidak menyedari kekalutan yang sedang dirasai ibunya itu. Afi mengeluh perlahan. Mujurlah si adik ini tidak mengikuti jejak kakak kembarnya. Kalau keduanya menangis serentak, memang dia akan benar-benar panik. Rif pula masih belum pulang lagi. Kalau Rif ada tentu sahaja dia tidak akan sepanik ini.
“ Jangan nangis sayang...ibu ada ni,” pujuknya bertalu-talu. Namun Khadijah Nasuha tetap sahaja menangis. Pipi mungil anaknya sudah berubah merah. Tangisannya kedengaran begitu sayu sekali. Sudahnya Afi sendiri terasa mahu mengalirkan air mata.
Dia sendiri terasa seksanya melihat keadaan anaknya itu. Apa yang berlaku? Tangannya sudah mendail nombor telefon Rif. Dia benar-benar memerlukan Rif ketika ini. Entah mengapa, hatinya merasakan sesuatu yang buruk bakal berlaku. Khadijah tidak pernah seperti ini.
“ Afi!” Afi menoleh dan menghela nafas lega apabila melihat Rif sudah berada di muka pintu. Telefon bimbit dicampakkan terus ke atas sofa. Dia segera mendapatkan Rif yang baru pulang dari kerja itu.
“ Abang...Afi rasa ada yang tak kena dengan Didi. Dia menangis tak henti-henti dari tadi,” adunya sambil melangkah ke arah suaminya. Rif pantas menyambut Khadijah dari tangan Afi. Dan dalam sekelip mata, tangisan itu terhenti. Afi yang melihat terpana seketika.
“ Didi memang tak suka Afi. Dia suka abang sorang je,” balas Afi dengan nada sedikit merajuk, namun bibirnya tetap mengukir senyuman tanda bergurau dengan kata-katanya itu. Rif hanya diam tidak bersuara.
“ Kalau abang dengar suara dia tadi, abang mesti fikir anak abang kena dera je...Didi memang suka buli Afi...” adu Afi tanpa henti. Dia tahu tidak seharusnya dia membebel begitu, lebih-lebih lagi sudah tentunya Rif pasti berasa penat setelah menjalan duty selama 12 jam.  
“ Afi...” panggil Rif perlahan apabila melihat Afi terus menerus bercerita apa yang berlaku sepanjang peninggalannya semenjak semalam. Afi tidak mengendahkannya. Malah dia seperti tidak mendengar Rif memanggil namanya. Dia terus bercerita dan bercerita sehingga Rif terpaksa memanggil namanya sekali lagi. Kali ini dengan nada yang lebih kuat dan tegas.
Akhirnya Afi berhenti. Dia memandang wajah suaminya dengan rasa hairan. Ya...sedari tadi dia tidak mendengar Rif membuka mulut langsung. Rif hanya diam. Dia memerhati rapat ke wajah di hadapannya. Ada sesuatu pada wajah itu. Ada sesuatu pada pandangan mata itu. Afi membuka mulut ingin bertanya namun suaranya tidak keluar. Dia sudah tidak mampu untuk berkata-kata lagi. Ya ALLAH! Dia tahu. Sesungguhnya dia tahu. Peristiwa lalu kembali menjengah ingatan.
“ Abang! Tak...Kalau itu yang abang nak cakap...jangan beritahu Afi. Afi tak nak dengar. Afi tak nak dengar,” katanya sambil menekup telinga. Matanya dipejamkan rapat-rapat seolah-olah mahu menghilangkan Rif dari pandangan. Semua ini tidak mungkin berlaku. Apa yang dirasakan berlaku, tidak mungkin terjadi kembali.
“ Abang..Afi tak nak dengar,” rayunya dengan suara yang sudah tidak mampu keluar lagi.
“ Afi, ni tentang Jimmy....ada sesuatu berlaku pada dia.”



3

Hospital Angkatan Tentera

            Jimmy merenung hamper besar di hadapannya. Hamper yang dibawa oleh Korporal Watson dan isteri. Dia membelek seketika isi di dalamnya. Huh! Macam-macam ada. Gila betul Watson ni. Kalau rasa terhutang budi sekalipun tidak perlulah menyusahkan diri sehingga begini sekali. Boleh dikatakan selama tiga hari dia ditahan di wad ini, setiap hari jugalah Watson dan Razak melawatnya dengan bermacam-macam-macam hadiah dan makanan. Dia sudah menolak dan meminta supaya semua itu dihentikan.
Tindakan yang dilakukan bukanlah apa sangat, tetapi mereka meraikan dirinya seperti dia seorang hero pula. Penghargaan sebegitu menjadikan dia sedikit kurang selesa. Dia melakukan apa yang dirasakan wajar untuk dilakukan. Dia berbuat demikian bukan kerana pangkat dan nama. Dan sesungguhnya bukan mengharapkan pujian dan sanjungan. Cukuplah dengan ucapan terima kasih. Itu sudah memadai. Tetapi bercakap dengan keduanya ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Mujurlah hari ini merupakan hari terakhirnya di sini. Agaknya kalaulah dia bermaustatin sebulan di sini, sudah tak ada rupa bilik, gamaknya.
Dia menoleh apabila pintu bilik dikuak dari luar. Senyumannya automatik terukir sebaik sahaja mata menjamah wajah insan itu. Afi dan Rif sudah tiba untuk menjemputnya pulang. Dia tidak kisah untuk pulang sendiri sebenarnya. Bukan teruk keadaannya sehingga perlu dijemput namun Afi dan Rif sendiri berkeras untuk datang mengambilnya. Akhirnya dia terpaksa akur apabila melihat air muka Afi berubah dengan penolakkannya semalam.
“ Dah settle semua ke?” soal Rif tenang.
“ Belum. Kena pergi Unit Hasil dulu lepas tu farmasi ambil ubat,” sahut Jimmy bangun untuk menyelesaikan urusan discajnya itu.
“ Bak sini, aku settlekan.” Rif segera menahan.
“ Kita jumpa kat parking lah nanti,” ujarnya lagi sambil berlalu dari situ. Jimmy dan Afi serentak mengangguk sebelum Jimmy memanggilnya semula. Rif menghentikan langkah dan berpaling. Wajahnya penuh tanda tanya.
“ Rif...hamper ni kau bawak bagi nurse kat kaunter depan,” pinta Jimmy menyerahkan hamper tersebut ke tangan Rif. Rif  hanya ketawa.
“ Jimmy, mesti kau pesakit kesayangan semua nurse kan? Mesti depa sedih sebab kau dah discaj. Sedih...sebab tak dapat hamper lagi...,” perlinya masih dengan tawa yang bersisa. Sebaik sahaja pintu kembali tertutup Afi bergerak pantas mengemas barang abangnya. Kesemuanya diletakkan di dalam bakul sederhana besar yang dibawa bersama. Jimmy melirik pada Afi yang hanya diam sahaja dari tadi. Dia ingin bertanya apa yang tidak kena namum memikirkan diam Afi itu pasti ada kaitan dengan dirinya, dia mengambil keputusan untuk turut sama mendiamkan diri buat seketika.
Afi tahu dirinya sedang diperhatikan. Dia dapat merasakan Jimmy mahu mengatakan sesuatu namun apa yang ingin dikatakan itu tidak diluahkan. Dan dia pun masih tidak berkata apa-apa apabila melihat abangnya dengan selamba duduk membelek majalah gila-gila yang dibekalkan kepadanya sepanjang 3 hari dia berada di hospital ini. Kepalanya berasap tiba-tiba namun diteruskan juga melipat beberapa helai pakaian Jimmy dan segera dimasukkan ke dalam beg.
            “ Baju hijau tu jangan masukkan. Abang nak pakai,” tegurnya apabila melihat Afi mahu memasukkan pakaian yang sudah diasingkan untuk dipakai semasa keluar nanti.
            “ Seluar?”
            “ Pakai yang ini aje,” jawabnya tanpa mengalihkan wajah daripada majalah di depan mata. Afi mendongak seketika memerhatikan abangnya yang berwajah selamba itu. Geram juga ada memikirkan kelakuan Jimmy. Kalau hendak ikutkan hati, mahu sahaja dia merampas majalah kartun itu. Gayanya macamlah majalah itu tidak pernah dikhatamkan sebelum ini. Setelah berpuas hati dengan tugasnya, Afi melabuhkan punggung di atas tilam. Merenung abangnya yang semacam cuba hendak elakkan diri dari bercakap dengannya.
            “ Afi nak tanya abang ni.” Afi memulakan mukadimahnya. Perkara yang ingin ditanyakan itu sudah terlalu lama berlegar-legar dalam fikirannya. Dan jika ditangguhkan untuk kesekian kali, rasanya dia boleh mereng memikirkan perkara itu. Jadi, apa yang mengganggu fikirannya ketika ini haruslah diluahkan. Bacaan Jimmy terhenti.
            “ Kalau nak tanya kenapa abang terjun, baik tak payah. Tak larat abang nak jawap dah,” balasnya kembali menyambung pembacaan. Afi yang sedang menahan sabar bertambah berang mendengar jawapan itu. Dia melaksanakan apa yang ingin dilakukan sedari tadi. Majalah di tangan abangnya direntap sekuat hati. Dia bangun sambil mencekak pinggang dengan pandangan mata yang penuh berapi. Terasa mahu sahaja ditelan abangnya ketika itu.
            “ Kalau dalam masa 10 saat abang tak jelaskan, abang tunggulah apa yang Afi buat nanti,” ugut Afi yang tiba-tiba berubah gaya menjadi perempuan samseng pula. Dengan kedua kaki sedikit terbuka dan dengan tangan mencekak pinggang, Jimmy terkedu melihat reaksi adiknya seperti itu. Sesungguhnya dia benar-benar terkejut. Afi orangnya cukup jarang naik angin. Dia sentiasa cool walaupun suka menangis.
Kalaupun ada sesuatu yang tidak memuaskan hatinya, Afi lebih suka mendiamkan diri. Tetapi ketika ini, adiknya itu benar-benar berubah sama sekali. Dan di masa ini, walaupun Afi mempunyai ketinggian yang jauh lebih rendah daripadanya, dia tidak mahu mencabar sejauh mana tindakan adiknya itu. Dan sungguhpun kelakar melihat Afi berdiri seperti superwoman itu, dia tidak berani untuk ketawa. Jimmy menggeleng perlahan. Kuasa seorang wanita. Apatahlagi wanita yang bernama Afiqah Najwa itu sememangnya begitu kuat.
            Dia masih ingat lagi bagaimana Afi memandangnya sewaktu mereka bertemu di hospital ini beberapa hari lepas. Sekali pandang sahaja pada Rif yang menemani Afi, dia tahu Rif sudah pun membuka cerita. Dia memandang ke arah Rif dengan rasa tidak puas hati. Dia sudah meminta perkara ini dirahsiakan tetapi nampaknya Rif sengaja melanggar pesannya.
Dia tidak apa-apa. Langsung tidak mengalami sebarang kecederaan. Malah Prebet Razak dan Korporal Watson juga tiada apa-apa. Malah pihak hospital telah melepaskan kedua mereka lebih awal daripadanya. Jimmy menggeleng perlahan memikirkan rasa malu yang dirasai sehingga kini. Bagaimana dia telah terselamat melakukan tindakan penuh drastik itu namun tewas dengan demam panas yang menyerang sejurus sehari selepas latihan payung terjun itu berakhir.
Kerana demam panas itulah dia terlantar di katil hospital ini 3 hari lamanya. Memikirkan keadaan diri yang sudah sembuh, mungkin memberi peluang kepada Afi untuk bersemuka dengannya setelah gagal berbuat demikian dulu.
“ Abang buat apa yang abang rasa patut buat dalam keadaan cemas tu, Afi. Empat tahun abang kenal dia orang. Abang kenal anak isteri dia orang. Afi nak abang biarkan dia orang macam tu saja?” jelasnya dengan lembut mahu Afi memahami tindakan yang dilakukan.
            “ Afi pun tak nak apa-apa terjadi pada dia orang, tapi Afi pun tak nak abang terlalu fikirkan orang lain sampai nyawa abang sendiri dalam bahaya. Macam mana kalau mereka selamat, tapi abang...” Kata-katanya terhenti. Tidak tergamak mahu menyebut ayat mati itu sungguhpun dia tahu mati itu pasti. Dia yang pada mulanya sudah berasa lega melihat Jimmy tiada apa-apa terasa hampir putus nyawa apabila abangnya rebah tiba-tiba.
Mujurlah Rif sempat bertindak pantas dan menyambut sebelum tubuh lemah itu rebah ke bumi. Dia masih ingat...sehingga sekarang. Pedih kehilangan abang dahulu masih terasa hingga kini. Jimmy bangun mendapatkan adiknya. Kedua belah bahu Afi dipaut dengan lembut.
            “ Jangan takut dengan mati, Afi. Setiap apa yang bermula, ada akhirnya. Kita semua tak mampu nak mengelak kematian, Afi. Satu hari nanti, kalau bukan abang, Afi yang akan pergi dulu. Kalau bukan kita, ada insan lain yang paling kita sayang akan tetap pergi tinggalkan kita. Mati itu pasti Afi. Dah janji ALLAH bahawa setiap yang bernyawa itu pasti merasai mati.
Kalau abang tak buat macam tu sekalipun, abang tetap akan mati bila sampai masanya. Tak kiralah sama ada masa tidur, tengah makan atau masa kita tengah bercakap ni sekalipun. Bila-bila masa saja Afi, ALLAH boleh jemput kita,” ujarnya lembut mahu mengingatkan adiknya. Mengingatkan dirinya juga. Sesungguhnya dia tahu mati merupakan topik yang cukup sensitif bagi mereka.
            “ Ya..Afi tahu. Afi faham kalau belum tiba ajal, badan terbelah dua sekalipun tetap tak akan mati. Afi faham. Tapi abang, itu bukan alasan untuk abang ambil risiko dalam setiap benda-benda bahaya tu. Apa yang abang nak tunjukkan sebenarnya? Abang memang suka dengan benda mencabar macam tu kan? Afi tahu Abang rasa teruja mencabar bahaya macam tu sekali tapi sekali sekala cubalah abang bertanggungjawab sikit.”
            “ Tanggungjawab?” Jimmy mengulangi kata-kata itu di dalam hati. Adakah Afi mengatakan dia tidak bertanggungjawab di atas tindakannya? Adakah Afi menuduh dia hanya mahu menunjuk-nunjuk kehebatannya sahaja? Entah mengapa hatinya sedikit tersinggung dengan ungkapan Afi itu. Kalau orang lain yang berkata, tidak mengapa. Tetapi bukan Afi. Bukan insan yang paling mengenali dan akrab dalam hidupnya.
“ Afi...abang buat macam tu sebab abang bertanggungjawablah.”
            “ Tanggungjawab pada diri abang sendiri,” pantas Afi menyampuk kata-katanya. Dahi Jimmy berkerut. Apa yang cuba diperkatakan oleh Afi sebenarnya. Dia mendengar Afi mengeluh perlahan.
            “ Afi tahu tanggungjawab abang terhadap anggota bawahan abang tak perlu dipertikaikan. Tanggungjawab abang sebagai Mejar Najmi Hariri sentiasa cemerlang. Afi tahu tu. Semua orang tahu. Tapi...Afi nak abang juga jaga diri abang sendiri macam mana abang jaga orang lain. Sayang diri abang sendiri macam mana abang sayangkan orang lain. Pentingkan diri abang sendiri macam mana abang pentingkan orang lain.
Abang selalu selamatkan orang lain. Nanti siapa pula yang akan selamatkan abang?” Afi meluah perasaan. Jimmy yang mendengar hanya terdiam. Bagaimana dia hendak menafikan sedangkan dia tahu semua itu benar-benar belaka? Itukah yang Afi rasakan selama ini? Adakah dia terlalu mementingkan orang lain sehingga tanpa sedar dia melakukan semua ini? Memperjudikan diri sendiri? Tanpa sedar dia melepaskan keluhan kecil.
            “ Afi tahukan kerja abang macam mana?” Jimmy cuba mempertahankan diri. Jawapan yang sudah terlalu kerap diberikan apabila dia tidak mempunyai hujah lain untuk mematahkan kata-kata Afi. Jawapan yang sudah terlalu klise seperti yang dikatakan Afi kepadanya dahulu. Mereka berpandangan seketika sebelum akhirnya dia berpaling wajah. Mengalah kerana tidak sanggup melihat kelukaan pada wajah itu. Luka yang dia sendiri letakkan di situ. Tangannya yang masih terletak di bahu Afi ditepis perlahan oleh adiknya.  
Dia hanya mampu melihat Afi bergerak sehingga ke tepi dinding kaca. Pandangannya dihala ke arah luar seolah-olah tidak sanggup memandang ke arahnya lagi. Bahu Afi kelihatan jatuh. Mungkin berasa hampa dan kecewa kerana tidak berjaya menyedarkannya. Di dalam hati, Jimmy menyumpah diri sendiri. Dia ingin bertanya apa yang sedang difikirkan Afi ketika ini namun entah mengapa dia terasa gentar untuk bertanya. Lebih gentar untuk mengetahui jawapannya. Sedang dia berperang dengan perasaan sendiri, Afi kembali berpaling ke arahnya.
            “ Abang ingat lagi bila Afi kena culik dulu?” Jimmy terdiam apabila menerima soalan yang tidak disangka-sangka itu. Dia tidak menjawab kerana dia seakan tahu apa yang ingin diperkatakan oleh adiknya sebentar lagi.
            “ Abang ingat bila Afi hampir dibunuh? Bila Rif pun hampir mati di tangan Tengku Azhar? Bila Afi hampir mati lemas? Abang masih ingat? Tentu abang ingat. Mustahil abang boleh lupa, kan?” soalnya bertalu-talu. Dan melihat perubahan pada wajah abangnya itu, dia tahu tembakannya mengena sasaran. Maafkan Afi, abang. Bukan niat Afi mahu menjengah kenangan hitam itu tetapi Afi mahu abang tahu apa yang Afi rasakan ketika ini. Rahang Jimmy berdetap tiba-tiba. Matanya tajam merenung wajah adiknya.
            “ You’ve proved your point, Afi. Abang tahu,” balasnya pendek tanda mahu menamatkan perbualan mereka. Namun ternyata Afi masih belum bersedia untuk berhenti lagi.
            “ Afi tak rasa abang tahu. Sebab kalau abang tahu, abang tak akan buat apa yang abang selalu buat selama ni,” provoknya lagi.
            “ Afi!” suara Jimmy semakin perlahan memberi amaran.
            “ Jawab soalan Afi dulu abang. Apa yang abang rasa masa tu? Bila Afi hampir mati, apa yang abang rasa? Sebab lain kali bila abang nak lakukan benda bahaya lagi, ingat apa yang abang rasa masa tu sebab Afi juga rasa benda yang sama,” sahutnya berani. Dan keadaan bertukar menjadi hening.

No comments:

Post a Comment